Monday, August 18, 2008

Terbelenggu….. namun dia nekad












Dia seorang anak muda, yang melaksanakan projek tahun akhirnya di bawah penyeliaan diri ini. Betapa terpaksa saya terkejan-kejan dirinya sementara memantau kemajuannya sepanjang dua semester. Di peringkat awal projek, memang dia kelihatan teruja dan bersungguh-sungguh. Entah mengapa, tiba-tiba sahaja dia seperti hilang keyakinan. Laporan kemajuannya tidak saya perolehi. Emel yang dihantar tidak berjawab. Terpaksa pula saya tercangak-cangak di sekitar kafetaria universiti, mencari kawan-kawannya. Melalui kawan-kawannya itulah saya mengutus pesan, yang tidak dapat tidak, dia mesti berjumpa saya. Tersangat mustahak!

Selang beberapa hari berlalu, diapun muncul. Sambil melabuhkan dirinya di kerusi, jarinya menyika rambutnya yang kusut masai. Pandangan matanya meleret ke lantai.

“Bagaimana dengan projek awak?” kata saya, memecah kesunyian suasana.

“Saya tenggelam punca. Semuanya seperti kabur dan sukar sekali,” katanya, menggisai kedua biji matanyanya dengan kedua belah ibu jari.

“Apa maksud awak itu?” kata saya, mentautkan kedua belah tangan saya dan meletakkannya di atas permukaan meja di hadapan saya.

“Saya sudah hilang pertimbangan. Pada mulanya memang segalanya mudah. Kemudian, segalanya menjadi tidak bererti lagi. Saya tidak dapat mempastikan semua perkara berjalan mengikut apa yang saya mahu,” katanya, tanda-tanda merah sudah kelihatan di gigi biji matanya.

“Contohnya?” kata saya.

Sunyi sepi namun saya menunggu.

“Sebenarnya, ada masalah besar yang sedang saya hadapi. Masalah keluarga di rumah. Saya hilang tumpuan,” akhirnya dia berkata dengan menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Semua orang menghadapi masalah. Begitu juga saya. Dalam situasi begini, soalnya bukan bagaimana masalah itu dapat diselesaikan. Tetapi fikirkan tentang bagaimana kita mampu membawa diri melawan arus dan tidak hanyut bersama. Tumpukan perhatian awak kepada perkara yang paling dekat. Seperti mencari papan hanyut supaya dapat bertahan!”

“Cumanya keadaan amat menghimpit diri saya ini dan saya pula terbelengggu dan tidak berdaya...Entahlah! Saya sendiri tidak tahu!” tangannya tergenggam erat pada kedua-dua belah tepi kerusi.

“Dengar sini, orang muda! Masalah terbesar awak buat masa ini adalah – awak PERLU berijazah! Dan sila jawab pertanyaan saya ini! Adakah awak mahu berijazah?”dengan tegas sekali saya lontarkan persoalan itu kepadanya.

Dia mengangguk.

“Adakah awak mahu menjadi seorang jurutera?” tanya saya lagi.

Sekali lagi, dia menganggukkan kepalanya.

“Saya tidak yakin dengan jawapan awak itu!” kata saya, mencebikkan bibir.

“Sudah tentunya saya mahu menjadi seorang jurutera!” katanya separuh menjerit.

“Jadi, letak ketepi segala masalah awak itu. Atau lebih bagus lagi, lupakan sahaja buat beberapa minggu ini. Tumpukan perhatian awak sepenuhnya pada kerja projek awak itu!”

Dia terdiam.

“Saya mahu lihat laporan kemajuan awak sebelum minggu depan!” kata saya.

“Tetapi, saya perlu membuat beberapa cetakan muka surat berwarna sedangkan saya tidak punya pencetak jenis itu!” katanya dengan suara yang kurang jelas.

“Pergi sahajalah ke kedai!” saya menempelak.

Senyap sekali lagi. Kemudian, dia mengangkat mukanya dari arah lantai dan dengan nada suara dengan rendah, diapun berkata, “Sebenarnya, saya tidak punya cukup wang bagi dibelanjakan.”

“Mengapa tidak berterus terang sahaja sejak sedari tadi?” kata saya, memasukkan jari-jari ke dalam tas tangan. Kemudian, diapun menghilang. Itupun setelah saya memberhentikan sahaja ucapan terima kasihnya yang diucapkannya bertalu-talu.

Betul sangkaan saya. Laporan kemajuannya sampai sebelum penghujung minggu. Ditulis dengan begitu baik sekali!

Namun beberapa hari sebelum tarikh tutup penghantaran laporan akhir projek, sekali lagi saya dirundung kebimbangan.

“Awak ada berjumpa *****?” tanya saya pada wajah yang saya kenal, tatkala menuruni tangga ke pejabat am bagi menjenguk peti surat.

“Dia ada tetapi…” kata pelajar itu mengalihkan wajahnya ke arah lain.

“Tetapi apa?” kata saya.

“Dia murung lagi. Banyak masalahnya Puan!”

“Sekiranya awak ada berjumpa dengannya sebentar lagi, katakan yang dia mesti datang jumpa saya sebelum hujung minggu ini juga!” kata saya dengan tegas.

Dua hari sesudah itu, dia datang dengan wajah kelabu dan berserabut sekali.

“Mengapa awak asyik bersikap begini?” saya membentak.

“Saya tidak tahu Puan! Sejak beberapa waktu, perasaan saya sangat kacau bilau dan sedih sekali. Sedikitpun hati saya tidak rasa rindu mahu pulang ke rumah, walaupun semasa cuti panjang semester. Saya risau!”

“Masakan! Sekali lagi awak terlalu mengikut perasaan!” kata saya.

Wajahnya menyapu lantai.

“Disertasi projek tahun akhir awak perlu saya semak sebelum dihantar bagi diperiksa. Saya mahu lihat sejauh mana ia telah siap. Bawa segala apa yang awak sudah buat dalam masa tiga hari. Awak faham?” kata saya dalam nada perintah.

“Baik Puan!” katanya. Anak matanya dipenuhi kesedihan.

“Adakah itu satu janji?” kata saya.

Dia mengangguk.

Lantas saya menggelengkan kepala dan berkata, “Saya mahu mendengar ungkapan kata-kata!”

“Akan saya kotakan, Puan!”

Tiga hari selepas itu, dia muncul di pejabat saya dan kami meneliti segala usahanya bersama. Kerjanya amat memuaskan, cuma ada beberapa para dan fakta yang perlu digilap. Dan dia sanggup mengubahsuai dan membuat pembetulan mengikut pandangan yang saya berikan.

Tiba hari viva dan peperiksaan secara lisan. Saya amat berpuas hati dengan prestasi persembahannya. Begitu juga dengan pemeriksa bersama.

“Tahukah awak yang awak boleh meraih gred A sekiranya disertasi awak itu dihantar mengikut masa yang ditetapkan. Akan tetapi, awak hanya mampu mendapat A-!” kata saya.

“Sekiranya mendapat gred B pun saya sudah rasa sangat bersyukur dan bertuah!” katanya dengan nada riang.

(Peristiwa ini berlaku beberapa tahun yang silam…tatkala kampus kejuruteraan masih di Tronoh...kisah ini akan bersambung....)

4 comments:

Puan Ainon Mohd. said...

Episod ini dapat diselitkan dalam novel PhD puan!

Iskandar Syah Ismail aka DR Bubbles said...

Puan Umi Kalthum,

Saya membaca dengan tekun entri puan ini.Ia mengimbau semula kenangan silam yang mengajar erti 'menyerah kalah' dan makna kegagalan semasa saya di tahun akhir di UK.

Umi Kalthum Ngah said...

Assalamualaikum Puan Ainon,

Hasrat saya mahu muatkan episod ini dalam karya sedang difikir dan dirancang berjudul "Hari-hari Saya Sebagai Pensyarah"

Itupun sinopsisnya baru dalam peringkat pembikinan...

Wasalam..

Umi Kalthum Ngah said...

Assalamualaikum Dr. Bubbles,

Terima kasih kerana sudi membaca dengan tekun...

Pada saya, usaha gigih itu adalah amat penting...kemudian doa dan tawakkal..

Namun, sekiranya jalan kelihatan buntu dan kegagalan pula berada di depan mata, maka anggaplah itu sebagai petanda dari Allah yang mahu menguji kita, diterima dengan hati yang penuh terbuka...

Sabar, kuatkan semangat dan juga nekad mahu bangun semula itu harus dipupuk kembali..Pada tahap itu, sekiranya berjaya pada akhirnya, maka kejayaan itu akan lebih bermakna dan manisnya akan lebih terasa...

Wallahualam...

Wasalam.