Wednesday, August 27, 2008

Di persimpangan….




























Selang beberapa tahun berlalu. Kampus serba kekurangan sudahpun menampakkan keayuannya, dipenuhi pohon hijau merendang. Di sini sana, cebisan pohon sawit masih terpacak, sengaja ditinggalkan bagi tujuan mengindahkan suasana. Di kala itu, tiba-tiba dia muncul kembali.

“Bagaimana dengan perancangan awak tempoh hari? Seingat saya, awak mahu melanjutkan pengajian? Dan bukankah saya awak jadikan referee?” kata saya, mengisyaratkan supaya duduk di kerusi.

“Saya ubah fikiran!” katanya, wajahnya menyapu lantai buat kesekian kalinya. Namun saya hanya mendiamkan diri dan menunggu...

“Saya mahu menjadi seorang pendidik. Saya sudah mula menyayangi tugas itu. Dan masa-masa yang saya luangkan bersama dengan anak-anak kecil ketika kelas tuisyen, menenangkan hati saya. Baru saya tersedar yang sebenarnya itulah perkara yang saya tercari-cari selama ini. Sebab itu saya ke sini pada hari ini. Berjumpa Puan sekali lagi. Jasa baik sebagai referee. Tetapi kali ini, bagi memohon Sijil Perguruan di institut perguruan. Saya harap Puan tidak keberatan kerana selalu menyusahkan Puan!” akhirnya dia berkata dengan panjang lebar sekali.

Saya terdiam sejenak, kemudian membalas, “Sudah tentunya saya tidak keberatan! Sungguh jauh sekali, ya? Perjalanan awak?”

“Jauh perjalanan?” dia bertanya.

“Ya! Sehingga akhirnya dapat mengenali diri sendiri dan menemui segala hasrat hati selama ini!” kata saya.

“Bagi saya, ia satu perjalanan yang dipenuhi liku dan duri,” katanya menundukkan semula pandangannya.

“Dengar sini nasihat saya! Ke manapun awak pergi, sentiasalah lakukan kebaikan. Dan apa sahaja yang awak lakukan, lakukanlah dengan sebaik-baiknya!” kata saya memandang tepat ke wajahnya.

“Akan saya cuba ingat segala nasihat dan pesanan Puan!” perlahan sahaja kata-katanya.

Beberapa bulan pun berlalu. Telefon pejabat saya tiba-tiba sahaja berdering.

“Seperti nada panggilan dari luar!” kata saya dalam hati.

“Saya mahu jumpa Puan barang sebentar!” kata suara yang saya kenali di talian sana.

Sebaik sampai, dia mengucapkan, “Terima kasih, Puan!”

“Untuk apa! Kalau ya, pun, duduklah terlebih dahulu!” kata saya mempelawanya kerusi.

Dia melabuhkan dirinya dan berkata, “Kerana selama ini, mempercayai dan meyakini diri saya ini sehingga timbul rasa keyakinan saya pada diri saya sendiri!”

“Awak memperolehi segalanya dengan usaha gigih awak sendiri. Tidak mengapa, Alhamdulillah! Bagaimana? Awak dapat tempat di institut perguruan itu?” kata saya, ingin tahu.

“Ya! Terima kasih Puan kerana memberi surat sokongan yang kuat bagi diri saya!”

“Saya hanya menjalankan tugas saya dengan sebaiknya!”

“Saya ada singgah ke sini sebelum pergi dahulu dan mahu beritahu Puan sendiri, tetapi Puan tidak ada di kampus ketika itu,” katanya.

“Mungkin saya ke luar negara, hadiri persidangan atau ke tempat lain. Jadinya, bilakah awak selesai pengajian?”

“Hanya beberapa bulan sahaja lagi. Dan saya telahpun lulus temuduga bagi penempatan nanti!”

“Oh! Bagaimana itu?” kata saya, kening terangkat.

“Sebaik saya nyatakan yang saya mahu mengajar di sekolah rendah, ahli panel temuduga semuanya tertawa, dan salah seorang daripada mereka terus sahaja berkata, “Awak dapat apa yang awak minta!” Saya terus kaget dan tidak percaya pada mulanya!” katanya, tertawa.

“Tidak percaya? Masakan! Bukankah tersangat sukar bagi kita temui pendidik lelaki di sekolah rendah? Itulah sebabnya! Pada saya, masalah besar yang dihadapi di sekolah dewasa ini adalah disiplin di kalangan pelajar lelaki. Kanak-kanak lelaki perlu kepada pendidik lelaki supaya hati mereka dapat ditambat dan dijinakkan. Dan awak adalah golongan yang sungguh bertuah itu!” kata saya pula, turut tertawa.

Dia kemudiannya menghulurkan satu sampul surat, ronanya sangat lembut dan isinya berbau semerbak. Seraya itu dia berkata, “Saya ada sesuatu untuk Puan. Puan salah seorang yang pertama menerima ini daripada saya.”

‘Waduh! Mabruk! Bilakah tarikhnya?” mata saya mula bercahaya.

“Dalam masa beberapa minggu,“ katanya dengan wajah penuh disinari kebahagiaan.

Lantas saya mencatatkan tarikh itu dalam diari Tidak mungkin akan saya lepaskan jemputan ini…walaupun sekiranya diberi upah sejuta ringgit bagi tidak menghadirinya…

Itu adalah dua tahun yang lampau…

(…bersambung….)

2 comments:

Anonymous said...

Dr. Umi,Sememangnya kalau ada yg berubah dan menisbahkan perubahan mereka kerana kita, kegembiraan itu adalah sesuatu yang sukar ditafsirkan ...

Kalau orang boleh berubah kerana kita, apakah sebenarnya yang menghalang kita, ya?

Umi Kalthum Ngah said...

Assalamualaikum Cik Fisha,

Terima kasih di atas komen.

Orang berubah kerana suntikan hidayah daripada Allah Maha Pemberi taufiq. Kita hanya pemberi peringatan dan sememangnya itu adalah tanggungjawab kita.

Memang benar, kadang-kadang kita sukar berubah dan membuat perubahan.

Namun, sekiranya kita sentiasa dalam kelompok mereka yang senantiasa ingat mengingati dengan kebenaran dan ingat mengingati dengan kesabaran maka itu adalah sesuatu yang boleh dilatih secara perlahan-lahan...

Ingatkah kita akan Surah Ar-Ra'ad ayat 11?

Semoga Cik Fisha seisi keluarga diberkati Allah dalam bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini...Amin