Saturday, December 13, 2008

Atas landasan...












Kereta api...Ada sesuatu tentangnya…sangat bermakna di hati ini. Mengingatkan diri akan zaman ketika membesar. Hari-hari cuti sekolah sewaktu kecil semasa kami sekeluarga berkereta api ke destinasi percutian.

Masa-masa itu, ayah tidak mampu walaupun membeli sebuah motosikal. Jadi kemudahan awam adalah satu-satunya pilihan yang ada. Setiap kali apabila ayah menyatakan kami akan ke Kuala Lumpur, mata ini sukar benar untuk lelap pada malam sebelumnya. Kemudian, pagi-pagi hari, sudah bersiap dengan hati girang. Mana tidaknya? Fikiran membayangkan keseronokan menaiki feri merentas lautan yang menyambung Pulau Pinang dan tanah besar (walaupun terpaksa berebut menaiki bas ke terminal feri) kemudian menjijakkan kaki ke lantai kereta api! Masih saya ingat, si mamak penjual karipap, dengan bakul rotannya yang besar, yang dikelek dari satu gerabak ke gerabak yang lain sambil berteriak, ““Karipap! Pap! Pap!”. Karipapnya yang saiz lebih besar daripada biasa. Yam! Yam!

Ibu juga pasti membawa bakul rotan besarnya itu, yang sungguh amat berjasa. Sarat dengan makanan dan minuman. Pada masa itu, ibu dan ayah sentiasa mengingatkan kami akan betapa perlunya berbelanja dengan hemah. Jadi, makanan minuman sebolehnya dibuat sendiri dan dibawa sebagai bekal. Saya masih ingat, dalam bakul ibu, pasti ada dua bekas flas, satu mengandungi kopi panas manakala yang satu lagi, air suam. Juga beberapa cawan serta pinggan plastik, sudu, telur rebus dan tidak lupa, satu botol kicap (bagi dimakan bersama telur rebus), mangkuk tingkat berisi nasi dan lauk kering supaya tidak tumpah jika kereta api bergoyang serta bermacam-macam lagi. Ibu yang memasak sendiri lauk pauk itu pada awal-awal pagi.

Kami akan berkereta api sewaktu cuti sekolah setahun sekali dan tinggal bersama sepupu-sepupu. Ketika itu, rumah ayah saudara terletak di kawasan rumah setinggan di Kampung Kerinci, mandi air telaga, basuh pinggan, dan pakaian dengan air hujan yang ditadah setiap hari dan berbagai perkara lagi. Tetapi kami adik beradik tidak kisah dan menghiraukan segala kesempitan itu. Kini, apabila difikirkan kembali, perkara ini membuatkan hati saya agak hairan. Mungkinkah anak-anak sezaman ini mahu melalui segala perkara sebegitu? Semasa saya ke sekolah asrama penuh di Seremban, berulang-alik semasa cuti sekolah dari sana ke utara dan balik semula, juga dengan menggunakan kereta api. Peristiwa pahit manis, telah saya kongsikan dalam buku saya “Seungu Lavendar” (Klik sini dan sini bagi membaca ulasan bebas mengenai buku). Hidup ketika itu amat mudah…hari-hari yang dilalui tidak banyak kerenah, simpel. Sungguh! Hari-hari penuh nikmat…

Oleh itu, pada suatu hari, ketika mahu ke tempat kerja di kampus kejuruteraan, saya dapati diri ini berada di lintasan kereta api berpagar. Lampu merah padam dan menyala tanpa henti. Juga bunyi siren….Dalam hati terlonjak! Kereta api! Akan melintas! Jadi, saya tidak dapat menahan jari daripada memetik dan merakamkan gambar-gambar ini….Wajah-wajah pada cermin kaca gerabak, tersenyum girang dan melambaikan tangan…Pemandu, penunggang motosikal dan basikal yang menunggu dengan sabar, di tepian jalan berpenutup pagar dan tersenyum balas….Memandang kereta api yang meluncur pergi…Sungguh mengasyikkan!

Sayangnya, lintasan berpagar ini sedang menunggu hari-hari penghujungnya. Tidak lama lagi, jejantas akan dibina bagi menggantikannya. Projek sedang rancak berjalan. Gambar-gambar ini akan saya abadikan dalam koleksi album saya…dan juga dalam petak ingatan…

Kereta api mengingatkan hati ini pada satu perkara lagi…Perjalanan hidup kita. Keretapi perlu bergerak. Untuk itu, kereta api perlu berada atas landasan. Jika tidak, ia akan terbabas. Begitu juga dengan hidup kita. Dalam proses menjalani kehidupan, kita perlu juga berada di atas landasan yang benar. Supaya kita tidak tergelincir. Untuk itu, sebagai orang Islam, kita perlu hidup berpandukan syariah. Tidak ada pilihan selain daripada itu.

Semoga Allah senantiasa memberi kita panduan dan pedoman dalam menjalani kehidupan kita seterusnya…menuju destinasi yang semakin dekat penghujungnya…Amin.

PS. Isteri Dr. Ez, mentor saya, sudah kembali ke rahmatullah pada petang Eidul Adha..Semoga Allah menerima segala amalannya, mengampunkan segala dosanya dan menempatkannya beserta mereka yang beramal salih….Takziah juga kepada mereka yang kehilangan saudara mara yang terkorban dalam trajedi di Bukit Antarabangsa baru-baru ini…Al Fatihah

4 comments:

Neeza Shahril said...

Kak Umi, zaman kecil Neeza (dari umur 3 bulan - 5 tahun) banyak dihabiskan atas keretapi.. Neeza di bawak nenek berulang alik dari Kelantan ke Jengka naik keretapi. Memang Neeza tak ingat lah. Tapi arwah nenek kata, bila Neeza nangis, ramai orang dalam keretapi ambik Neeza untuk dodoikan... kesian agaknya...

Masa kecik juga, kalau pergi mana-mana memang Mak Neeza akan bawak bekal. Kami tak singgah makan kedai pun. Ayah akan park kereta, bentang tikar dan kami makan. Untuk jimat kan...

Umi Kalthum Ngah said...

Neeza Shahril,

Begitukah kisah Neeza membesar...

Sungguh menarik!

Orang zaman dulu-dulu memang sudah mempraktikan konsep berekonomi, juga mengambil berat antara satu sama lain..

Alangkah baik sekiranya semangat yang sama dapat dihidupkan di kalangan kita pada masa ini, ya?

Cuma, hendak beri orang lain dukung si kecil kita, saya tidak berapa berani, agak menakutkan, sebab kes bawa lari terlampau banyak dan merungsingkan.

Apa Neeza setuju dengan saya?

maklang said...

semuga beliau dicucuti rahmatNya,,,amin..

Umi Kalthum Ngah said...

Assalamualaikum maklang,

Semoga Allah membalas budi baik maklang dalam mendoakan sahabat kita itu...Amin