Tuesday, August 4, 2009

Musibah namun indah…














“Kita perlu keluar dari kereta ini! Lekas! Sekarang!” jerit suami saya, wajahnya memusing ke arah tempat duduk belakang. Asap berkepulan dari enjin kereta yang sudah remuk di bahagian hadapan.

“Tengkuk sakit!” kata anak perempuan kami,berhempas pulas menanggalkan tali pinggang keledar.

“Apa yang sudah terjadi ini?” kata anak lelaki kami, mamai kerana terbangun dari lena.

Saya terlalu terperanjat sehingga tergamam tidak bersuara.

Seketika kemudian, kedengaran suara seseorang, “Kami paramedik 911. Awak semua tidak apa-apa?” Tangan-tangan ke sana ke mari, memujuk, memeriksa disertai kata-kata lunak dan mendamaikan hati-hati yang cemas dan penuh trauma.

“Semuanya seperti elok belaka. Walauapapun, kami nasihatkan encik sekeluarga ke hospital terdekat, jalani pemeriksaan. Hanya langkah berjaga-jaga,” kata salah seorang pasukan berunifom itu, mengumpulkan segala peralatan mereka semula.

“Tidak mengapa, rasanya kami tidak apa-apa. Cuma terperanjat,” kata suami saya.

Ahli paramedik itu mengangkat topi tanda hormat dan berlalu pergi.

“Seseorang telah memanggil pasukan 911 itu agaknya. Cepat sungguh sampai!” kata salah seorang daripada orang ramai yang mula berkerumun secara kecilan di keliling kami.

“Awak cedera?” kata seorang anak gadis, wajahnya berkerut penuh rasa empati, lalu menyambung kata-kata, “Adik! Panggil ibu, ayah!”

“Sudah! Mereka sedang dalam perjalanan,” kata seorang anak muda. Mereka berdua dalam van yang kami rempuh. Kakaknya yang memandu.

“Lesen masing-masing?” tiba-tiba keluar kata-kata dari seorang pegawai polis trafik, memandang ke arah wajah suami saya dan juga si anak gadis. Mereka berdua mengunjukkan lesen memandu kepadanya.

“Bagus juga encik membayar insuran bagi perlindungan kemalangan kereta sewa encik itu. Tidak dapat saya bayangkan betapa susahnya keadaan encik sekeluarga sekiranya encik tidak berbuat demikian. Ini laporannya. Pergi ke agen kereta sewa terdekat dan encik akan mendapat kereta sewa ganti,” kata pegawai polis trafik. Sebelum pergi, beliau mempastikan keadaan lalu lintas terkawal dan semua urusan selesai seperti pengambilan gambar. Semuanya selesai dalam tidak sampai beberapa minit.

(Kala itu tahun 1993. Saya telah ditindikkan ke University of Calgary dan terlibat dengan kerja-kerja penyelidikan di Jabatan Kejuruteraan selama 3 bulan di bawah tajaan Asian Development Bank . Keluarga saya menyertai saya pada dua minggu terakhir saya di sana. Buat beberapa hari, kami merancang perjalanan jelajah dua negeri di barat Canada itu iaitu Alberta dan British Columbia, bermula dengan menuju ke arah utara dari Calgary iaitu ke Edmonton. Perjalanan penuh pemandangan menakjubkan melalui kawasan penanaman gandum sekitar Canadian Prairies merentas Sungai Saskatchewan, kemudian ke Jasper , bermalam di kabin balak Pocahontas; dan singgah ke Columbia Icefields yang amat menarik. Sempat kami merasa menaiki Snowmobil, mengambil foto Lake Moraine (tasik di dunia yang paling kerap diambil gambarnya oleh jurugambar). Bermalam di Lake Louise dan Bandar Banff. Seterusnya menuju arah barat ke Kelowna, selanjutnya ke Vancouver, beserta kereta sewa menaiki feri British Columbia (BC Ferries) ke Vancouver Island. Dari situ, kami mahu kembali semula ke Calgary, singgah bermalam di Penticton, di samping menikmati pemandangan yang amat terkesan di hati, Lake Okanagan di sepanjang jalan. Setting indah ini telah saya rakamkan dan kongsi dalam novel saya “Seindah Dafodil). Bagi menjimatkan belanja penginapan, kami tinggal di Asrama Belia Antarabangsa (International Youth Hostels ) dengan mendaftar sebagai ahli selama setahun.)

Pada hari kemalangan yang sedikitpun tidak kami duga itu, kami telahpun sampai ke bandaraya Vernon lebih kurang 7 jam memandu bagi perjalanan terakhir kembali semula ke Calgary. Aktiviti memandu jarak begitu memang meletihkan. Agaknya suami saya sudah terlalu lesu. Masakan tidak? Sudah lebih 38 jam terkumpul dalam pemanduan secara berterusan, sepanjang masa 8 hari, sejauh melebihi 3,109 km merentas Canadian Rockies “Tidak masuk akal. Awak kurang siuman!” tegur teman serumah saya tatkala kami awal mahu mula bertolak. Mereka hanya pernah berkereta sejauh Waterton Lake Parks . Itupun setelah mereka menetap di Calgary itu selama lebih dua tahun. Inikan pula suami saya yang hanya sampai dalam beberapa hari. Namun kami tidak ambil pusing sebab mahu ‘beradventure’.

Kembali kepada cerita asal. Si anak gadis itu sedang sibuk melayani kedua-dua anak kami, asyik bertanya sama ada mereka sakit ataupun selesa. Menghulurkan minuman serta makanan ringan.

Mata saya pula tertumpu kepada kereta sewa kami yang ranap teruk di bahagian hadapan kerana menghentam van di hadapan kami itu. Van yang dipandu anak gadis itu pula hanya calar sedikit manakala lekuknya tidak seberapa.

“Itupun mereka!” kata si anak muda, menunjuk tangannya ke arah sebuah kereta lain yang sedang membeluk ke tempat kami tersadai.

“Hai! Saya mohon maaf di atas apa yang terjadi!” kata si bapa, keluar dari kereta.

“Saya yang patut memohon maaf. Saya keletihan dan hilang tumpuan hanya beberapa saat,” kata suami saya menyambut tangan yang dihulur si bapa.

“Awak semestinya sedang bercuti. Sudah tentunya awak rasa kurang seronok,” kata pula si ibu, yang turut menghulurkan tangannya ke arah saya.

“Mari kami hantarkan ke agen kereta sewa terdekat,” kata si bapa.

Dan tidak beberapa minit kemudian, kami sudah mendapat kereta sewa yang baru.

“Kami pernah ke Malaysia. Negara yang indah. Harap awak terus menikmati keseronokan bercuti ke Canada, negara kami ini!” kata lelaki separuh usia itu. Wajahnya tersenyum ceria, setelah mendapat tahu kami dari Malaysia. Begitu juga ahli keluarganya yang lain, tersenyum memanjang.

“Saya ada satu cadangan. Mari kita semua bergambar!” kata si bapa.

Lalu, saya mengeluarkan kamera saya manakala anak muda keluarga itu juga memetik kameranya.

Alangkah berbezanya? Seperti langit dengan bumi peristiwa berpuluh tahun ini dengan yang satu lagi. Akan saya kongsikan satu peristiwa kemalangan yang suami saya lihat dengan mata kepalanya sendiri ketika kami berada berdekatan kediaman sahabat kami kira-kira beberapa minggu yang lalu. Dalam entri yang bakal menyusul. Apakah perasaan anda pembaca setelah membaca entri ini dan akan datang. Kongsikan dengan saya, ya?

8 comments:

Abang Long said...

Mendebarkan. Tapi rasa seronok bila membaca kisah perjalanan dinegara orang. Seperkara lagi ialah kepantasan pasukan penyelamat mereka bertindak. Dan banyak lagi pelajaran yang boleh dipelajari.

Maaf, Puan sihat ?

Saya ada kirimkan emel, sudah lama. Harap maklum.

mohad said...

cantik pemandangan tu ya...

Iskandar Syah Ismail aka DR Bubbles said...

Puan Umi,

Jiwa kita akan bertambah besar apabila menjadikan peristiwa-peristiwa yang berlaku di dalam hidup kita titik tolak untuk membina tali silaturrahim.

Kisah puan ini mengingatkan kepada satu peristiwa lama dahulu di mana saya dan ibu-bapa saya dalam perjalanan pulang ke rumah dari bandar Jerantut apabila kami ternampak satu kemalangan jalan raya di hadapan kami.

Seorang anak muda Cina terkulai di tepi jalan dan rakannya cedera parah.Bapa saya tanpa banyak soal membawa anak muda yang terkulai itu ke dalam kereta dan terus memandu ke unit kecemasan di hospital berhampiran.Dan kami pulang ke rumah seolah-olah seperti tiada apa-apa yang berlaku.

Sehingga kini, kenangan itu sentiasa terpahat di dalam hati saya.Saya dapat merasakan bahawa tindakan bapa saya itu sebenarnya sedikit sebanyak mendidik saya agar membantu orang tanpa melihat warna kulit,agama dan bangsa.Dan juga melihat orang lain tanpa prejudis.

Neeza Shahril said...

dapat neeza bayangkan apa yang Kak Umi nak cerita di entry 1 lagi. Kalau di negara kita sendiri, mungkin ada yang mati dibelasah disebabkan kes macam tu.. sebab tu lah ramai yang lari bila dah terlibat dalam kemalangan. Lebih baik lari selamatkan diri dulu.. itulah kita.. yang kononnya penuh dengan budi bahasa.. hmmmm..

Alhamdulillah, akak sekeluarga tak apa apa..

Umi Kalthum Ngah said...

Assalamualaikum Sdr. Abang Long,

Terima kasih meninggalkan jejak. Ya! Banyak pengajaran yang boleh kita kutip apabila merantau di tempat asing.

Saya sihat...mudah-mudahan kita dijauhkan dari wabak penyakit yang melanda ketika ini...Amin

Saya sudah baca emel Sdr. Terima kasih kerana mengirimnya...

Bila mahu mula menulis buku, ya?

Umi Kalthum Ngah said...

Dr. Bubbles,

Sudah tersingkap rahsia Sdr. Ke mana tumpahnya kuah sekiranya tidak ke nasi.

Sdr. mewarisi sikap keperihatinan dari orang tua Sdr. rupanya..Alhamdulillah...teruskanlah dengan kerja kebajikan Sdr. itu.

Moga Allah terus-terusan memberkerkati segala usaha Sdr...Amin

Umi Kalthum Ngah said...

Ijad,

Ya! Pemandangan di negara orang memang berlainan daripada negara kita sendiri...namun negara kitapun tidak kurang cantiknya...

Wasalam...

Umi Kalthum Ngah said...

Neeza,

Bukan sekadar itu...Saya amat terkesan dengan sikap seorang ayah yang dapat mendidik anak-anaknya menghormati dan belasa kasihan dengan orang lain, tanpa mengenal rupa dan warna kulit...sungguhpun dia tidak berkefahaman Islam...nilai dan sifat berbudi di semai dengan baik sekali pada anak-anaknya...