Wednesday, October 14, 2009

Gempa, Binasa….

Saya gemar menonton Saluran Sejarah (History Channel 555) di Astro. Pengisiannya yang kaya dengan maklumat, pembuka mata serta menginsafkan, membuatkan saya mampu mengatasi tekanan ketika tugas sebagai ahli akademik menjadi berat dan begitu membebankan.

Saya baru sahaja mengikuti kisah Kota Atlantis yang wujud beberapa ribu tahun yang lalu. Kajian terkini telah menyimpulkan, kedudukan kota yang samar-samar diketahui lokasinya itu kemungkinan besar di sebelah timur iaitu di sekitar Pulau Crete, Greece. Dipercayai yang pada zaman keagungannya, tamadun Atlantis menyamai kecanggihan pada masakini, dengan wujudnya bangunan pencakar langit, lengkap dengan sistem tandas dalam rumah, perairan dan pembetungan, senibena mengkagumkan, undang-undang yang memberi hak sama rata bagi lelaki dan wanita serta pelbagai kekayaan khazanah. Namun, tamadun itu lenyap dalam sekelip mata, ditelan gegak gempa.

Kemusnahan yang dialami ketika itu jauh lebih buruk daripada yang dilalui semasa gegaran Pulau Krakatoa dalam tahun 1833. Itupun, meletusnya Gunong Krakatoa telah mengakibatkan Tsunami setinggi 120 kaki dan terkorbannya 36,000 nyawa. Langit gelap umpama malam selama 3 hari. Bunyi gegaran kedengaran sehingga sejauh 3,000 batu. Gegaran di Atlantis adalah 4 kali ganda di Krakatoa. Bayangkan? (Sumber bacaan yang bagus terdapat di sini dan di sini).

Tiba-tiba muncul berita mengenai gegaran di Samoa diikuti di Padang, Indonesia. Persoalan timbul. Adakah kedua-dua gegaran itu saling berkait? (Baca di sini).

Apa juga pun, berita seumpama itu pasti membuat hati ini menjadi sayu. Sungguh nipis garisan hayat bumi kita ini. Betapa nyawa kita ini sangat rapuh. Hanya Allah yang Maha Mengetahui berapa lama lagi bumi kita akan dapat bertahan. Berapa lama lagikah jangka hayat yang masih dipinjamkan Allah kepada kita?

Benar seperti kata-kata pujangga Socrates:
"Hayat manusia seumpama titisan embun pada helaian daun.”

Sementara jantung kita masih berdegup kencang, mengapa kita tidak mengambil peluang menghulurkan sumbangan daripada sedikit kesenangan yang Allah masih bermurah hati meminjamkan kepada kita?

"Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Al-Baqarah: 148)

Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) telah melancarkan misi bergelar Misi Kasih Padang (MKP) bagi membantu mangsa bencana di Padang. (Klik bagi maklumat lanjut).

Kita di Malaysia amat bertuah kerana dijauhkan Allah dari bencana. Akan tetapi, siapa tahu apa yang bakal berlaku pada masa-masa akan datang? Nauzubillah…

Sama-sama kita renungi ayat-ayat Al Quran ini bagi menginsafkan diri kita (Surah Rum: 41-43) yang bermaksud:

"Dan telah tampak kerosakan di daratan dan di lautan disebab kerana perbuatan tangan manusia. Allah mengkehendaki agar mereka merasakan sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)."

"Dan apabila manusia ditimpa oleh suatu bahaya, mereka menyeru Tuhannya dengan kembali (bertaubat) kepada-Nya, kemudian apabila Dia memberikan sedikit rahmat-Nya kepada mereka, tiba-tiba sebahagian mereka mempersekutukan Allah."

"Biarkan mereka mengingkari rahmat yang telah Kami berikan. Dan bersenang-senanglah kamu, maka kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu)."


Adakah kita juga peka dan mengetahui bahawa gegaran susulan bagi kedua-kedua lokasi yang saya maksudkan itu (iaitu di Crete dan juga Krakatoa) akan berulang pada bila-bila masa sahaja? (Baca sini dan sini).

Sehingga itu, kita hanya mampu berdoa dijauhi bencana serta bersegera melakukan kebaikan sementara nyawa masih dikandung badan. Diri ini akan terus mengikuti Saluran Sejarah 555, bagi mengingatkan diri sendiri akan kekerdilan kuasa manusia, juga sebagai sumber santapan minda.

Anda juga suka menontonnya? Atau sekiranya ada sumber maklumat lain, sudilah berkongsi dengan saya. Saya akan amat menghargainya…

5 comments:

Abang Long said...

Salam Syawal buat Puan.

Kita berkongsi minat yang sama :) Hehehe ..


Saya begitu berminat dengan Bermuda Triangle. Kisah Atlantis, dan sebagainya. Tetapi dirumah tiada saluran Astro. Banyak kali saya ditawarkan Astro percuma, tapi saya langsung tidak ambil, sebab masalah utamanya ialah, saya sukar hendak mengawl anak - anak ... hehehe ... terasa nikmat bila membaca - ANDA MAHU MENULIS ?

~PakKaramu~ said...

Salam ziarah dari Pak Karamu

arsaili said...

salam eid ...semoga dipermudahkan buat saudara kita yang ditimpa bencana

Ain Mardhiah said...

Assalamualaikum...

Salam ziarah dari bumi JOrdan.
Saya juga dari Parit Buntar. Tertarik pula bila dapat tahu ada penulis yang sefikrah di sana. Salam kenal, puan ^_^

insan_marhaen said...

embun, sejuk dan nyaman di pagi hari. Namun hilang menjelang tengahri. begitu maksud socrates, agaknya...