Monday, January 14, 2008

Pengajaran daripada rumput yang menghijau…

Kami sepatutnya juga berpeluang menghabiskan masa menaiki bot melihat-lihat helang berterbangan di udara dan diberi makan, menyusuri beberapa gua yang dipenuhi kelawar, menikmati stalaktit dan stalakmit yang meruncing ke bawah dan bercerancang pada lantai gua, menggosok-gosok dan mengurut belakang ikan pari jinak serta juga berlibur dengan sekumpulan ikan lumba-lumba (jika kami bernasib baik!) pada hari berikutnya...

Namun, kita hanya mampu merancang. Allah menentukan. Suami tersilap urat belakang ketika membongkok. Kami terlepas peluang. Hanya mampu mendengar cerita dan pengalaman dari mulut saudara-saudara saya nanti, yang akan pergi juga (kerana bot telah ditempah dan pembayaran telahpun dibuat). Pak N tukang urut ternama di situ dihubungi supaya dapat melegakan kesakitan yang ditanggung suami...

Beberapa butir mutiara telah dapat kami kutip daripada mulut Pak N. Kata-kata pembuka mata. Antaranya, manusia sezaman kita sering dihimpit penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan yang sewaktu dengannnya. Antara penyebabnya adalah kurangnya kita berhubungan kembali dengan bumi tempat kita berpijak. Ya! Tanah. Bukankah itu asal usul kita semua? Dan kita akan kembali semula kepada keadaan itu nanti. Seperti adik beradik kita. Tidak sepatutnya kita melupakan ia. Bina hubungan kembali. Sekali sekala, biar tapak kaki kita membelai embun pagi pada hujung rumput dan menyedut garam galian dari bumi yang terhampar. Menurut Pak N, bumi mempunyai daya tarikan pada tapak kaki, mampu menyedut dan menyahtoksikkannya bendasing terkumpul dalam badan. Apatah lagi, kita yang buat masa ini asyik menelan bahan makanan terproses dan dipenuhi unsur tambahan daripada kimia. Lebih-lebih lagi disyorkan bagi kita melakukannya secara rutin harian. Pak N mengibaratkan keadaan manusia sezaman kita seperti pohon yang merempat di tepi batu. (Kita menyarung kasut sejak baru pandai bertatih hingga sepanjang hayat!). Tambah buruknya, lantai kediaman kita dipenuhi simen, jubin dan marmar mahal. Bandingkan dengan sebuah pohon yang menegak di atas tanah yang subur. Pohon manakah yang akan tumbuh sihat merenduh?

Ayat-ayat ini menghantui jiwa saya:

Dan Allah menumbuhkan kamu dari tanah dengan sebaik-baiknya. Kemudian Dia mengembalikan kamu ke dalam tanah dan mengeluarkan kamu (daripadanya pada hari kiamat) dengan sebenar-benarnya” ~Nuh: 17 –18~

Dari bumi (tanah) itulah Kami menjadikan kamu dan kepadanya Kami akan mengembalikan kamu dan daripadanya Kami akan mengeluarkan kamu pada kali yang lain.” ~Thaha: 55~

Seketika, kami berdua tergamam. Teringatkan Almarhum datuk kepada suami saya, sebelah ayah. Dia berkesempatan hidup hingga lanjut usia. Berkaki ayam sepanjang masa, mengerjakan laman keliling rumah, ke sawah padi dan juga menoreh getah. Hanya menyarung kasut untuk dua tujuan sahaja. Iaitu, ke pekan membeli barang keperluan dan ke masjid besar di pekan, bagi solat Jumaat.

Kami berasa amat bertuah dan bersyukur. Sungguhpun kami tidak dapat bersama menaiki bot ke merata pulau namun ada hikmahnya yang Allah mahu kami belajar dan berkongsi. Mulai saat itu, saya dan suami seakan berjanji akan menapakkan kaki kami (sekurang-kurangnya sepuluh minit sehari) di atas rumput menghijau di luar sana, juga tanah yang di bawahnya. Kerana rumput-rumput dan bumi itu seumpama darah daging kita. Kita dan mereka adalah bersaudara. Saling perlu bersentuhan dan berhubungan....

Mungkinkah anda juga akan melakukan perkara yang sama selepas ini?

No comments: