Monday, February 11, 2008

Bertambah lagi usia setahun....


Hari ini, bertambah lagi usia saya setahun...Ya! Saya sudah berusia 49 tahun hari ini…
Tetapi jika dikira kalendar Islam, sudah melebihi setengah abad...(sebenarnya sudah 51).

Berapa banyak lagi baki usia kita, ya? Apabila mengingatkan itu, saya terkedu...Perlu guna masa yang ada supaya terus berbakti…
Di subuh hari, saya menerima sebuah buku daripada suami tercinta. Buku yang bertajuk "Book of Unforgettable Journeys" - Great Writers on Great Places, penerbitan Penguin Books. Buku terbitan pertama tahun 2007. Memang baru...Pasti seronok membacanya nanti.

Saya juga menerima ucapan pesanan ringkas daripada anak perempuan saya yang berbunyi, "Selamat Hari Jadi yang ke 49 buat Ibu dan Neena yang hebat! Moga Allah merahmati ibu selalu. Terima kasih di atas segala sokongan dan perkongsian hati yang diberikan...Kasih sayang daripada Nusaybah, Khalil dan Insyirah".

Mata ini sudah mula berkaca....

Saya juga mengingati sajak yang dikirimkan oleh anak lelaki saya (Anas bin Mohd. Sofian) yang masih 'bertarung' dalam dunia pengajian di bumi Manchester, England. Sajaknya bertajuk "Manis" berbunyi:

Manis.

Manis wajah dikuntumi senyuman,
Manis pekerti dihiasi thiqah,
Manis budi ditanami ikhlas,
Manis ilmu disertai amal,
Manis amal diujai ihsan,
Manis hidup dilindungi iman,
Manis usrah dibajai mawaddah,
Manis jamaah dipupuk ukhuwwah,
Manis ummah disemai tarbiyyah,
Manis daulah dinaungi barakah,
Manis da’wah diuji mehnah,
Manis Islam dipenuhi Izzah.
semoga hari-hari Mak penuh kemanisan..

(Hakcipta

aNas.Manchester darul Iman..=)
)

Tidak pula saya menyangka yang Puan Ainon Mohd. (SifuPTS) dan saya berkongsi tarikh hari lahir yang sama…
Sayapun lalu mengucapkan selamat hari lahir baginya dengan memanjangkan sajak kiriman anak saya. Saya ubahsuai dengan meminda 'Mak' menjadi 'Puan'.

Pemberian buku daripada suami tercinta, ucapan dari anak perempuan serta sajak kiriman anak lelaki saya ini amat berharga buat diri saya. Melebihi segunung intan....

"Ya Allah..Kami bersyukur di atas kurniaan kasih sayang anugerahMu ini...Terimalah segala amalan kami, peliharalah kami daripada menyimpang dari jalanMu, berikanlah kesempatan bagi kami menabur budi, dan menyemai benih-benih jasa menegakkan agamaMu dengan saki baki umur yang ada, Ya Allah...Amin"

5 comments:

Latiptalib said...

Selamat hari jadi saya ucapkan
kepada Umi yang berada di Penang
panjang umur, murah rezeki didoakan
bertambah prolifik dalam penulisan.

genap sudah 49 tahun
bertambah lagi usia setahun
beramal ibadat semakin tekun
betapa jernihnya titisan embun.

Umi Kalthum Ngah said...

Assalamualaikum Tuan LatipTalib,

Terima kasih banyak-banyak di atas pantun itu yang beriringan dengan doa..

Saya tidak pandai berpantun, menulis karya kreatif bolehlah...

Agaknya bila tarikh hari lahir Tuan Latip? Boleh pula saya berkunjung dan membalas kiriman doa..

Wasalam

Latiptalib said...

Tarikh lahir saya ada tertera pada kulit belakang novel-novel saya. Maknanya Ummi Kalthum Ngah tak pernah pun tengok novel tersebut. hehehe.

Umi Kalthum Ngah said...

Asslamualaikum warahmatullah,

Alahai Tuan Latip,

Saya baca isinya, tidaklah pula terperasan akan tarikh lahir penulisnya...

Tidak mengapa... selepas ini, saya lihat balik, ya?

Wasalam...

Nazhatulshima N said...

Walau lewat ucap selamat
Semoga Puan sihat walafiat
Karya bertambah rezeki berkat
Doa dikirim para peminat.

Saya pula 36 hari ini. Terima kasih dengan ucapan Puan.