Monday, February 25, 2008

Yang lama, yang baru dan perlunya perubahan..

Kebosanan menghimpit diri ini pada suatu hujung minggu pada tahun yang lalu. Cuti sabatikal selama 9 bulan masih berjalan pada ketika itu. Setiap awal pagi hari kerja, terlari-lari mengejar bas dalam kedinginan yang membeku ke Nightingale Centre, Nell Lane, berdekatan dengan pekan kecil Withington, Manchester. Itu cukup menyibukkan fikiran dan meletihkan. Maka tidak hairanlah pada hujung minggu, saya rasa tidak senang duduk.

Anak lelaki telahpun pulang ke tanah air bagi cuti musim panas. Meluangkan masa bersama ayah kesayangan dan juga kakak serta keluarganya. Tinggallah saya sendirian.

Bukannya diri ini tidak pernah keseorangan. Sebenarnya, jarang sekali dapat bersua dengan anak sendiri semasa tempoh bersabatikal itu. Kesibukan menghantui diri ini di ISBE (Imaging Science and Biomedical Engineering) University of Manchester manakala dia di UMIST (UMIST sudah tidak wujud lagi dan kedua universiti itu telahpun bergabung tenaga). Tempat saya lebih ke selatan. Lagipun, kami tinggal berasingan. Dia di Old Trafford sementara pilihan saya adalah di Rusholme, berdekatan “Curry Mile”, syurga makanan halal. Kami akan bertemu seminggu sekali hari bekerja di satu titik pertemuan di pertengahan jalan. Sama ada di kafetaria universiti berhampiran Oxford Road ataupun di salah satu tempat menjamu selera bertanda halal yang berserakan di lebuhraya utama yang hiruk pikuk itu.

Cuma pada hujung minggu itu, terasa ingin keluar meninjau-ninjau ke kawasan luar dari kota. Dan beberapa minit kemudian, saya telah berada dalam perut bas menghala ke Ashton-under-Lyne, bahagian timur kotaraya. Semasa bas melewati suatu perhentian, mata ini terpandang akan sesuatu dari tempat duduk di tingkat atas.

“Menarik!” kata hati.

Klik! Klik! Bunyi kamera dipetik sebaik pergerakan bas terhenti seketika. Sahabat karib ini sentiasa menemani ke mana saja kaki ini melangkah.

Apakah yang begitu menarik? Perhatikan tarikh yang tertera pada tembok. Ya! Tahun 1890. Terpahat pada dinding luar deretan rumah kedai yang dibina lebih sekurun lalu dan masih wujud hingga ke hari ini. Dan piring satelit itu? Sudah tentunya begitu ketara bezanya. Satu amat lama manakala yang satu lagi, barang baru.

Saya pernah ditanyai seseorang, “Dunia kita berputar. Masa berubah. Kita semakin dimamah usia dan tidak dapat lari daripada mengalami perubahan. Akan tetapi ada satu perkara yang tidak pernah berubah. Tahukah awak apa perkara itu?”

“Tidak! Katakanlah sahaja!” lantas saya bersuara.

“Perubahan itu sendiri. Ya! Kerana sememangnya itu adalah sifatnya sedari azali lagi. Senantiasa berubah!”

“Saya kurang mengerti!” kata saya keliru.

Kata-kata ini kemudian terhambur dari mulutnya, “Adakah awak tahu mengapa dinosaur itu sudah tidak wujud lagi di dunia ini? Saya sendiri pernah ditanyai professor semasa sedang belajar dahulu. Dan saya juga tidak begitu tahu. Kata profesor saya itu, disebabkan haiwan itu tidak pandai menyesuaikan dirinya dengan perubahan yang berlaku. Begitu jugalah nasib yang bakal menimpa diri kita ini jika kita tidak mahu mengambil iktibar. Oleh itu, buatlah perubahan. Sekiranya kita masih mahu terus wujud..”

Saya terkedu, menghadam segala patah perkataannya itu.

Allah telah menyatakan dalam Surah Ar-Ra’d ayat 11 yang bermaksud, “Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka."

Adakah kita mahu menjadi seperti dinosaur? Mahupun seperti lakaran perkataan pada tembok itu? Iaitu hanya sebagai bayangan silam atau sekadar tugu peringatan? Mungkin benar, ia adalah kenangan silam yang sepatutnya dihargai. Namun adakah sekadar itu sahaja? Universiti segah dan seutuh UMIST dan University of Manchester itupun telah mengalami perubahan. Dua telah bergabung menjadi satu. Supaya dapat terus bertahan dan cemerlang. Dan kini adalah universiti terbesar di U.K.

Supaya kita menjadi lebih berguna dan relevan maka kita harus rela melakukan perubahan. Kita mesti membenarkan perkara baru berlaku pada diri kita sendiri, pada roda kehidupan kita. Supaya kita dapat terus hidup dan setiap saat itu memanfaatkan dan dimanfaatkan. Ya! Kuasa penentu berada dalam tangan kita.

Lakukanlah perubahan itu! Mulai SAAT INI!

9 comments:

Latiptalib said...

Assalamualaikum

8hb nanti kita pergi mengundi. Saya dapat agak Umi pangkah apa hehehe.

Umi Kalthum Ngah said...

Waalaikumussalam,

Encik Latip, ke situ pula perginya...

Entri ini tidak ada kena mengena dengan situasi semasa. Ini adalah mesej 'evergreen' seperti yang diajar Puan SifuPTS. Bahkan ia sesuai dijadikan sebagai renungan sepanjang zaman.

Setiap perkara berubah. Kecuali perubahan itu sendiri. Jadi, kita perlu sentiasa merubah diri supaya sentiasa relevan. Contohnya mencari ilmu dan mengamalkannya...Bukankah begitu Encik Latip?

Tentu setuju!

Encik Latip...undi itu rahsia!

Wasalam

Unknown said...

:-) cakap pasal perubahan - teringat saya cerita 'katak yang mati di rebus oleh air panas....'.
Katak yang selesa di buai mimpi tidak peka dengan suasana yang telah berubah - ahirnya mati katak!

idham

Latiptalib said...

Salam Umi Kalthum Ngah

Sekarang ramai yang kena demam pilihanraya. Sebab itu ingat nak mengundi sahaja hehe.

Umi Kalthum Ngah said...

Waalaikumussalam Encik Latip,

Tidak mengapa.....

Kita sebagai penulis ini hanya mengemukakan sesuatu, sehingga dapat mencetuskan minda pembaca untuk berfikir.

Berbagai tanggapan boleh dibuat oleh pembaca. Terpulanglah kepada pembaca untuk membuat kesimpulan mengikut pespektif masing-masing.

Bukan begitukah Encik Latip yang budiman?

Wasalam

Umi Kalthum Ngah said...

Assalamualaikum warahmatullah,

Encik Idham,

Ya! Saya tahu mengenai cerita katak itu...

Sebab itulah kita perlu sentiasa berada dalam lingkungan mereka yang nasihat menasihati dalam kebenaran dan nasihat menasihati dalam kesabaran...(Surah Al Asr)

Apabila seorang-seorang, tidak perasan yang air semakin lama semakin panas hingga akhirnya ke paras menggelegak!

Saudara orang HR, sudah tentu banyak kisah yang boleh dikongsikan bersama, ya?

Wasalam

silversarina said...

salam perkenalan,

Saya bersetuju dengan setiap insan perlu berubah ke arah kehidupan dan jalan yang lebih baik dan perubahan diri adalah paling utama.

btw, saya baca your previous entries and I found this name..puan hajah Kerisisiah Mohd Daud, yang jugak dipanggil Kak Mah kan ?? kalau benar itu adalah Kak Mah, sampaikan salam saya padanya jika puan berjumpa dia...teman lama semasa kami tinggal bersama di Kerteh before she moved to Ipoh and we lost contact.

Umi Kalthum Ngah said...

Assalamualaikum Puan Silversarina,

Terima kasih kerana sudi meninggalkan jejak di sini...

Sudah tentu akan saya sampaikan salam kepada Keris (itu nama manja saya padanya..)

Anak-anak kami membesar bersama-sama sejak dari dia sekeluarga di USM Penang sejenak, kemudian ke Kerteh, dan kembali bertemu semula di Ipoh. Kami sama-sama ahli aktif JIM Ipoh dan negeri Perak. Kerisisiah menjadi Ketua Wanita JIM Negeri Perak yang pertama (1991-92) manakala saya Setiausahanya ketika itu..Masing-masing kami sudahpun bercucu...Masa begitu pantas berlalu, bukan?

Cuma, saya mahu nyatakan nama penuh Puan bagaimana ya?

Wasalam,

Neeza Shahril said...

Entri kak Umi buat neeza termenung sekejap. Contoh dinasour memang patut diikuti oleh orang orang yang telah berada di zon selesa. Dunia berubah tapi manusia masih seperti dulu. Takut akan perubahan akhirnya membawa bencana. Kita perlu berani. Tak perlu ada kalau kalau lagi... go for it!!