Wednesday, April 23, 2008

Nilai sebuah persahabatan(2)....





















(..sambungan)

Sudah beberapa minggu berlalu dengan suasana angin kencang menderu bersekali hujan dan hari-hari yang kelam. Namun cuaca pada hari itu tiba-tiba sahaja menjadi cerah manakala mentari pula bersinar gemilang. Seakan turut meraikan kegembiran yang terlonjak-lonjak di hati ini ketika kaki melangkah semula ke *****y Avenue.

Sebaik jari ini memetik loceng di pintu bernombor ** itu, pintupun terus sahaja terbuka. Seorang wanita sekitar separuh usia dengan senyuman memenuhi wajahnya, muncul di balik daun pintu. Lantas dia mempelawa masuk, dan dengan tidak semena-mena, terus memeluk dan melepaskan suatu ciuman di pipi diri ini.

“Awak semestinya Umi, bukan?” katanya.

Lantas saya mengangguk dan membalas dengan perasaan terharu, “Dan puan semestinya pula Puan G, ibu kepada T? Gembira dapat bertemu!”

“Ya! Sudah pasti! Saya juga gembira kita dapat bertemu!”

Kelihatan kelibat seseorang menuruni tangga di tengah rumah. Dan kemudian dia, iaitu sahabat lama, sudah berdiri di belakang ibunya itu.

“Hi!” katanya, tersenyum lebar. Dia terus sahaja menarik diri ini ke dalam dan kami berpeluk erat. Ciumannya melekat sejenak di pipi diri ini.

Hati terlalu gembira namun sempat berkata, “T! Awak sedikitpun tidak berubah!”

“Awakpun!” kata T membalas.

“Berat badan saya sudah bertambah!” kata saya.

“Oh! Jangan risau! Semakin masa berlalu, siapakah yang tidak bertambah berat badannya! Mari! Jemput masuk!” kata Pua G sambil tertawa. Jaket yang tersangkut di lengan ini diambilnya dan terus dia memimpin tangan saya masuk ke ruang tamu.

Mata terpaku pada seorang lelaki tua yang sedang duduk-duduk di kerusi sandar. Pandangannya melekat pada TV.

Lalu saya menegurnya dengan berkata “Encik G? Selamat petang!”

“Hello!” katanya, membalas dengan tersenyum lebar.

Kami berbual-bual buat seketika. Sahabat lama saya menunjukkan kepingan-kepingan gambar adik-adik lelakinya (T anak yang sulung) semasa majlis perkahwinan mereka. Tidak lupa juga akan gambar keluarga sendiri. T telah memandu sepanjang jalan dari rumahnya di Shrewsbury bertemankan anak gadisnya. Namun, anaknya tidak pula kelihatan.

“Dia keluar menonton filem terbaru Harry Porter bersama kawan-kawannya!” kata T.

Mark tidak dapat bersama disebabkan terpaksa menghabiskan projek permintaan pelanggannya. Rupa-rupanya dia masih meneruskan kerja dalam bidang yang menjadi kegemarannya sejak dahulu lagi iaitu seni taman.

Kebetulan, saya pula tidak lupa membawa bersama beberapa keping gambar keluarga buat tatapan. Encik G kelihatan tercuit hatinya apabila terpandang gelagat cucu saya dengan tangannya menongkat dagu, tersenyum riang sambil matanya bercahaya dalam gambar yang terpampang.

“Pandai dia beraksi!” katanya meniru gaya itu.

Puan T memanggil dari arah dapur, “T! Minum petang sudah siap. Baik awak menikmatinya dengan Umi di sini. Sementara cahaya matahari masih bersinar di taman belakang!”

Kami berdua duduk berbual-bual panjang di taman kecil namun cukup berwarna warni. Meja kecil penuh terhidang dengan biskut, skon dan teh Inggeris yang menjadi kebiasaan dalam masyarakat sebelah sana. Perbualan kami berkisar pelbagai kehidupan masing-masing sebaik keluar universiti bertahun-tahun yang lampau.

T berkongsi kisah suka duka keluarganya. Ibu ayahnya berasal dari kelas pertengahan. Ketika dia mula-mula mendapat tawaran masuk ke universiti, seisi keluarganya amat bergembira dan seakan tidak percaya. T telah menerima berbagai hadiah daripada ibu dan ayah saudara dari kedua-kedua belah pihak keluarganya. Berita penerimaan tawarannya itu seolah satu kejayaan yang besar bagi keluarganya. Belum pernah lagi ahli keluarganya yang dapat menjijakkan kaki ke menara gading. Ibunya dapat merasa suasana universiti hanya sebagai pekerja di kafetaria Universiti Manchester. (Kini, kafetaria itulah yang menjadi tempat saya dan anak lelaki saya bertemu di kala waktu yang terluang; saya dengan kerja yang tidak berkesudahan di universiti dan hospital manakala anak saya dengan kuliah, makmal dan persiapan tugasan). Ayah T pula seorang mekanik dan bekerja di bengkel milik orang lain. Kini ayah T adalah pengidap penyakit Alzheimer.

“Ayah saya banyak menghabiskan banyak masanya di hadapan TV. Kemungkinan dia tidak akan dapat ingat pada awak lagi sebaik kita masuk semula ke ruang tamu itu nanti!” kata T, tertawa kecil.

Semasa di awal perkahwinannya, kehidupan T suami isteri agak sukar. Hanya bergantung kepada gajinya sebagai guru baru mula mengajar. Suaminya tidak mendapat sebanyak mana dari kerjanya sebagai tukang kebun ketika itu. Kemudian, suaminya belajar sendiri dalam bidang senitaman dan menceburkan diri dalam projek besar. Namun, ada juga orang yang mengambil kesempatan ke atas sifatnya yang baik hati, sehinggakan tidak menjelaskan pembayaran setelah projek-projek itu selesai. Walau apapun, T menyatakan yang dia tetap bersyukur sebab sungguhpun ada di antara kawan-kawannya yang kemudiannya menjadi kaya raya tetapi rumahtangga mereka hancur berkecai ataupun diuji dengan kesihatan mereka yang terganggu. Sebaliknya dia pula masih mempunyai suami yang pengasih, anak yang sudah besar panjang dan ibu ayah yang amat memahami kehendak mereka. Saya amat menyetujui pandangannya itu. Ketika ini, T sudah dinaikkan pangkat menjadi timbalan pengetua sekolahnya manakala suaminya pula seorang pakar seni taman yang disegani.

Ibu ayah T jarang menerima tetamu. Hanya saudara rapat mereka yang datang berkunjung, itupun hanya sekali sekala. Oleh itu, ibu T begitu susah hati apabila mendapat tahu yang saya akan ke rumahnya. Menurut ibunya, rumahnya sungguh sempit dan tidak setaraf dengan rumah bangsa Inggeris yang lain. Sudah tentunya saya mengenepikan semua perkara ini.

Sahabat lama saya ini telah sempat menyelongkar kotak-kotak yang telah sekian lama tersimpan di loteng rumahnya. Di antaranya, timbunan surat-surat kiriman saya padanya pada awal-awal tahun selepas kami berpisah. Paling menarik sekali adalah buku kecil yang menyenaraikan nama-nama pelajar yang berjaya berkonvo pada musim panas tahun 1981, University of Sheffield. Saya memilih untuk tidak tunggu menghadiri majlis konvokensyen sebab mahu pulang awal mencurah bakti di tanah air. Skrol dihantar pihak universiti melalui pos udara. Saya memandang senarai nama-nama itu. Nama T tersenarai kira-kira empat ke bawah daripada nama saya, di bahagian mereka yang lulus dengan Kepujian. Amat bermakna sekali senarai yang tertera di lembaran yang sudah kekuningan itu. Hati ini sungguh tersentuh. Mata ini pula sudah mula berkaca…

Sebelum saya mengundur diri, T telah sempat menghadiahkan sesuatu. Sebuah balang kaca berpenutup kayu, bermotifkan lukisan perkampungan Inggeris. Yang memeranjatkan diri saya adalah apabila Encik G dengan spontan sahaja bingkas bangun dan tersenyum mahu menghantar saya ke luar rumah. Saya teringkatkan kata-kata sahabat saya bahawa secara lazimnya ayahnya tidak akan dapat mengingati sesiapa yang datang berkunjung. Bahkan, beliau menawarkan diri bagi mengambil gambar kami berdua di luar rumah sana, menggunakan kamera saya. Dan gambar itu pula menjadi dengan begitu cantik sekali!

Kami saling melambaikan tangan setelah sekali lagi ibu T memberi suatu pelukan mesra serta ciuman di kedua-dua belah pipi ini. T berbesar hati menghantarkan saya balik ke rumah sewa dengan keretanya. Di saat berpisah, kami berpelukan lagi dan berjanji akan terus berhubung.

Sebenarnya dalam suasana iklim yang tidak begitu subur bagi kaum Muslim di negara sebelah barat ini, saya amat bersyukur kerana telah sekurang-kurangnya dapat melakukan sesuatu bagi menangkis segala tanggapan buruk yang menghantui fikiran warga British. Kemungkinan apa yang telah saya lakukan adalah sangat kecil sekali. Namun saya amat berharap yang usaha sekecil ini telah dapat meninggalkan suatu kesan yang mendalam bagi masyarakat setempat golongan pertengahan. Media massa sentiasa mengambil peluang menyerang dan menimbulkan salah faham mengenai Islam dan penganutnya. Ini hampir muncul setiap hari, sehingga memualkan hati.

Saya sangat gembira kerana telah dapat menggembirakan hati sebuah keluarga ini pada hari itu. Saya juga sangat berharap supaya mereka telah mendapat gambaran sebenar sikap seorang Muslim. Kemudiannya pula dapat berkongsi pengalaman mereka ini dengan orang lain. Gambaran tentang bagaimana Muslim itu bukanlah orang yang mahu menimbulkan kekacauan dan keresahan di hati. Malah amat mengambil berat akan perkara seperti contohnya nilai sebuah persahabatan. Saya mengucapkan syukur kepada Allah kerana memberi peluang dan kesempatan mencetuskan semula perhubungan ini. Kerana sesungguhnya itulah tugas yang seharusnya setiap daripada kita berusaha untuk lakukan…membina tautan dan jambatan..bukannya tembok pemisah….

17 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum puan.

Semoga sihat dan sejahtera se isi keluarga.

Datang berkunjung di tengah malam sambil mencuci minda di sini.

Anonymous said...

Saya baru sahaja lepas menghadiri bengkel puan pada sabtu lepas...

Bekas anak murid pn kamariah @ kami panggil umi...best program tersebut...

Khairul Nizam

(niezam_khairul90@yahoo.com)

Umi Kalthum Ngah said...

Waalaikumussalam,

Saudara KS,

Terima kasih di atas ingatan dan doa..

Selalu-selalulah singgah...

Moga sentiasa berbahagia bersama isteri serta keluarga dengan cucu comel dan dirahmati Allah selalu..Amin

Pasti suasana rumah saudara semakin berseri dan riuh rendah, ya?

Wasalam..

Umi Kalthum Ngah said...

Assalamualaikum Saudara Khairul Nizam,

Selamat datang ke blog saya ini..

Terima kasih sudi hadir semasa program bengkel Penulisan Sabtu lepas (19 April 2008) anjuran JIM Negeri Melaka itu..

Semoga bengkel itu telah dapat mencetuskan semangat bagi saudara serta rakan-rakan remaja yang lain (terutamanya yang lelaki)supaya menghasilkan karya dan dapat diterbitkan dalam media umum..Amin.

Rajin-rajin menulis selalu, ya?

'Pisau perlu diasah selalu supaya sentiasa tajam...'

Wasalam

Anonymous said...

Selamat malam...

Erm, kadang kala susah hendak menghasilkan karya yang kreatif dan adakah novel yang puan tulis kesemuanya berdasarkan kisah hidup sendiri ??

Khairul Nizam

Umi Kalthum Ngah said...

Saudara Khairul Nizam,

Terima kasih kerana sudi bertanya..

Saya setuju memang sukar mahu menulis karya kreatif.

Oleh itu, jika kita ada membaca buku-buku bagaimana mahu mula menulis, lazimnya, kita akan disarankan mula menulis dengan sesuatu yang dekat pada hati kita..

Jadi, saya sendiri mula menulis mengenai pengalaman hidup saya sendiri...4 karya saya iaitu
a. Dafodil Untuk Insyirah(pengalaman pertama kali menjejak kaki ke negara sebelah barat),

b. Sentuhan Muttaqeen (berdasarkan pengalaman anak lelaki saya yang bersekolah agama (rangkaian MUSLEH) dari darjah satu hingga berjaya ke luar negara)

c. Seungu Lavendar - kisah benar saya sejak dari kecil (jika dalam PTS istilahnya adalah karya jibunsyi) dan

d. Seindah Dafodil-pengalaman saya berada di Canada selama 3 bulan seorang diri

adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri. Namun jalan cerita bagi a,b dan d adalah rekaan semata-mata..

Kecuali buku Puteri Salsabila - ini adalah karya 100% imaginasi...

Lebih mudah cara itu dan kita tulis setulus hati..dari hati..

Sesuatu yang datang dari jauh di lubuk hati kita akan lebih terkesan dan dapat menyentuh hati pembaca...

Itu pandangan saya...

Wallahualam..

Wasalam..

ABDUL LATIP said...

Assalamualaikum warahmatullah,

Nilai sebuah persahabatan, menarik tajuknya. boleh dijadikan novel. selamat berkarya.

Akak said...

Salam Puan Umi...

Terima kasih sudi singgah ke blog akak..

Sedih baca cerita T, tapi alhamdulillah mereka ada sahabat seperti Pn Umi...

Maaf sebab Akak tak tahu yg Pn Umi seorang penulis...now dah tahu, nak kena carilah novel tu utk dibaca...

Anonymous said...

Assalamualaikum.

Semoga hari ini menggembirakan pn.

Terima kasih singgah di rumah kecil saya.

Selepas menyangkut pen biru diharap turunkannya kembali untuk terus berkarya

HCI said...

Dear Umi,

Tak masuk pertandingan Hadiah Sako ker?

Anonymous said...

Umi,

Saya jugak alumni Univ. of Sheffield,(1992)

Anonymous said...

Assalamu'alaikum Puan NeenaUmi,

Blog ini (link di nama saya) untuk novel Meredah Samudera. Terima kasih...

Anonymous said...

Salam.

Puan,

Saya berminat menumpahkan pengalaman saya berkahwin muda menjadi sebuah buku yang bisa dibaca belia muda remaja. Boleh tahu bagaimana caranya?

Anonymous said...

Assalamu'alaikum Puan NeenaUmi,

Saya berminat untuk menulis novel.saya yg pekerja GDex di tempat puan.

Berminat sangat untuk menulis novel.

Boleh bagi tahu caranya??

Mohamad Fayyaz

Anonymous said...

Salam Umi...

Akak link ur; nie ke blog akak yea.. (dah add baru minta izin) bukan apa, senang nak jenguk2 kesini selalu...

Umi Kalthum Ngah said...

Assalamualaikum,

Mutiara,

Bagus! Namun saudari teramatlah muda..saya graduate lebih 10 tahun sebelum saudari..

ImranYusof,
Terima kasih kerana memberi link baru itu..Banyak betul blog saudara nampaknya...

AkakSharifah,

Teruskan..Tidak mengapa..Terima kasih kerana sudi membuat pautan ke blog ini..




Saya hanya penulis sambilan...Mana mungkin setanding dengan sasterawan...

Tidak mengapa...seronok-seronok saja menulis..mengisi masa lapang, menenangkan fikiran dan berkongsi pengalaman..adalah satu kepuasan..

Wasalam

Umi Kalthum Ngah said...

Assalamualaikum,

Mrs.Bad dan Mohamad Fayyaz,

Bagus mendengar anda berdua berminat menjadi penulis.

Ada beberapa perkara yang perlu dilakukan:

a. Cari penerbit (perlu buat 'kerja rumah' sedikit..)Sebab lain penerbit, lain citarasa mereka. Sekiranya PTS, mereka menerbit buku secara 'kuih tempah'. Ada genre yang mereka mahu terbitkan. Ada genre yang mereka telah buat kajian sukar menembusi pasaran..

b. Buatkan proposal dan hantar kepada penerbit berkenaan.

c. Sekiranya karya kreatif, maka di PTS yang saya tahu..mereka mahu sinopsis mengikut genre yang dipilih. Setelah sinopsis telah mereka baca dan persetujui, baru boleh mula menulis.

d. Kadangkala penerbit mahu penulis mempunyai sesuatu kefahaman yang jelas dalam misi dan visi penerbit. Contohnya, di PTS, penulis karya kreatif MESTI hadir bengkel KJ method (supaya karya pantas ditulis) dan Teknik Surah Yusof (supaya karya mempunyai bahasa indah dan bercirikan 'evergreen')..Kedua-dua kursus ini dikendalikan secara percuma dan diadakan hanya 2 kali setahun. Rebutlah peluang yang ada, ya?


Sila layari:

http://www.universitipts.com/

Wasalam