Sunday, July 6, 2008

Melentur rebung.....

Kaki disusun dan melangkah dari petak letak kereta. Sayup-sayup kedengaran khutbah Jumaat dari corong masjid kampus.

“Banyaknya tugas yang belum selesai,” kata hati saya lalu memperingatkan diri dengan sepotong hadis, “rebutlah 5 perkara sebelum datangnya 5 perkara….salah satunya....masa lapang sebelum sibuk...”

Beberapa minggu kebelakangan ini, saya tidak menang tangan. Laporan demi laporan perlu diserahkan. ‘Outcome Based Evaluation’ (OBE) yang perlu didokumenkan. Urusan pelajar baru masuk bagi sesi pengajian terkini. Memikirkan senarai tajuk-tajuk projek tahun akhir memeningkan kepala…. Kursus ‘Continuing Profesional Development’ (CPD) baru berlangsung selama beberapa hari dan bermacam lagi.

Walaupun telah selesai melalui siri Penilaian Tahap Kecekapan ataupun PTK (TK6 telah saya ikuti dalam tahun 2004), kini kakitangan akademik pada aras saya perlu juga mengumpul 10 unit setiap seorang setiap tahun. Tiada mata CPD maka tiadalah pergerakan gaji tahunan. Dan CPD yang baru-baru-baru diikuti di kampus induk hanya mempunyai nilai sekiranya hadir sepanjang beberapa hari diadakan. Bermakna, tidak hadir kesemuanya, maka markah terkumpul adalah sifar. Saya setuju dengan saranan perlu hadir CPD ini. Selain menambah ilmu baru, dapat juga menjalin hubungan dengan kakitangan lain merentas kampus dan juga pertautkan semula hubungan dengan rakan lama.....(Bertemu semula dengan senior semasa zaman saya di Kolej Tunku Kurshiah, Seremban...saya di tingkatan empat manakala dia di tingkatan enam atas..rasa seronok sekali!)

Ada lagi tugasan yang perlu saya selesaikan sebelum mesyuarat pusat pengajian minggu hadapan (yang pembentangannya terpaksa saya wakilkan kepada rakan sepejabat disebabkan saya akan berpergian... ke mana? Akan saya nyatakan nanti).

Sedang fikiran penuh dengan pelbagai tugasan yang bermain dalam kepala, pandangan mata hinggap pula pada beberapa orang anak remaja. Ada yang sedang berbaring-baringan di gazebo yang terletak di ruang teduh tengah-tengah blok bangunan pusat pengajian. Ada di kalangan mereka yang main tolak-tolak sesama sendiri, menarik-narik lengan baju melayu yang disarungkan di badan dan kopiah di kepala. Kedengaran hilai gelak ketawa di antara mereka, berborak dan bergurau senda.

Lantas, saya menegur, “Anak-anak ini sudah berpakaian segak begini, sudah tentu mahu solat Jumaat bukan?”

“Ya!” kata salah seorang daripada anak muda yang sedang berbaring di lantai jubin berkilat, sejuk dan damai, di kelilingi pohon merimbun.

“Tetapi, belum lagi habis khutbah, nanti panggilan mahu mula sembahyang, kami pergilah ke masjid!” kata kawannya.

“Hmm...Mengapa anak-anak ini tidak duduk sahaja di dalam masjid, dengar khutbah dengan teliti?” kata saya lagi.

Mereka terdiam.

“Baik! Sekiranya mahu menjadi orang Islam yang bagus dan supaya sembahyang Jumaat anak-anak ini lebih bererti, dengar kata-kata saya ini, baik-baik. Pergi ke mesjid sekarang juga, ya?”

Lalu raut-raut muka setahun jagung itupun perlahan-lahan mengheret kaki masing-masing mengikut lorong di celah bangunan menghala ke masjid.

Ini bukanlah kali pertama saya melontarkan teguran begini. Sudah beberapa kali, setiap kali kepada kumpulan yang berbeza.

“Kesihan ibu ayah anak-anak ini! Sangka mereka anak-anak sudah ke masjid, rupanya bermain dan membuang masa!” keluh hati saya.

Itu belum lagi suasana yang pernah saya lihat di masjid yang lain.

Ada anak-anak muda yang masih berborak-borak di luar pagar masjid. Malah di masjid tersohor berdekatan KLCC, ada yang membentang sejadah di bawah pokok dan memilih bersolat Jumaat di situ sahaja. Masakan mereka tidak tahu, jika saf terputus, bagaimana dengan solat mereka itu?

Saya menghela nafas panjang....

PS. Saya sekeluarga (termasuk si kecil mulut becok, yang bernama Insyirah) akan ke United Kingdom bermula 9 Julai dan kembali semula ke tanah air pada 21 Julai. Kami akan meraikan kejayaan anakanda Anas Mohamad Sofian yang bakal berijazah (M. Eng Mechanical Engineering, University of Manchester) pada 11 Julai, Insya Allah. Sungguh saya bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana telah mempermudahkan segala urusan dan mengabulkan doa, mengurniakan kejayaan cemerlang bagi anak bongsu saya itu . Saya memohon kepada Allah supaya mempermudahkan juga segala urusan anak-anak tuan-tuan dan puan-puan sekalian dalam mengejar cita-cita mereka. Moga juga dilimpahi segala rahmat dan ganjaran buat bekalan di dunia sana…Amin Ya Rabbul Alamin…

4 comments:

Anonymous said...

Salam Dr. Umi,

Hmmm ... bila semester baru bermula ni ... saya pun tak menang tangan juga mengurus byk perkara ... terasa tak sempat sahaja ... Rasanya masih belum bersedia mental dan fizikal untk berkuliah! Tapi, mengenangkan amanah ... oh, beratnya!

Tertarik saya cara Dr. menegur pelajar ... saya ini kdg2 serasa tak mampu sahaja nak menegur walau tahu salah pelajar2 ini ... Saya berazam utk menguatkan hati membetulkan apa yg salah semester ini ...

Tahniah atas kejayaan anakanda .. Semoga Dr. sekeluarga akan sentiasa dirahmati Ilahi ...

have a nice day ...

Umi Kalthum Ngah said...

Waalaikumussalam Cik Fisha,

Ya! Cik Fisha! Memang begitulah kita ini, ya?

Kalu orang Perak, katanya, "Sibuk semedang!"

Bagi saya, tugas penyarah bukan hanya memberi kuliah tetapi merangkumi tugas mendidik dan membimbing. Oleh itu, sekiranya ada peluang atau ruang, maka seharusnya kita memberi nasihat dan teguran yang membina..

Terima kasih banyak-banyak di atas ucapan...

Selamat maju jaya bagi semester 1, sidang baru ini, ya?

Wasalam..

cikMilah said...

semuga perjalanan Kak Ummi selamat dan menggembirakan. Tahniah untuk graduan.

Umi Kalthum Ngah said...

Assalamualaikum warahmatullah,

CikMilah,

Terima kasih banyak-banyak di atas kiriman doa...

Moga Allah permudahkan segala urusan Cik Milah, anak-anak serta keluarga pula...Amin