Saturday, June 27, 2009

Demi ukhuwah fillah...

“Mak sihat?” kedengaran suara yang amat dikenali dari hujung talian sana.

“Sihat! A*** bagaimana?” kata saya, hati seperti dapat menangkap sesuatu yang tidak berapa kena pada nada suara anak lelaki saya itu.

“Sajalah…Ada cerita sikit,” suaranya agak perlahan dan memanjang sahaja dengusannya.

“Ya?”

“Semalam, sewaktu sembahyang jamaah di masjid, kaca mata saya pecah dipijak seorang kanak-kanak yang berlari ke sana ke mari. Sedangkan kaca mata itu telah saya letakkan elok sahaja atas sejadah, separas dada sewaktu sujud,” katanya menarik nafas panjang.


Diam seketika.

“Mak sedang mendengar ini,” kata saya, memberinya galakan supaya meneruskan ceritanya.

“Selesai solat berjamaah, saya lihat seorang lelaki sepertinya berasal dari sebuah negara benua Afrika datang mendekati. Dia memohon maaf dan mahu menanggung ongkos apabila diperbaiki. Kemudian, dia bertanya berapa harga kaca mata saya itu. Saya berterus terang dan menyatakanlah sahaja, harganya lebih RM 1000.”

“Apa yang terjadi? Suara seperti tidak begitu seronok,” kata saya memberi kata balas.

“Setelah lelaki itu mendengar jawapan saya, tiba-tiba sahaja dia seperti mahu menyerang dan berceramah sakan kepada saya akan perlu percaya dan yakin kepada Qada’ dan Qadar. Siapakah yang tidak berdesing telinganya?”

“Hmm..” Saya tahu sesuatu tidak baik pasti telah berlaku kerana saya kenal sangat dengan hati budi anak muda yang mudah terusik dan cepat naik semangat apabila diganggu-gugat.

“Saya terus melenting. Saya kata padanya jangan memperkecilkan diri saya. Saya tahu apa itu Qada’ dan Qadar. Sebaik saya melangkah ke arah pintu masjid, saya lihat semua mata jamaah dalam masjid tertumpu kepada kami berdua. Jamaah yang terdiri dari pelbagai bangsa dari seluruh dunia.”

Persekitaran tempat tinggal anak kami itu di sekitar Amapang (kediaman hinggap bagi suami saya dan saya semasa selangan hujung minggu ataupun menghadiri urusan tatkala di ibu negara) dihuni oleh pelbagai bangsa dari seluruh, dari negara Timur Tengah dan warga Korea terutamanya.

Saya berdiam diri, memberi ruang baginya menyusun kata.

“Saya tidak dapat tidur sepanjang malam semalam Mak! Memikirkan berbagai perkara. Bayangkan, tatkala solat, kami berdiri sama tegak dan kemudian sujud, bersatu hati, kepada Tuhan yang Maha Esa. Kemudian, sebaik selesai memberi salam, masing-masing suara meninggi. Dengan orang yang sedarah sedaging.”

Saya masih mendiamkan diri, membiarkan dia meluahkan perasaannya.

“Pagi, tadi, saya ke kedai cermin mata. Kena RM 300. Tadi, semasa selesai solat zuhur berjamaah di masjid, lelaki itu datang lagi. Dia bertanya berapa kos perbaik cermin mata. Saya beritahunya. Kemudian, dia mancapai dompetnya dan mengeluarkan wang sebanyak itu. Namun, saya kata kepadanya, “Ambil semula RM 100 ini,” Apabila dia bertanyakan mengapa, saya katakan padanya, “Sebab saya hilang pertimbangan dan mahu menebus kesalahan hanya kerana disebabkan perkara sekecil itu.” ”

Tanpa disedari, bibir saya menguntum sebuah senyum.

Kemudian si anak muda saya itu menyambung kata-katanya, “Kami berdua berpelukan sesudah itu, saling memaafkan dan menepuk-nepuk bahu. Semua yang di dalam masjid tersenyum gembira.”

“Baguslah!” kata saya dalam nada perlahan.

“Ya! Dada ini terasa begitu lapang sekali,” kata anak muda saya itu.

Saya tidak lagi berkata apa-apa mengenai perkara itu. Kami berbual mengenai hal lain selama beberapa lama lagi.

Jauh di sudut hati, saya amat gembira dan bersyukur kepada Allah kerana anak muda saya itu telah dapat mempelajari sesuatu. Nilai persahabatan dan ukhuwah serta kecintaan antara satu sama lain (terutamanya dari kalangan seagama) adalah tidak ternilai harganya, jauh lebih tinggi harganya daripada perkara remeh-temeh yang kononnya kita anggap milik kita di dunia ini.


Monday, June 15, 2009

Gugurnya sebutir bintang bergemerlapan...

“Mak, Syekh Fathi Yakan sudah dijemput pergi,” kata anak saya ketika jari-jari ini sedang sibuk mengisi butir-butir lawatan ke industri tempat pelajar saya ditindik sepanjang 2 minggu terakhir ini.

Mendengar itu, tangan ini terhenti seketika lalu matapena diletakkan ke tepi. Hati terasa sayu lalu dibacakan doa buat ulama sanjungan yang telah pergi.

Dr. Fathi Yakan – profesionnya sebagai jurutera elektrik dan elektronik, juga memegang ijazah dalam bidang pengajian Islam. Seorang ulama, ahli politik, penulis buku, telah pergi menemui Yang Maha Pencipta pada Ahad 14 Jun 2009.
Hasil penulisannya berjudul “Apa Ertinya Aku Menganut Islam" menjadi teman dan merubah persepsi diri ini mengenai iman dan tuntutan tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Bukunya ini, yang di antara lebih 35 buku yang lain (seperti Bahtera Penyelamat Dalam Kehidupan Pendakwah) juga menjadi bahan rujukan dan dijadikan bahan tazkirah dalam majlis-majlis usrah sewaktu belajar mahupun ketika aktif dalam aktiviti kemasyarakatan hatta hingga ke hari ini.

Fathi Yakan dilahirkan di Tripoli pada tahun 1933. Aktif dalam kerja-kerja dakwah Islam di Lubnan pada pertengahan 1950’an dan juga perintis penubuhan Gerakan Islam di sana. Beliau dilantik sebagai ahli Parlimen dalam tahun 1992.

Pemergiannya amat terasa sekali…sebutir bintang mungkin telah gugur namun cahaya dan gemerlapannya tidak mungkin hilang dari pandangan mata dan akan sentiasa berbekas di hati...

Moga Allah merahmatinya, segala jasa dan pengorbanannya dalam menegakkan Islam dibalas dengan Jannah..Amin

Moga akan lahirnya lebih ramai lagi Fathi Yakan dari kalangan kita dan juga generasi yang akan datang…Amin..

PS. Masa ulama agung itu telah diputuskan. Bagaimana dengan ruang masa bagi kita? Pasti akan tiba juga saat bagi ‘embun-embun pada diri kita’ kian mengering, tidak bisa membias lagi…..Sudah cukupkah persiapan kita bagi menghadapi saat itu?

Friday, June 12, 2009

Menyemai benih dunia sana...




























Membina Generasi Al-Quran

Itulah moto Institusi Pendidikan Al Hidayah, sebuah institusi pendidikan yang telah menjangkau 20 tahun usianya, terletak di celah pergunungan batu kapur di kawasan Gunung Rapat, Ipoh, Perak.

Di situ juga tempat dilahirkan golongan pelajar yang seimbang pendidikannya, selaras dengan konsep pendidikan dalam Islam yang berteraskan kesyumulan (menyeluruh) dan keseimbangan. Keseimbangan dan menyeluruh yang dimaksudkan adalah yang menekankan antara lain, aspek rohani, jasmani, akal, kemerdekaan jiwa, pergaulan (termasuk pergaulan antara jantina) didikan kemahiran dan lain-lainnya.

Bermula dari keadaan fizikal yang terhimpit (menyewa tiga buah bangunan kediaman di sekitar lewat tahun 80’an di Rapat Setia, Ipoh) kini dua blok bangunan tersergam berdiri, menempatkan sekolah rendah dan sekolah menengah. Institusi ini menjadi kebanggaan warga Ipoh kerana tersohor sebagai kategori sekolah agama berjaya melahirkan pelajar yang pencapaiannya paling cemerlang dalam kedua-dua bidang akademik mahupun agama.

Anakanda saya, Anas bin Mohamad Sofian yang kini adalah jurutera Carigali Petronas di tengah pelantar Lautan Cina Selatan, beratus kilometer dari persisiran Bintulu, telah menerima pendidikan awalnya dari darjah satu sehingga ke tingkatan 3 di institusi ini. Kisah suka duka serta lucu dan pengalamannya bersama-sama sahabatnya semasa belajar di sekolah telah saya kutip dan dijadikan bahan cerita dalam buku kedua saya iaitu “Sentuhan Muttaqeen”. Setting novel ini dinukilkan berdasarkan persekitaran sekolah ini. Cuma dalam novel saya itu, nama sekolah ditukarkan menjadi Institusi Pendidikan Al Muttaqeen.

Pertambahan bilangan pelajar yang meningkat dari tahun ke tahun sudah tentu memerlukan keadaan pembangunan fizikalnya juga sama pesat. Untuk itu, dengan saya penuh tanggungjawab, dan rasa terhutang budi saya kepada sekolah ini yang telah mendidik anakanda saya, maka saya memanjangkan rayuan ini. Rayuan pembinaan surau institusi ini yang amat memerlukan huluran, bantuan dan sokongan daripada kita yang seagama dan bersikap prihatin terhadap ruang pembangunan generasi pemimpin tempat bergantungnya umat pada masa hadapan. Surau institusi ini sahaja memerlukan RM 800,000, begitu juga aspek pembinaan fizikal yang lain.

Kerja pembinaan sedang berjalan. Namun terbantut-bantut, disebabkan kekurangan modal bagi diteruskan secara licin. Sekiranya para pembaca yang sudi memberi sumbangan, maka saudara/saudari dialu-alukan menghulur sumbangan ke:

i. Maybank – Pusat Pendidikan Al Hidayah Perak Bhd. Nombor akaun 558172005969

ii. Bank Muamalat – Tabung Pembangunan Al Hidayah. Nombor akaun – 08040000803716

Nombor bagi dihubungi:Puan Kamariah (kerani sekolah) 012-5858861. Di pejabat: Cik Shahida 05-3129373

Allah Ta'ala berfirman, “Bertolong-tolonglah kamu dalam berbuat kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan berbuat dosa dan aniaya” ~al-Maidah:2~

Dan juga,

"Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir, pada tiap-tiap bulir seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki . Dan Allah Maha luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui." ~Al Baqarah (2) : 261~

Moga Allah melimpahi rahmatNya kepada penderma dan penyumbang…Amin Ya Rabbul Alamin…

Thursday, June 4, 2009

Mengenang Jasa Guru...







“Boleh luangkan masa memberi pengisian bagi suatu slot Bicara Perdana Majlis Guru Islah dalam masa beberapa bulan lagi?” Cik Hajjah Norhayati Sidek bersuara di hujung talian.

“Majlis Guru Islah? Bolehkah saya diterima nanti? Mungkin tidak layak sebab saya bukan seperti guru yang begitu banyak berpengalaman di sekolah,” kata saya, suara sedikit terkejut.

“Sekadar berkongsi pengalaman sahaja. Sudah tentu boleh, bukan?” kata Hajjah Norhayati Sidek selaku Pengarah program Bicara Perdana itu.

Mengingatkan ayat berikut:

Bertolong-tolonglah kamu dalam berbuat kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan berbuat dosa dan aniaya...” (al-Maidah:2)

Menyebabkan saya akur dengan permohonan sahabat lama saya.

Berminggu-minggu sebelum program itu, saya mencuri-curi masa menyediakan persembahan Powerpoint yang diberi tajuk “Menggembeling Tenaga Guru Bercirikan Modal Insan Berhikmah”. Tajuk yang panjang, kadangkala semput nafas mahu menyebutnya.

Berbagai bahan bacaan saya cuba kutip. Di antaranya buku “The 7 Habits of Highly Effective People” dan “The 8th Habit: From Effectiveness to Greatness”, kedua-dua buku oleh Stephen Covey. Juga buku, “The Empty Raincoat: Making Sense of the Future” oleh Charles Handy serta buku “Talent is Never Enough: Discover the Choices that will take you Beyond Your Talent” oleh John C. Maxwell.

Beberapa rujukan lain juga telah saya usahakan bagi memantapkan penyampaian slot saya yang dijadualkan pada pagi 24 Mei 2009 itu. Isi penyampaian saya seboleh mungkin menekankan setiap daripada kita perlu mencari apakah bakat yang kita miliki. Setelah itu, mempastikan bakat kita itu diuruskan dengan baik. Kemudian pastikan diri kita berstamina bagi melaksanakan tugas selanjutnya dalam bidang yang kita pilih dalam arena dakwah. Ini mampu dijana mengikut beberapa prinsip praktikal yang telah sempat saya kutip melalui pengalaman dan pembacaan. Prinsip-prinsip yang berkesan buat diri saya ingin dikongsikan bersama hadirin.

Program Bicara Perdana peringkat nasional anjuran bersama Majlis Guru Islah (MGI) dan MGI Negeri Perak bertema "Guru Tonggak Modal Insan Berhikmah" telah berjalan dengan lancar di Hotel Hill City, Ipoh, Perak. Memang selayaknya Setiausaha Agung JIM, Tn Hj Nahar Md Nor dijemput dan sudi bagi merasmikan program kerana dari segi sejarah, MGI yang adalah ‘brainchild’nya beberapa tahun yang lampau.

Tanpa saya sedari, air mata saya tertumpah tatkala Saudara Ibni Khalid Jurait wakil Selangor mendeklamasikan sajaknya ‘Kau Adi Guru’. Saya percaya ramai hati para hadirin juga telah tersentuh dengan sajaknya itu.

Saya tumpang gembira akan kejayaan Anugerah Tokoh Guru JIM (9 tokoh negeri dicalonkan) iaitu Pn Siti Aishah Mahamad merupakan Pengetua Cemerlang dan pernah menjadi Pengetua di 3 buah sekolah dan juga Aktivis JIM yang memegang jawatan Ketua Wanita Negeri Pahang.

Anugerah Jasa Guru Ahli JIM, dalam Slot Jasamu Di Kenang diberi kepada Allahyarham Dr Ahmad Basri bin Md Yussoff di atas jasa dan sumbangan beliau dalam bidang pendidikan dan dakwah dalam JIM. Anugerah pada beliau yang lebih dikenali sebagai Cikgu Basri diterima oleh 3 orang anak-anaknya Naufal, Ariej dan Daniel yang mewakili ibu mereka, Puan Noraini. Suasana sayu ketika slaid video Allayarham dipaparkan pada layar.

Slot saya mengambil masa 45 minit manakala slot kedua juga ruang masa yang setara, diisi oleh Tn Hj Mat Noh bin Supaat, Pegawai Pendidikan Daerah(PPD), Bekas Pengetua Sekolah Kluster dengan tajuk ceramah 'Memperkasakan Profesion Perguruan Melalui Kepimpinan berkesan'.

Saya diberitahu oleh pihak urusetia yang maklum balas positif diterima daripada para peserta terhadap penyampaian saya menerusi borang penilaian peserta. Alhamdulillah, lega!…Semoga Allah menerima segala usaha dan amalan…Amin.

Setinggi-tinggi tahniah kepada Cik Hajjah Norhayati sebagai Pengarah Program dan juga AJKnya yang telah bertungkus lumus mempastikan program dapat dilaksanakan berbulan sebelum itu serta program berjalan dengan lancar pada hari itu.

Thursday, May 28, 2009

Mengumumkan Kelahiran Portal Malaysia Harmoni

Tanggal Jumaat, 15 Mei 2009, maka dengan rasminya, lahirlah Portal Berita (News Portal) kendalian JIM iaitu Malaysia Harmoni (MH) buat tatapan masyarakat.

Berikut adalah perutusan daripada Ketua Editor Malaysia Harmoni, dicuplik daripada http://www.malaysiaharmoni.com/index.php/editorial

Assalamualaikum daripada Malaysia Harmoni
A Ralim M Yassen

Menggigil juga jari-jemari ini apabila mula ingin mengetuk papan kekunci komputer riba yang sebenarnya diletakkan di atas meja. Kedinginan suhu bilik walaupun alat pendingin hawa ditetapkan pada laras 23oC terasa mencucuk-cucuk hujung tulang tangan dan kaki! Bimbang, takut, berasa terbeban dan segala macam perasaan menghempap…

Inilah penangan pertama yang terpaksa saya terima sebagai Ketua Editor akhbar maya Malaysia Harmoni. Sesakit mana rasa penangan itu biarlah saya sendiri yang memendamnya. Yang dapat saya katakan adalah: sebesar mana pun amanah yang dipikulkan ke atas bahu saya, besar lagi harapan yang diimpikan oleh Malaysia Harmoni.

Malaysia Harmoni muncul sebagai sebuah portal berita semasa yang menjadi satu lagi saluran maklumat alternatif rakyat Malaysia. Dasar utama Malaysia Harmoni ialah Islam. Dan dengan menjunjung tinggi prinsip menerapkan kebaikan sambil mengikis keburukan dalam masyarakat, Malaysia Harmoni akan mencuba sedaya upaya mewarnai kehidupan ini agar indah di mata dan damai di hati.

Berita dan maklumat merupakan perkara yang begitu mengesankan kehidupan setiap insan. Kejadian-kejadian yang berlaku di tempat lain, walaupun jaraknya berpuluh ribu kilometer, bukan sedikit yang mempengaruhi pergerakan seharian kita. Pergolakan yang berlaku di negara-negara pengeluar minyak, misalnya, lambat laun akan menyebabkan harga minyak melambung lalu menyebabkan kocek kita kempis. Begitulah juga halnya apabila sesuatu kejadian itu berlaku dalam negara kita. Beberapa berita kes ragut sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia beberapa hari lepas menggemparkan seluruh Malaysia. Kejadian-kejadian tersebut membuatkan orang ramai, khususnya wanita, mula berasa bimbang. Isu ini seterusnya mencetuskan polemik dalam masyarakat yang mencadangkan berbagai-bagai perkara. Dalam hal ini, mudah-mudahan akan ada tindakan bersepadu daripada pihak berkuasa dan masyarakat, dan kita akan melihat perkembangan yang lebih baik tidak lama lagi. Inilah salah satu peranan berita.

Malaysia Harmoni mengambil pendirian melaporkan berita berpaksikan kebenaran. Kami akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan bahan yang dipaparkan adalah benar dan tepat. Sikap Malaysia Harmoni yang berpihak kepada kebenaran tidak menjadikan kami partisan kepada mana-mana kelompok hanya kerana sebab persamaan tersebut. Kami percaya kepada keadilan dan pemikiran yang terbuka dan ini akan diterjemahkan melalui pengiktirafan terhadap kepelbagaian pandangan dan konflik.

Malaysia Harmoni bersikap objektif serta menawarkan pendirian dan pertimbangan secara profesional. Oleh itu, kami tidak akan sengaja mempromosikan pandangan mana-mana kelompok tertentu dalam isu-isu yang kontroversi tentang polisi awam, politik atau industri melainkan hanya kerana kebenaran yang ada.

Mudah-mudahan kelahiran Malaysia Harmoni bakal memekarkan daya pemikiran yang sihat dan bermanfaat buat seluruh rakyat. Impian ini kita kongsikan tanpa mengira latar belakang agama atau bangsa, darjat atau pangkat, kerana selagi kaki ini memijak bumi Tuhan, selagi itu pastinya kita dambakan keselamatan dan keharmonian.

A Ralim M. Yassen
Ketua Editor MH
------------------------------------------------------------
Semoga Malaysia Harmoni terus menerus membekalkan bahan tatapan umum yang berinformatif pada masyarakat…Amin

Wednesday, May 13, 2009

Pabila Politikus Menggoyangkan Lidahnya yang Bercabang

Entri ini telah dimuat naik lebih daripada setahun yang lalu. Namun saya mahu ulangi isinya di sini pada kali ini. Semoga dapat memberi beberapa peringatan dan pengajaran bagi diri saya sendiri dan juga pembaca semua...Perkara ini adalah peristiwa benar cuma nama dan tempat telah diubah. Tolong amati dan fikirkan...Selamat membaca!

---------------------------------------------

“Sudah lama berkerja dengan syarikat sekarang?” bertanya suami saya.


“Ya! Sejak lewat tujuh puluhan,“ kata lelaki berpakaian seragam siap dengan logo syarikat perkhidmatan swasta terjahit di dadanya.Kabel dan talian elektrik ditarik-tarik dan disambung pada lubang di dinding.

“Berbagai ragam dan manusia yang telah saya temui,” dia yang bernama J menyambung kata-kata, “malahan wakil rakyat beberapa penggal dahulu selalu meminta pertolongan saya.”

“Begitukah?” suami saya terhangguk-hangguk.

Kagum saya melihat betapa cekapnya jari-jari J melaksanakan tugasnya membuat kerja pendawaian di kediaman persinggahan comel yang baru beberapa bulan kami miliki di sekitar Kuala Lumpur itu.

“Bercakap mengenai wakil rakyat ini. Saya mahu berkongsi sedikit cerita,” kata J lagi.

Saya bersandar ke dinding manakala suami saya mengemaskan silanya berdekatan si pencerita.

“Bekas wakil rakyat kawasan ini dahulunya adalah kawan saya sekampung. Kami sama-sama bekerja satu tempat di syarikat swasta. Pangkatnya lebih corot daripada saya disebabkan kelulusannya yang jauh lebih rendah. Namun tiba-tiba dalam beberapa tahun, dia sudah dinaikkan ke jawatan penolong pengurus disebabkan penglibatannya dalam sebuah parti politik yang dominan dan berpengaruh musim pilihanraya yang dahulu-dahulu. Saya menganggap itu sudah menjadi rezeki dia.”

“Suatu hari, kawan yang saya panggil Mat itu datang menemui saya. Katanya mahu bertanding jadi wakil rakyat. Dan sekiranya dia menang, mahu sahaja dia dikenali sebagai wakil rakyat yang kekal tinggal di kawasan rumah setinggannya itu. Kereta buruknya juga tidak mahu ditukar dan dia berjanji mahu berbakti kepada orang di sekeliling. Tiba pilihanraya, diapun menang kerusi di kawasan kami itu. Saya turut tumpang gembira dengan kejayaannya itu.”

Suami saya dan saya diam membisu. Masing-masing tekun mendengar cerita dari mulut J.

“Tidak lama selepas itu, saya menerima panggilan daripada Mat meminta pertolongan saya membaiki pendawaian dan kemudahan di sekitar rumah banglo yang baru didudukinya sebaik memenangi kerusi dalam pilihanraya tahun itu. Saya tergamam teringatkan janji manisnya. Namun disebabkan kawan punya hal maka saya tolongkanlah juga. Saya juga kaget melihat sebuah Mercedes baru di ruang ‘istana’nya itu. Cuma saya terfikir, kemana perginya hasrat murni yang diperkatakannya di depan saya sebelum itu?”

“Suatu hari, saya pergi membayar bil di sebuah pusat membeli belah. Sebaik sahaja saya keluar dari berurusan, saya telah dapati yang kereta saya telah ditarik oleh Majlis Perbandaran. Oleh itu, saya pergi ke kaunter Majlis membuat rayuan sebab kompaun yang dikenakan amat mahal. Cumanya, saya diberitahu yang rayuan minta dikurangkan itu hanya akan dapat dipertimbangkan setelah mendapat bantuan dan tandatangan daripada sama ada Yang di Pertua Majlis ataupun Yang Berhormat wakil rakyat. Lantas saya teringatkan kawan saya YB Mat itu dan sayapun pergi ke pejabatnya. Saya diberitahu oleh pembantu peribadinya yang YB baru sahaja keluar bermesyuarat di suatu tempat berdekatan tidak sampaipun lima minit yang lalu. Saya kata, tidak mengapa jika begitu. Dalam hati saya, saya berniat menghubungi sahaja kawan saya Mat itu melalui panggilan telefon, memohon bantuannya.”

“Apakah yang terjadi?” tanya suami saya.

“Itulah yang menyebabkan saya kecewa dan juga sakit hati.”

“Mengapa pula?” suami saya bertanya lagi.

“Biasanya di hadapan orang awam, saya membahasakannya sebagai YB Mat tetapi apabila berhubungan secara peribadi, saya hanya panggilnya Mat sahaja. Adakah patut Mat mengatakan yang dia tidak boleh membantu sebab buat masa itu dia sedang berada di luar negara!’

“Apa benarkah begitu?” suami saya bertanya secara spontan.

“Inilah yang saya ingin kongsikan! Allah itu Maha Berkuasa dan mahu menunjuk sesuatu. Pada malam itu juga, semasa saya pulang dari surau dan melewati sebuah deretan rumah kedai, saya terserempak dengan YB Mat yang sedang berjalan menuju ke arah setentang dengan saya. Terus saya bertanya, “Awak baru kembali dari luar negara?”

“Saya dapat membaca dari riak wajahnya yang dia serba salah dan tidak senang terserempak dengan saya begitu, langsung dia menjawab, “Ya! Baru sebentar tadi, saya tiba. Pesawat saya baru sahaja mendarat!” katanya dengan nada suara teragak-agak.”

“Saya mengikut langkahnya jauh dari belakang, mahu meninjau ke mana dia mahu pergi malam-malam begitu. Lalu saya melangkah naik anak tangga ke salah sebuah rumah kedai di situ mengikut jejaknya. Tiba di kaunter, saya bertanya dengan penyambut tetamu, “Itu YB tadi itu, buat apa di sini?”

J menyambung jalan cerita, “Perempuan di kaunter itu menjawab, “Mana ada YB?”"

”“Tadi itu, yang memakai baju batik dan membawa beg?”

“Itu YBkah? Tidak pula saya tahu! Dia baru mula belajar bahasa inggeris di sini!”“

"”Begitukah?” kata saya pula.”

“Jauh di dalam, saya tidak berpuas hati dan sakit hati saya sedang memuncak. Saya tidak akan kesal jika dia berterus terang mengatakan sahaja yang dia tidak dapat membantu saya. Tetapi saya terkilan dan marah sebab dia bercakap bohong. Saya nekad pergi mencari kereta YB Mat itu sehingga dapat lalu saya pancitkan dua tayar keretanya. Saya fikir, jika satu tayar sahaja, maka sudah tentu dia boleh saja gantikan dengan tayar spare. "Biar dua tayar, supaya puas hati saya ini!" Kata saya dalam hati. Sayapun pulang ke rumah.””

Dalam lewat malam sedikit, saya menerima panggilan telefon. Memang sah daripada Mat. “Kereta saya pancit kedua-dua tayarnya. Awak boleh datang sini, bantu saya?” katanya.”

“Saya membaling paku buah keras dengan berkata, “Oh maaf! Sebaik sahaja saya berjumpa awak tadi, saya menaiki penerbangan ke luar negara! Saya berada di Singapura sekarang ini!” kata saya dengan selamba!”

Saya dan suami saya tersenyum simpul mendengar cerita J.

“Itulah! Saya sudah lama tidak suka dengan cara sesetengah orang yang mudah lupa diri, bersikap angkuh apabila menjadi wakil rakyat. Terutamanya mereka yang naik bukan sebab kekuatan peribadi mahupun ilmu pengetahuan yang mereka miliki tetapi dengan cara mengampu dan membodek. Saya kecewa sangat-sangat. Saya cukup kenal kawan saya itu serta keluarganya, anak serta bekas isterinya. Ya! Bekas! Tidak cukup dengan berkata dusta, tidak berpegang pada janjinya pada awal-awal dahulu. Berpindah rumah, tukar kereta...yang paling buruk, tukar isteri baru! Jika dengan saya sahabat lamanya boleh sahaja dia berbohong dan perkotak-katikkan, apatah lagi orang lain!” kata J melepaskan geramnya.

Kami berdua lantas tergamam dan saling berpandangan!

PS. Situasi di kampung halaman saya membuatkan saya melugai (bahasa orang Perak bagi ‘mual’).

Tuesday, May 5, 2009

Ibu Madrasah Pertamaku: Projek buku ketiga Wanita JIM:

Ini adalah muka depan buku bagi projek ketiga hasil usaha Wanita JIM (Jamaah Islah Malaysia) Pusat. Projek buku pertama dalam tahun 2003 adalah “Bagaimana Akhirnya Saya Bertudung” diikuti dengan “Mengapa Saya Bekerja” pada tahun sudah iaitu 2008.

Artikel yang dimuatkan dalam buku ini adalah hasil penulisan 24 orang penulis ahli JIM (lelaki dan wanita) mengenai ibu masing-masing. Ibu yang tidak semestinya sempurna namun dalam ketidaksempurnaan mereka itu telah dapat menyuntik perangsang dan semangat mendidik anak masing-masing sehingga kami menjadi kami pada hari ini. Bahan bacaan ini akan dapat menjadi panduan bagi bakal ibu, peringatan bagi ibu yang sedia ada, juga pengubat hati, penawar duka, penyejuk jiwa bagi pembaca umum.

Saya turut menyumbang satu artikel dalam buku ini mengenai Almarhum ibu saya sendiri. Ibu erkahwin pada usia semuda 14 tahun. Bagaimana dia yang buta huruf (kami adik beradikpun tidak mengetahui perkara ini sehingga kami sendiri tersedar tatkala tahu membaca ketika di alam persekolahan, ayah menyuruh kami menemankannya ke sekolah dewasa) disebabkan keadaan tidak mengizinkannya bersekolah. Dihimpit kesukaran hidup lantaran membesar sebagai anak yatim piatu dan dibela orang kampung secara bergilir satu keluarga dan keluarga yang lain ke sana ke mari. Dia yang bersusah payah membesarkan kami adik beradik. Namun dengan semangat waja dan kegigihannya yang tidak tahu apa itu erti putus asa dan suka mencuba sesuatu yang baru serta menyahut segala cabaran, telah berjaya mendidik kami. Dia yang pandai menjahit pakaian kami dan juga masyarakat setempat, mengingati pelbagai masakan dalam mindanya dan menyediakan hidangan lazat-lazat, mengusahakan perniagaan kecil-kecilannya bagi menambah pendapatan keluarga serta seribu satu perkara lagi. Sedikit sebanyak, peribadinya ini telah terkesan pada diri saya sendiri. Sikap ibu itu telah tumbuh dan menular dalam diri, menyebabkan saya sendiri suka meneroka perkara-perkara baru.

Setiap ibu pasti ada keistimewaan mereka masing-masing. Ibu dan ayah anda mesti dihargai sementara mereka masih di depan mata. Ketika mereka telah tiada, panjatkan doa bagi mereka.

Semoga amalan baik mereka diterimaNya dan ditempatkan mereka bersama orang yang mengerjakan amal solih...Amin, Ya Rabbul Alamin.

PS. Hari ini adalah hari istimewa bagi kami. Teman setia saya, Ir. Haji Mohd. Sofian Ahmad, yang sentiasa menjadi pendorong, pembantu dalam apa juga penglibatan dan usaha saya, berusia genap 52 tahun….Si kecil Nuha Insyirah sudah menghadiahkan kepadanya pada hujung minggu baru-baru ini, sebuah pelukan hangat dan dua buah kucupan di pipi kanan dan kiri serta sebuah kad comel bertulis, “Selamat Hari Jadi, Tok Wan!”.