Sunday, March 30, 2008

Wajah si anak muda itu…menghantui diri…

Stering kereta dibelokkan ke stesen minyak bersebelahan jalan besar menghubungi bandar Taiping ke Parit Buntar. Sebaik melewati booth pertama, saya terpandang akan wajah manis milik seorang anak muda.

Dia datang terlari-lari membantu saya.

“Puan cikgukah?” katanya tersenyum. Di tangannya, kepala pam minyak yang dimasukkannya ke corong kereta mungil saya.

“Ya!” kata saya, membalas senyumannya.

“Mengajar di sekolah mana, ya?”

“Saya memberi kuliah sebenarnya di Nibong Tebal, di kampus kejuruteraan, balik sempadan sana itu!”

“Di universiti?” katanya, wajahnya tiba-tiba sahaja bercahaya.

“Ya! Anak ini sudah lama bekerja di sini?” kata saya memerhatikan riak dan potongan badannya seperti remaja baru lepasan sekolah.

“Baru beberapa bulan. Saya sebenarnya balik ke sini, menjaga nenek yang sedang sakit tua. Tambahan pula ayah menyuruh saya mencari kerja, menyara adik-adik yang ramai.”

“Mengapa tidak saja menyambung belajar?” kata saya. Perasaan ingin tahu tiba-tiba timbul.

“Saya memang sudah dapat tawaran ke universiti di selatan semenanjung sebaik selesai SPM yang lalu.”

“Habis? Mengapa tidak daftar diri?”

“Seperti yang saya katakan, ayah suruh saya ke mari menjaga nenek dan juga mencari kerja.”

“Ke mana perginya ayah awak? Dan ibu?”

“Ibu sudah meninggal. Ayah pula sudah berkahwin baru.”

Saya tergamam. Memerhatikan wajah pilu milik anak muda yang tidak berdosa itu, yang sudah tunduk ke lantai.

Bunyi ketap pada mesin pam menandakan tangki sudah penuh terisi.

Saya terus tersedar dari lamunan. Lantas, saya berkata, “Beginilah wahai anak! Jagailah nenek anak itu serta adik-adik dengan baik. Pastinya Allah akan memudahkan dan memberi rezeki ikut jalan lain nanti, Insya Allah. Percayalah cakap makcik ini, ya? Makcik akan tolong doakan, ya!”

“Terima kasih makcik!” katanya.

Selesai membuat pembayaran, saya mengangkat tangan ke arah si anak muda, menandakan saya sudah mahu berpergian. Si anak muda melambai-lambaikan tangannya penuh semangat.

Sepanjang memandu semula ke kampus, hati dan ingatan saya terus terganggu. Wajah cerdik milik si anak muda yang diselubungi duka itu terus menerus menghantui diri ini....

Mungkinkah ada cahaya di hujung terowong kehidupan bagi dirinya? Ya Allah..bantulah anak itu...Amin.

Friday, March 28, 2008

Sesi pertama…kelas pertuturan Bahasa Inggeris ‘spoken english’ (dwi-mingguan)



























Kelisa comel saya merentas lebuhraya, menuruni bukit melepasi Terowong Menora menghala ke arah Jelapang. Jam sudah menunjukkan ke pukul 7.15 malam. Petang sudah semakin gelap.

Selesai solat di rumah yang dikelilingi bukit menghijau berdekatan tol Jelapang, saya bergegas pula ke Pejabat Jamaah Islah Malaysia (JIM) Perak di Halaman Ampang, Gunung Rapat, Ipoh.

“Maaf! Terlewat sedikit!” kata saya sebaik sampai. Saudara Khushairi Salleh (Setiausaha JIM Daerah Ipoh Bandaraya) sedia menunggu di tingkat bawah pejabat.

“Singgah rumah?” dia bertanya.

“Ya! Sebentar sahaja untuk solat.”

“Mereka sedang menunggu di atas. Nanti kunci, biar isteri saya yang uruskan! Saya ke usrah selepas ini,” katanya berjalan naik ke tingkat atas.

Saya mengangguk dan turut menapak naik anak tangga.

Di ruang atas, anak-anak sudah sedia menunggu. Saudara Khushairi sempat mengusung dan meletakkan papan putih ke dinding dengan bantuan yang lainnya sebelum berlepas pergi. Puan Rafidah (Ketua Wanita Daerah Ipoh Bandaraya) juga berada bersama sedang duduk-duduk setelah menghantar anak-anaknya.

“Daripada berulang alik, lebih baik saya tunggu sahaja di sini,” kata Puan Rafidah.

“Tidak mengapa!” kata saya pula.

“Maaf ya! Terlewat!” sekali lagi saya memohon maaf, melepaskan senyuman.

Muka-muka comel dan suci murni membalas dengan senyuman manis. Kami bersalaman. Kehadiran 17 orang? Sungguh memberangsangkan!

Kesemuanya seperti sangat teruja mahu meneruskan aktiviti. Cumanya pada malam itu hanya sempat menyatakan peraturan dalam aktiviti yang harus dipatuhi dengan ketat serta mengagih-agihkan tugas.

“Saya mahu jadi penjaga masa!” kata seorang anak muda.

Aisayman! Tugas kurang mencabarlah cik abang! Biarlah tugas itu dipegang adik-adik!” kata saya memandangnya, mengecilkan mata.

“Saya mahu jadi pencari topik bicara!” kata yang perempuan pula.

“Dan saya pencari perkataan dan ungkapan buat renungan bersama!” berkata pula seorang lagi.

“Cikgu! Saya ubah fikiran! Saya mahu jadi pengerusi majlis!” kata anak muda yang pertama tadi.

“Bagus! Sikap beginilah yang saya mahu! Siapa pula mahu mengganti sebagai penjaga masa?” kata saya, menulis nama-nama yang menyahut panggilan sebagai petugas sesi pertemuan akan datang pada permukaan papan putih.

“Ini! Adik ini!” kata sekumpulan anak-anak lelaki di hujung meja sana.

“Boleh?” saya menuding ibu jari kepada wajah penuh ceria, berkaca mata. Dia terhangguk-hangguk dan tersengih.

“Ini locengnya, ya? Untuk diguna semasa pertemuan dua minggu lagi,” kata saya, tersenyum lagi apabila terpandang jarinya yang seakan tidak sabar mahu memetik.

“Baik! Semua ingat?” kata saya mengakhiri sesi taklimat pertemuan pertama, “Dua minggu lagi, pengerusi majlis pastikan semua petugas hadir, ya? Dan sebaik menjijakkan kaki di tangga bawah sana, semua perlu bertutur sepenuhnya dalam bahasa inggeris. Bukan bahasa inggeris Phua Chu Kang!”

Hilai tawa...

Doa penutup majlis dibaca dan kamipun bersurai.

Pesanan ringkas tertera pada layar fon genggam saya sebaik tiba semula di rumah. Pengirimnya Puan Faizah (isteri saudara Selamat, Bendahari JIM Negeri Perak). Pesanan berbunyi:

“Harap-harap semua anak-anak ini akan istiqamah mengikuti program seumpama ini!”

Dia membantu saya mengumpulkan anak-anak malam tadi. Atikah (Cah) – anak perempuannya membuat salinan helaian bahan bacaan iaitu petikan dari sebuah buku, “Friendship According to Humphrey”. Hasil pena, Betty G. Birney, yang mengisahkan pengalaman hidup seekor ‘hampster’ comel peliharaan anak-anak di suatu kelas sebuah sekolah. Kisah hampster bernama Humphrey itu adalah sebuah buku cerita yang sungguh menceriakan…bagi saya seorang yang sudah hampir separuh abad, apatah lagi anak-anak muda seperti mereka…

Saya membalas, “Terima kasih di atas bantuan dan sokongan!”

Ya! Moga anak-anak ini istiqamah…dan ibu bapa serta sahabat– jazakumullahu khairan kathiro kerana memberi sokongan dan menaruh kepercayaan…

Monday, March 24, 2008

Pabila Yang Berhormat bercabang lidahnya....

















“Sudah lama berkerja dengan syarikat sekarang?” tanya suami saya.

“Ya! Sejak lewat tujuh puluhan, “ kata lelaki berpakaian seragam siap dengan logo syarikat perkhidmatan swasta terjahit di dadanya.

Kabel dan talian elektrik ditarik-tarik dan disambung pada lubang di dinding.

“Berbagai ragam dan manusia yang telah saya temui,” dia yang bernama J menyambung kata-kata, “malahan wakil rakyat beberapa penggal dahulu selalu meminta pertolongan saya.”

“Begitukah?” suami saya terhangguk-hangguk.

Kagum saya melihat betapa cekapnya jari-jari J melaksanakan tugasnya membuat kerja pendawaian di kediaman persinggahan comel yang baru beberapa bulan kami miliki di sekitar Kuala Lumpur itu.

“Bercakap mengenai wakil rakyat ini. Saya mahu berkongsi sedikit cerita,” kata J lagi.

Saya bersandar ke dinding manakala suami saya mengemaskan silanya berdekatan si pencerita.

“Bekas wakil rakyat kawasan ini dahulunya adalah kawan saya sekampung. Kami sama-sama bekerja satu tempat di syarikat swasta. Pangkatnya lebih corot daripada saya disebabkan kelulusannya yang jauh lebih rendah. Namun tiba-tiba dalam beberapa tahun, dia sudah dinaikkan ke jawatan penolong pengurus disebabkan penglibatannya dalam sebuah parti politik yang dominan dan berpengaruh musim pilihanraya yang dahulu-dahulu. Saya menganggap itu sudah menjadi rezeki dia.”

“Suatu hari, kawan yang saya panggil Mat itu datang menemui saya. Katanya mahu bertanding jadi wakil rakyat. Dan sekiranya dia menang, mahu sahaja dia dikenali sebagai wakil rakyat yang kekal tinggal di kawasan rumah setinggannya itu. Kereta buruknya juga tidak mahu ditukar dan dia berjanji mahu berbakti kepada orang di sekeliling. Tiba pilihanraya, diapun menang kerusi di kawasan kami itu. Saya turut tumpang gembira dengan kejayaannya itu.”

Suami saya dan saya diam membisu. Masing-masing tekun mendengar cerita dari mulut J.

“Tidak lama selepas itu, saya menerima panggilan daripada Mat meminta pertolongan saya membaiki pendawaian dan kemudahan di sekitar rumah banglo yang baru didudukinya sebaik memenangi kerusi dalam pilihanraya tahun itu. Saya tergamam teringatkan janji manisnya. Namun disebabkan kawan punya hal maka saya tolongkanlah juga. Saya juga kaget melihat sebuah Mercedes baru di ruang ‘istana’nya itu. Cuma saya terfikir, kemana perginya hasrat murni yang diperkatakannya di depan saya sebelum itu?”

“Suatu hari, saya pergi membayar bil di sebuah pusat membeli belah. Sebaik sahaja saya keluar dari berurusan, saya telah dapati yang kereta saya telah ditarik oleh Majlis Perbandaran. Oleh itu, saya pergi ke kaunter Majlis membuat rayuan sebab kompaun yang dikenakan amat mahal. Cumanya, saya diberitahu yang rayuan minta dikurangkan itu hanya akan dapat dipertimbangkan setelah mendapat bantuan dan tandatangan daripada sama ada Yang di Pertua Majlis ataupun Yang Berhormat wakil rakyat. Lantas saya teringatkan kawan saya YB Mat itu dan sayapun pergi ke pejabatnya. Saya diberitahu oleh pembantu peribadinya yang YB baru sahaja keluar bermesyuarat di suatu tempat berdekatan tidak sampaipun lima minit yang lalu. Saya kata, tidak mengapa jika begitu. Dalam hati saya, saya berniat menghubungi sahaja kawan saya Mat itu melalui panggilan telefon, memohon bantuannya.”

“Apakah yang terjadi?” tanya suami saya.

“Itulah yang menyebabkan saya kecewa dan juga sakit hati.”

“Mengapa pula?” suami saya bertanya lagi.

“Biasanya di hadapan orang awam, saya membahasakannya sebagai YB MAt tetapi apabila berhubungan secara peribadi, saya hanya panggilnya Mat sahaja. Adakah patut Mat mengatakan yang dia tidak boleh membantu sebab buat masa itu dia sedang berada di luar negara!’

“Apa benarkah begitu?” suami saya bertanya secara spontan.

“Inilah yang saya ingin kongsikan! Allah itu Maha Berkuasa dan mahu menunjuk sesuatu. Pada malam itu juga, semasa saya pulang dari surau dan melewati sebuah deretan rumah kedai, saya terserempak dengan YB Mat yang sedang berjalan menuju ke arah setentang dengan saya. Terus saya bertanya, “Awak baru kembali dari luar negara?” “.

“Saya dapat membaca dari riak wajahnya yang dia serba salah dan tidak senang terserempak dengan saya begitu, langsung dia menjawab, “Ya! Baru sebentar tadi, saya tiba. Pesawat saya baru sahaja mendarat!” katanya dengan nada suara teragak-agak.”

“Saya mengikut langkahnya jauh dari belakang, mahu meninjau ke mana dia mahu pergi malam-malam begitu. Lalu saya melangkah naik anak tangga ke salah sebuah rumah kedai di situ mengikut jejaknya. Tiba di kaunter, saya bertanya dengan penyambut tetamu, “Itu YB tadi itu, buat apa di sini?”” J menyambung jalan cerita.

“Perempuan di kaunter itu menjawab, “Mana ada YB?””

“Tadi itu, yang memakai baju batik dan membawa beg?””

“Itu YBkah? Tidak pula saya tahu! Dia baru belajar bahasa inggeris di sini!”

“”Begitukah?” kata saya pula.”

“Jauh di dalam, saya tidak berpuas hati dan sakit hati saya sedang memuncak. Saya tidak akan kesal jika dia berterus terang mengatakan sahaja yang dia tidak dapat membantu saya. Tetapi saya terkilan dan marah sebab dia bercakap bohong. Saya nekad pergi mencari kereta YB Mat itu sehingga dapat lalu saya pancitkan dua tayar keretanya. Saya fikir, jika satu tayar sahaja, maka sudah tentu dia boleh saja gantikan dengan tayar spare. Biar dua tayar, supaya puas hati saya ini! Kata saya dalam hati. Sayapun pulang ke rumah.””

“Dalam lewat malam sedikit, saya menerima panggilan telefon. Memang sah daripada Mat. “Kereta saya pancit kedua-dua tayarnya, boleh datang sini, bantu saya?” katanya.”

“Saya membaling paku buah keras dengan berkata, “Oh maaf! Sebaik sahaja saya berjumpa awak tadi, saya menaiki penerbangan ke luar negara! Saya berada di Singapura sekarang ini!” kata saya dengan selamba!”

Saya dan suami saya tersenyum simpul mendengar cerita J.

“Itulah! Saya sudah lama tidak suka dengan cara sesetengah orang yang mudah lupa diri, bersikap angkuh apabila menjadi wakil rakyat. Terutamanya mereka yang naik bukan sebab kekuatan peribadi mahupun ilmu pengetahuan yang mereka miliki tetapi dengan cara mengampu dan membodek. Saya kecewa sangat-sangat. Saya cukup kenal kawan saya itu serta keluarganya, anak serta bekas isterinya. Ya! Bekas! Tidak cukup dengan berkata dusta, tidak berpegang pada janjinya pada awal-awal dahulu. Berpindah rumah, tukar kereta...yang paling buruk, tukar isteri baru! Jika dengan saya sahabat lamanya boleh sahaja dia berbohong dan perkotak-katikkan, apatah lagi orang lain!” kata J melepaskan geramnya.

Kami berdua lantas tergamam dan saling berpandangan!

Tuesday, March 18, 2008

Puteri Salsabila..Siri Cerita Rakyat..

Ini adalah percubaan pertama saya menulis karya berdasarkan daya imaginatif sepenuhnya dan bercorak pengembaraan (adventure) serta dalam lengguk bahasa melayu semi-klasik...

Siri cerita rakyat ini adalah sebagai satu usaha menyahut panggilan Puan SifuPTS (Puan Ainon Mohd.) yang mahu siri cerita yang tidak lagi ‘memperbodohkan’ minda rakyat, terutama cerita klasik melayu. Sebagai contoh cerita 'Lebai Malang' yang mempersendakan alim ulama’ (sepatutunya kedudukan mereka diletakkan pada paras yang tinggi dan kata-kata mereka dihormati), cerita 'Bawang Putih Bawang Merah' yang tidak menunjukkan contoh teladan sifat ibu tiri yang sepatutnya seorang yang pengasih pada anak yang kehilangan ibu kandungnya dan lain-lain lagi. Juga mengisi kekosongan dalam cerita fantasi kanak-kanak perempuan dari negara barat seperti cerita ‘Sleeping Beauty’ – puteri tidur sepanjang masa kemudian apabila celik matanya, boleh sahaja berkahwin dengan anak raja; memberi konotasi yang kurang baik, seolah-olah seseorang itu boleh bermalas-malasan, kemudian akhirnya dapat juga berkahwin dengan orang senang tanpa perlu berusaha dan mencari ilmu...

Puteri Salsabila mengisahkan seorang puteri pintar dan berkemahiran. Walaupun dia menghadapi dugaan penuh getir, bersama teman setianya Tasnim, mereka berdua tidak mudah putus asa. Sebaliknya, mereka bersemangat waja sehingga dapat menumpaskan pakatan jahat mengambil alih sebuah negara dalam pengembaraan mereka….ada unsur suspen, sedih, tipu daya, jenaka, gembira dan berbagai lagi…

Moga kisah ini akan dapat menyumbang dalam mengubah minda (mindset) pembaca remaja dan remaja awal serta dihargai sehingga beratus tahun yang akan datang...Amin

Thursday, March 13, 2008

Kehalusan budi dan seni menyantuni…
















“Apakah yang memekak itu?” kedengaran suara jeritan T, warganegara Afrika dari tingkat atas dalam Bahasa Inggeris. Dia terlari-lari menuruni tangga.

Saya membuka pintu bilik, menjengulkan kepala dan berkata dalam bahasa yang sama, “Mungkin hanya orang yang mahu kongsi lagu kegemarannya!” Bibir saya menguntumkan senyuman.

T menggeleng-gelengkan kepalanya dan berkata, “Pukul 2 pagi? Biar benar!”

“Awak mahu ke mana lewat malam begini?” kata saya apabila melihat T menyarungkan jaketnya.

“Perlu mentelaah. Tidak boleh lakukannya di sini! Mahu ke rumah kawan. Jauh daripada kebisingan ini! Jumpa kemudian!” katanya memulas kunci rumah pada pintu utama.

“Awak jaga diri baik-baik! Sudah lewat malam!” kata saya, dahi berkerut.

“Awak tidak perlu risau mengenai diri saya!” bibir tebalnya memuncung sahaja, seraya pintu depan ditariknya rapat sehingga berdentum.

Saya kembali ke tepi katil. Hasrat meneruskan ulangkaji tesis Ph.D buat persediaan menghadapi viva, diketepikan buat seketika. Dalam cahaya samar-samar lampu bacaan di sudut meja, saya berbaring sambil membaca buku “I, Coriander” oleh Sally Gardner.

Isi ceritanya sesuai bagi golongan remaja awal. Cukup menghiburkan dengan kosa kata yang menakjubkan. Tidak hairanlah buku itu mendapat anugerah buku paling popular di kalangan murid sekolah Britain tahun 2005. Penulisnya pula seorang yang ‘dyslexic’. Semasa kecil, Gardner selalu dimarahi gurunya, dibuang sekolah (lebih daripada satu) kerana dikatakan pelajar lembam. Sehinggalah ibu ayahnya memasukkannya ke sekolah khas, barulah dia mula belajar membaca ketika usianya 14 tahun. Kemudian, Gardner memperolehi ijazah kepujian cemerlang dari salah sebuah kolej terkemuka di London dan menjadi pereka pakaian pembikinan filem yang amat berjaya.

Sedang saya tenggelam dalam nikmat pembacaan, dengan tidak semena-semenanya, bunyi ketukan kuat di kaca tingkap bilik dan suara orang seperti mabuk menyanyi dan terjerit-jerit memecah kesunyian. Lantas, saya padamkan lampu bacaan dan memasukkan diri dalam kantung tidur. Mulut kumat-kamit membaca doa, “Ya Allah! Peliharalah diri ini...”

Saya menyewa bilik paling hadapan rumah dua tingkat di bucu jalan Banff Road, Rusholme. T bersama saya serta dua orang perempuan bukan warganegara British (juga bukan seagama). Tetapi kami seronok tinggal bersama! Dinding tingkap kaca dari atas ke bawah tidak bergerigi seperti di Malaysia. Sekali tendang, rasanya boleh pecah terlerai.

Begitulah keadaannya apabila malam hujung minggu. Itu belum lagi bunyi dentuman muzik daripada kereta apabila memintas laju di hadapan rumah. Lazimnya, anak muda Muslim (asal dari negara Pakistan atau Timur Tengah) yang suka memasang muzik memekak dalam kereta sambil duduk di belakang stering kereta yang dipandu seperti peserta Formula One. Sikap meminum minuman keras juga amat ketara sehinggakan penduduk kulit putih tempatan sering bertanya, "Bilakah perayaan Krismas Muslim di Rusholme?". Soalan itu selalu merujuk kepada perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha yang disambut dengan majlis liar, tari menari dan minum arak berleluasan di sekitar 'Curry Mile' itu...

Sungguh hati ini terasa amat malu apabila terlihat bangsa kulit putih yang memandu kereta penuh sopan dan penyantun.

Mengapa begini jadinya, ya?

Saya teringatkan pesanan Saudara Idris Tawfiq semasa sesi soal jawab di akhir penyampaiannya tempoh hari. Pendengarnya dalam dewan itu kebanyakannya adalah pelajar Muslim universiti di Britain, khususnya dari University of Manchester.

Katanya, "Umat Islam sepatutnya menunjukkan contoh dan suri teladan yang baik. Sebagai anak muda Muslim di Britain ini, kita patut terkedepan dalam melaksanakan hal sebegini. Barulah kita dapati masyarakat British akan menghormati kita, mendengar apa yang kita katakan. Dan akhir sekali, ada beberapa perkara yang mahu saya katakan. Kita boleh lakukan perkara yang nampaknya begitu remeh tetapi amat berkesan dan signifikan dalam membantu saudara kita seagama yang sedang dikasari dan dianiayai di sesetengah negara mereka. Mari kita berusaha memboikot barangan dan produk keluaran mereka yang terbukti menggunakan keuntungan hasil produk mereka itu dengan membedil dan memporak-perandakan kehidupan saudara-saudara kita. Tolong saling bantu membantu dalam hal ini. Sebarkan mesej ini ke seluruh pelusuk dunia. Ingat! Kuasa penentu berada dalam tangan kita sebagai pembeli. Moga Allah merahmati kalian! Assalamualaikum!”

Sudahkah kita memeriksa diri kita sama ada kita telah menjadi suri teladan yang baik sebagai seorang Muslim? Terutama sekali ketika ini? Apabila sesetengah daripada individu tertentu terlantik memegang tampuk kepimpinan. Tatkala begitu banyak sedang memandang-mandang, telinga yang mendengar-dengar, menjadi objek tumpuan. Tidak boleh tersilap langkah maka pasti akan bergoyanglah lidah ke sana ke mari. Pastinya juga ada yang akan menjadikan sesuatu yang buruk itu bahan enak halwa telinga dan sajian cakap-cakap. Paling membawa padah jika keyakinan akan kemampuan yang dilantik kian mula menurun. Sama ada kita berhemah, penuh bijaksana dan menyantuni orang-orang yang perlu dimenangi hatinya akan kehebatan Islam dan kehalusan budi penganutnya. Berpekerti dan berkelakuan sepertimana baiknya pekerti Rasulullah s.a.w. tatkala pembukaan Makkah. Tidak ada dendam kesumat. Sebaliknya kelembutan dan sifat memaafi dan berlapang dada?

Sanggupkah juga kita melakukan pemboikotan barangan mereka yang menyalurkan jika tidak semua maka sebahagian keuntungan mereka itu bagi membeli senjata, membedil dan menindas saudara kita di pelusuk dunia contohnya di Palestin, seperti yang disarankan secara keras oleh Saudara Idris Tawfiq itu?

Tepuk dada, tanya iman!

Friday, March 7, 2008

Jalan menuju ketenangan..kemenangan..hanyalah SATU...







Hati ini mengimbau kembali pada suatu ketika. Sekitar waktu ini, pada tahun sudah, saya berada di Dewan Roscoe, Universiti of Manchester, mendengar penyampaian Saudara Idris Tawfiq yang bertajuk, “Dari Vatican ke Al Azhar”.Ini adalah sedutan yang telah sempat saya coretkan berdasarkan penyampaian beliau dan telah saya edarkan dalam ‘mailing list saya’ (ketika itu, masa tidak mengizinkan bagi saya membina blog). Mahu sekali dikongsikan di sini pula…

---------------------------------------------------------------------------------

Saudara Idris Taufik berbicara, “Alangkah anehnya! Beberapa tahun dahulu, saya adalah salah seorang daripada kamu yang duduk di barisan kerusi itu dan mendengar kuliah. Tetapi kini, saya pula yang berdiri di sini, di hadapan kamu semua, remaja dan anak muda yang sangat dahagakan ilmu mengenai Islam, agama kita. Dan giliran saya pula yang akan memberikan kuliah! Alhamdulillah!”

Saya ingin sekali memberitahu kepada semua akan keindahan Islam sebagai satu agama yang suci dan asli. Agama yang mementingkan keamanan, bukan peperangan dan keganasan. Tidak ada satupun ajarannya yang berpihak kepada keganasan dan menyuruh penganutnya mengganas. Malah kemanisan dan kelembutan agama inilah yang menyebabkan hati saya tersentuh dan memberikan kesan yang amat mendalam. Saya yakin yang Islam akan terus menerus menyentuh hati manusia setiap saat. Dan sebagai Muslim, kita seharusnya cuba dan berusaha supaya kelembutan mesej Islam yang kita bawa ini akan terus menyentuh hati-hati manusia lain dan juga sesiapa yang kita temui. Kesedaran ini telah mendorong saya menulis buku “Gardens of Delight”. Ditulis bertujuan untuk memberikan kefahaman asas bagi terutama mereka yang datang dari latarbelakang negara sebelah barat.

Ada satu pepatah Inggeris lama yang menyatakan, “Semua jalan menuju ke Rome”. Selepas saya kembali menjadi Muslim, saya cuma mahu katakan yang, “Semua jalan menuju kepada Allah!”

Kita juga harus ingat bahawa sebagai Muslim, kita tidak seharusnya ada sesuatu yang perlu kita sembunyikan mahupun ditakuti. Walaupun ada masa-masa tertentu, sesetengah pihak mungkin telah berjaya membedil seorang lelaki tua yang tidak berdaya dan hanya mampu berkerusi roda, dari sebuah helikopter canggih di udara. Namun bagi saya, tidak ada sesuatu perkarapun yang harus saya takuti. Begitu juga remaja dan anak muda sekelian, sahabat-sahabat saya, abang dan adik semua.Mengapa saya katakan ini? Tidak lain dan tidak bukan kerana kita yakin sepenuhnya yang Allah Yang Maha Berkuasa. Ingat bahawa Allah Yang Berkuasa, yang memegang segala Kuasa Penentu! Bukannya manusia. Bukan juga seteru dan segala musuh Islam itu. Dan sekiranya ada di antara kamu di sini yang mempunyai niat tidak baik terhadap saya, maka saya amat berharap supaya diri itu mahu duduk sejenak dan mendengar terlebih dahulu apa yang ingin saya perkatakan. Mana tahu? Kemungkinan Allah akan membuka pintu hati diri itu sehingga dapat melihat sesuatu yang belum pernah terlintas mahupun terbayang di dalam hati sanubari diri kamu itu?

Saya tidak pernah membendung sebarang kekesalan ataupun mempunyai niat untuk bercakap buruk mengenai pegangan hidup orang lain. Apatah lagi mereka yang telah begitu berusaha dan bertungkus lumus membentuk diri saya sehingga saya menjadi seperti diri saya pada hari ini. Malah saya amat terhutang budi kepada Vatican kerana sudi melatih diri saya dan mengasuh saya semasa di seminari. Bagaimana mungkin saya dapat membelakangi mereka? Sedangkan mereka adalah sebahagian daripada diri saya. Sebahagian daripada hidup saya. Mereka begitu baik terhadap saya.

Seorang Muslim seharusnya tidak merasa terancam dengan kebaikan. Sebaliknya kita harus menghormati kebaikan apabila kita melihat sesuatu kebaikan itu dihulur mahupun apabila menerima sesuatu kebaikan itu. Dan kita harus berkata baik dan terhutang budi terhadap mereka yang kita sayangi. Dan seperkara yang kita harus selalu buat adalah berdoa kepada Allah supaya hidayah daripadaNya akan sampai kepada mereka.
Saya tidak begitu gembira dengan apa yang sedang saya kerjakan. Saya tidak bermaksud yang saya telah tidak melakukan tugas saya dengan baik. Malah saya disayangi oleh mereka dan masyarakat setempat yang hadir saban hari mendengar kuliah ‘sermon’ saya. Saya hanya menurut gerak hati saya. Dan tidak terlintas langsung dalam hati saya yang Allah telah membuat beberapa perancangan buat diri saya ini!

Mari saya kongsikan bagaimana Allah berupaya melakukan sesuatu menerusi hati seseorang.

Saya seorang yang miskin tetapi saya merasakan yang saya perlu membawa diri saya ke tempat lain. Saya membuat keputusan untuk bercuti. Sudah penat saya meninjau-ninjau ke agensi pelancungan. Pakej-pakej percutian memang banyak tetapi saya terhalang disebabkan semua itu saya tidak mampu. Saya terlihat yang saya hanya mampu untuk ke Mesir. Tatkala saya sampai, saya dapati saya tidak begitu gemar dengan tempat yang saya lawati yang sarat dengan kasino dan judi. Jadi, pada esok harinya, saya terus menaiki bas terawal ke Kaherah...DAN pada saya, keputusan saya itu adalah sesuatu yang memberikan kesan yang amat mendalam.

Sepanjang minggu itu adalah minggu yang paling terkesan dalam hidup saya.Saya belum pernah berjumpa dengan seorang Muslim sepanjang hidup saya…tetapi di sana…saya bertemu dengan begitu ramai Muslim…bukan pengganas…mereka tidak mengasari..malah manusia paling lembut budi dan manis bahasa….juga amat kuat berpegang pada agama. Ke mana saja saya pergi…saya disambut dengan kata-kata, “Assalamualaikum” yang maksudnya saya difahamkan adalah….”Moga aman sejahtera ke atas diri kamu”. Perkataan seperti Insya Allah, Alhamdulillah. Saya begitu kagum. Agama sentiasa basah pada bibir…dalam setiap perkara walaupun perkara yang kecil-kecil. Sebagai orang British, agama bukan adalah sesuatu yang kami selalu bincang dan perkatakan, apatah lagi dengan orang yang baru kita kenali di tengah jalan.

Saya amat terkesan sekali apabila pada suatu ketika, saya sedang duduk-duduk minum di restoran, kemudian terdengar suara azan. Semua yang ada di restoran itu keluar meninggalkan saya, seorang yang berbangsa asing seorang diri di situ. Mereka begitu mempercayai dan meletakkan kepercayaan mereka kepada diri saya. Segala harta dan hak milik mereka yang begitu berharga.

Sesudah itu, setiap pagi sebelum matahari terbit, saya akan bangun dan duduk-duduk di tepi tingkap..hanya kerana mahu dan ingin menangkap keindahan suara azan memanggil orang ke masjid. Suara itu bersahutan dan bersambungan dari satu arah masjid ke arah masjid yang lain. Saya terpegun dan asyik sehinggakan tidak sedar, air mata saya berguguran jatuh membasahi pipi. Semuanya memuji kebesaran Tuhannya.

Saya pergi ke masjid kerana semangat ingin tahu. Tetapi apa yang saya dapat lihat di dalamnya cuma perkara-perkara yang amat sederhana dan simpel belaka. Kecuali hamparan permaidani dari satu dinding ke dinding satu lagi, juga kerja seni halus pada jubin terlekat di tiang…itu saja…yang menakjubkan saya adalah baris demi baris manusia yang sujud menghambakan diri kepada Tuhan... Allah yang SATU ini...

Seminggu selepas itu, saya kembali semula ke London. Saya menganggur. Dengan itu, saya perlu mencari mata pencarian…Saya menjadi guru di sekolah milik sebuah daerah dan saya dapati yang saya terpaksa mengajar subjek bersangkutan dengan agama-agama. Untuk mengajar subjek itu, saya dapati saya sendiri terpaksa belajar..Saya perolehi buku mengenai Islam disebabkan perlu mengajar mengenainya. Semakin banyak yang saya pelajari..semakin tertarik hati saya dengan apa yang saya ajarkan. Apabila saya menyebut sesuatu mengenai Muhammad, tidak semena-mena, air mata saya akan terkumpul di kelopak mata….saya tidak mengerti mengapa ianya jadi begini…

Saya mengajar di sekolah yang terletak di tengah-tengah kota London..ramai murid lelaki Muslim…budak lelaki sememangnya nakal…tetapi jauh di lubuk hati mereka, pada saya mereka adalah budak-budak yang baik…kerana mereka ini…budak-budak lelaki ini…mereka tidak suka dan tidak pernah menyumpah dan mengatakan perkataan buruk, jauh sekali mencarut seperti kebanyakan budak lain.

Bulan Ramadhan tiba dan saya didatangi budak-budak itu memohon bilik pejabat saya bagi melakukan ibadah solat. Daripada seramai-ramai guru yang ada di sekolah itu, mengapa bilik pejabat saya yang terpilih? Sebabnya adalah hanya bilik pejabat saya sahaja yang berpermaidani.

Bukankah telah saya katakan? Allah membuat perancanganNya untuk diri saya? Mengapakah daripada semua bilik yang ada di sekolah itu, hanya bilik saya sahaja yang berpermaidani? Saya tidak dapat menjawab soalan itu.

Apapun, pengetua sekolah telah sempat bergurau dengan saya mengatakan yang saya harus berhati-hati. Entah apa yang akan dilakukan oleh budak-budak itu dalam bilik saya nanti…mungkin mencuri permaidani itu? Itu gurauannya….Sebenarnya, apabila murid-murid saya itu mohon izin menggunakan bilik saya sebagai tempat solat, saya membuat keputusan untuk turut berpuasa bersama mereka….jadi, saya duduk bersama mereka, menyemak buku-buku…hari demi hari…sehingga pada suatu hari, saya bertanya pada diri saya sendiri…apakah yang sedang dilakukan oleh mereka ini?

Saban hari saya bersama mereka...semakin hari semakin kagum..perasaan ini terus menyelubungi diri saya. Saya turut solat bersama mereka. Apabila waktu matahari terbenam, mereka berbuka, sayapun turut sama berbuka bersama mereka. Apabila mereka berkumpul membaca Kitab Al Quran...menjamu selera dengan makanan manis-manisan, buah-buahan, bersembahyang sepanjang malam, sayapun turut sama. Kemudian pada malam Lailaltul Qadr (kini baru saya tahu)…saya amat terharu apabila saya terpandang seolah sesuatu yang bercahaya memasuki ruang tingkap…sungguh mempesonakan…tetapi pada waktu itu..sedikitpun saya tidak tahu akan apakah ia sebenarnya mahupun sedar akan kebesarannya…
Saya ke Masjid Regent’s Park, London. Mendengar segala yang diperkatakan. Semakin saya dengar, semakin hati saya terusik dan suka akan apa yang saya dengar.
Akhirnya, saya berpeluang berbicara dengan Saudara Yusof Islam dan sayapun bertanya kepadanya, “Boleh beritahu saya apa seseorang itu harus buat untuk menjadi seorang Muslim?”
Saudara Yusof menjawab dengan begitu mudah, “Percaya! Yakin dan percaya akan adanya SATU Tuhan dan Muhammad, pesuruhnya.”

Saya bertanya lagi, “Kemudian itu?”
“Solat lima waktu sehari semalam.”

“Itu saya tahu. Bahkan saya tahu bagaimana mengerjakan solat dan apa bacaannya. Saya belajar semasa di Mesir!”

”Berpuasa dalam bulan Ramadhan!” kata Yusof lagi.

“Sememangnya saya berpuasa semasa Ramadhan yang lepas bersama-sama murid-murid saya di sekolah!”

Kemudian, Yusof Islam memalingkan mukanya kepada saya dan berkata, “Saudara! Saudara sedang menipu siapa?”

Tatkala itu, kedengaran suara azan. Saya terus terduduk dan menangis. Air mata saya berjujuran tidak henti-henti. Kata-katanya tadi telah menusuk kalbu saya dan kesannya amat mendalam sekali.
Tidak lama setelah selesai solat, Yusof Islam datang merapati diri saya dan berkata, “Ikut kata-kata saya…La ila ha illallah…," saya menuruti semuanya, butir demi butir sehingga penamat kalimah syahadah…

Selanjutnya, saya dipeluk dan didakap oleh semua yang hadir di masjid itu. Belum pernah saya rasa kebahagian sebegitu rupa dalam hidup saya sepertimana yang saya kecapi pada saat itu. Saya rasa begitu aman dan tenteram jauh di lubuk hati…

Sejak dari itu, saya tinggal di Kaherah, menulis pada setiap Jumaat di IslamOnline.net,” Saudara Idris Tawfik mengakhiri penyampaiannya.
Suasana hening sekali dalam dewan. Kedengaran seseorang menghembuskan tangisannya ke dalam kertas tisu. Tanpa disedari, titisan air jernih mengalir di pipi diri ini. Lalu, lekas-lekas dilap dengan hujung jari...

-------------------------------------------------------------------------------

Oleh itu, apakah lagi yang kita harus tunggu? Yang perlu difikir-fikirkan? Sudah terang dan nyata sekali....Hanya dengan mengikuti jalan Allah sahajalah, maka jiwa akan menjadi tenang...seperti rumpunan yang menghijau...seperti suasana malam tatkala bulan penuh mengambang...

Pilihlah Islam...yang pasti membawa kepada ketenangan, kedamaian, kesejahteraan....dan kemenangan di dunia mahupun di akhirat.....

Monday, March 3, 2008

Kuasa melakukan kebaikan dan belaian kata-kata …
















“Selamat pagi! Awal awak hari ini?” tegur F, petugas wanita berkulit putih dari meja menyambut, dalam bahasa ibundanya .

“Selamat pagi!” kata saya, menggosok-gosok tapak kasut pada hamparan di pintu lobi utama. Sambil itu, mata saya mengintai lorong masuk utama ke bangunan dari balik pintu kaca.

“Kematu sejuknya pagi ini, bukan?” kata F lagi, mengangkat mukanya dari kerja mencoret pada borang di atas permukaan meja.

“Seperti biasalah, cumanya saya ada ini!” kata saya, tersenyum dan menganggukkan kepala. Sarung tangan yang baru ditarik dari hujung jari dilambaikan kepadanya.

Sesuatu yang menghiasi dinding di seberang sana menarik pandangan mata. Lalu saya mengatur langkah ke situ.

“Puteri Diana?” kata saya, merenung dan membaca bingkai yang tersangkut pada dinding.

“Dia sungguh seorang yang berhati mulia, bukan?” terdengar lontaran suara F dari seberang lobi.

Saya beralih ke arah suara itu dan terhangguk-hangguk seraya tersenyum. Kemudian, menghayun langkah ke arah tangga kayu. Di aras atas, jari-jari menekan kod keselamatan pada pintu masuk dan sayapun menyambung langkah ke tempat kerja.

Saya mahu meninjau tempat baru di mana Nightingale Centre akan berpindah. Oleh itu, selesai kerja waktu tengahari, sayapun berjalan lebih lanjut lagi meniti sebatang jalan ke hentian bas yang membawa ke pekan Wythenshawe. Di pertengahan jalan, saya berehat sejenak di bangku, yang dikelilingi kehijauan dan pohon-pohon lavender yang membulat. Mata juga sempat memerhati papan tanda besar mengumumkan pembinaan apartmen mewah dan bangunan kediaman yang bakal mengambil alih tempat lama (iaitu Nightingale Centre dan kawasan di sekitarnya). Hati tiba-tiba pula terasa sayu dan sedikit terusik…

Mengapakah Puteri Diana amat membekas di hati begitu ramai manusia? Walaupun jasadnya sudah lama tidak kelihatan?

Persoalan ini hanya terjawab setelah saya menghadirkan diri pada sesi ceramah oleh Saudara Idris Tawfiq. Dia datang beribu batu dari negara Mesir (tempat tinggalnya kini walaupun kampung asalnya adalah England) mahu berkongsi ilmu dan pengalaman bagaimana dia kembali kepada Islam. Kehadirannya atas jemputan para pelajar Persatuan Islam University of Manchester semasa program Minggu Kesedaran Islam anjuran persatuan itu.

Saudara Idris Tawfiq adalah bekas paderi Katolik produk keluaran Vatican yang khusus terlatih. Dia juga salah seorang paderi yang menyempurnakan mendiang Puteri Diana di upacara kematian (semasa itu, saudara Idris belum lagi menerima Islam). Daripada apa yang disampaikannya, saya dapat menggarap yang Diana menjadi simbol kemurniaan hati dan kebaikan di atas kesanggupannya melakukan apa sahaja bagi membantu orang lain. Tidak hairanlah mengapa kiriman bunga-bungaan menggunung di luar pagar Kensington yang menjadi kediamannya dan di Buckingham Palace. Juga ribuan yang bercucuran airmata dan munculnya lautan manusia yang sanggup berbaris di jalanraya tengah Kota London, menanti perarakan kereta mendiang berlalu pergi sewaktu hari upacara penyempurnaan kematiannya.

Di saat dunia dipenuhi oleh mereka yang hanya tahu mementingkan diri sendiri, tamak haloba dan benci membenci, manusia masih tercari-cari akan lambang kebagusan, kemuliaan hati dan kesucian jiwa. Puteri Diana mereka jadikan simbol kepada ini semua. Bagi sesetengah orang di Britain, perkara ini telah bertapak di hati mereka dan masih membekas hingga ke hari ini, walaupun puteri itu telah lama luput dari permukaan bumi.

Pengajarannya di sini adalah...manusia menghargai kebaikan. Kelunakan suara dan belaian kata-kata ambil peduli serta amal kebajikan yang ditunjukkan pasti membekas dalam jiwa seseorang. Bagaimanakah caranya bagi kata-kata kita itu dapat memberi kesan pada jiwa orang lain sehingga orang itu mahu melakukan sesuatu ke arah kebaikan? Sudah tentunya tidak ada jalan lain selain daripada kita yang mula melakukan kebaikan sehingga mampu menyentuh perasaan dan hati orang yang kita dampingi itu...