Monday, August 18, 2008

Terbelenggu….. namun dia nekad












Dia seorang anak muda, yang melaksanakan projek tahun akhirnya di bawah penyeliaan diri ini. Betapa terpaksa saya terkejan-kejan dirinya sementara memantau kemajuannya sepanjang dua semester. Di peringkat awal projek, memang dia kelihatan teruja dan bersungguh-sungguh. Entah mengapa, tiba-tiba sahaja dia seperti hilang keyakinan. Laporan kemajuannya tidak saya perolehi. Emel yang dihantar tidak berjawab. Terpaksa pula saya tercangak-cangak di sekitar kafetaria universiti, mencari kawan-kawannya. Melalui kawan-kawannya itulah saya mengutus pesan, yang tidak dapat tidak, dia mesti berjumpa saya. Tersangat mustahak!

Selang beberapa hari berlalu, diapun muncul. Sambil melabuhkan dirinya di kerusi, jarinya menyika rambutnya yang kusut masai. Pandangan matanya meleret ke lantai.

“Bagaimana dengan projek awak?” kata saya, memecah kesunyian suasana.

“Saya tenggelam punca. Semuanya seperti kabur dan sukar sekali,” katanya, menggisai kedua biji matanyanya dengan kedua belah ibu jari.

“Apa maksud awak itu?” kata saya, mentautkan kedua belah tangan saya dan meletakkannya di atas permukaan meja di hadapan saya.

“Saya sudah hilang pertimbangan. Pada mulanya memang segalanya mudah. Kemudian, segalanya menjadi tidak bererti lagi. Saya tidak dapat mempastikan semua perkara berjalan mengikut apa yang saya mahu,” katanya, tanda-tanda merah sudah kelihatan di gigi biji matanya.

“Contohnya?” kata saya.

Sunyi sepi namun saya menunggu.

“Sebenarnya, ada masalah besar yang sedang saya hadapi. Masalah keluarga di rumah. Saya hilang tumpuan,” akhirnya dia berkata dengan menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Semua orang menghadapi masalah. Begitu juga saya. Dalam situasi begini, soalnya bukan bagaimana masalah itu dapat diselesaikan. Tetapi fikirkan tentang bagaimana kita mampu membawa diri melawan arus dan tidak hanyut bersama. Tumpukan perhatian awak kepada perkara yang paling dekat. Seperti mencari papan hanyut supaya dapat bertahan!”

“Cumanya keadaan amat menghimpit diri saya ini dan saya pula terbelengggu dan tidak berdaya...Entahlah! Saya sendiri tidak tahu!” tangannya tergenggam erat pada kedua-dua belah tepi kerusi.

“Dengar sini, orang muda! Masalah terbesar awak buat masa ini adalah – awak PERLU berijazah! Dan sila jawab pertanyaan saya ini! Adakah awak mahu berijazah?”dengan tegas sekali saya lontarkan persoalan itu kepadanya.

Dia mengangguk.

“Adakah awak mahu menjadi seorang jurutera?” tanya saya lagi.

Sekali lagi, dia menganggukkan kepalanya.

“Saya tidak yakin dengan jawapan awak itu!” kata saya, mencebikkan bibir.

“Sudah tentunya saya mahu menjadi seorang jurutera!” katanya separuh menjerit.

“Jadi, letak ketepi segala masalah awak itu. Atau lebih bagus lagi, lupakan sahaja buat beberapa minggu ini. Tumpukan perhatian awak sepenuhnya pada kerja projek awak itu!”

Dia terdiam.

“Saya mahu lihat laporan kemajuan awak sebelum minggu depan!” kata saya.

“Tetapi, saya perlu membuat beberapa cetakan muka surat berwarna sedangkan saya tidak punya pencetak jenis itu!” katanya dengan suara yang kurang jelas.

“Pergi sahajalah ke kedai!” saya menempelak.

Senyap sekali lagi. Kemudian, dia mengangkat mukanya dari arah lantai dan dengan nada suara dengan rendah, diapun berkata, “Sebenarnya, saya tidak punya cukup wang bagi dibelanjakan.”

“Mengapa tidak berterus terang sahaja sejak sedari tadi?” kata saya, memasukkan jari-jari ke dalam tas tangan. Kemudian, diapun menghilang. Itupun setelah saya memberhentikan sahaja ucapan terima kasihnya yang diucapkannya bertalu-talu.

Betul sangkaan saya. Laporan kemajuannya sampai sebelum penghujung minggu. Ditulis dengan begitu baik sekali!

Namun beberapa hari sebelum tarikh tutup penghantaran laporan akhir projek, sekali lagi saya dirundung kebimbangan.

“Awak ada berjumpa *****?” tanya saya pada wajah yang saya kenal, tatkala menuruni tangga ke pejabat am bagi menjenguk peti surat.

“Dia ada tetapi…” kata pelajar itu mengalihkan wajahnya ke arah lain.

“Tetapi apa?” kata saya.

“Dia murung lagi. Banyak masalahnya Puan!”

“Sekiranya awak ada berjumpa dengannya sebentar lagi, katakan yang dia mesti datang jumpa saya sebelum hujung minggu ini juga!” kata saya dengan tegas.

Dua hari sesudah itu, dia datang dengan wajah kelabu dan berserabut sekali.

“Mengapa awak asyik bersikap begini?” saya membentak.

“Saya tidak tahu Puan! Sejak beberapa waktu, perasaan saya sangat kacau bilau dan sedih sekali. Sedikitpun hati saya tidak rasa rindu mahu pulang ke rumah, walaupun semasa cuti panjang semester. Saya risau!”

“Masakan! Sekali lagi awak terlalu mengikut perasaan!” kata saya.

Wajahnya menyapu lantai.

“Disertasi projek tahun akhir awak perlu saya semak sebelum dihantar bagi diperiksa. Saya mahu lihat sejauh mana ia telah siap. Bawa segala apa yang awak sudah buat dalam masa tiga hari. Awak faham?” kata saya dalam nada perintah.

“Baik Puan!” katanya. Anak matanya dipenuhi kesedihan.

“Adakah itu satu janji?” kata saya.

Dia mengangguk.

Lantas saya menggelengkan kepala dan berkata, “Saya mahu mendengar ungkapan kata-kata!”

“Akan saya kotakan, Puan!”

Tiga hari selepas itu, dia muncul di pejabat saya dan kami meneliti segala usahanya bersama. Kerjanya amat memuaskan, cuma ada beberapa para dan fakta yang perlu digilap. Dan dia sanggup mengubahsuai dan membuat pembetulan mengikut pandangan yang saya berikan.

Tiba hari viva dan peperiksaan secara lisan. Saya amat berpuas hati dengan prestasi persembahannya. Begitu juga dengan pemeriksa bersama.

“Tahukah awak yang awak boleh meraih gred A sekiranya disertasi awak itu dihantar mengikut masa yang ditetapkan. Akan tetapi, awak hanya mampu mendapat A-!” kata saya.

“Sekiranya mendapat gred B pun saya sudah rasa sangat bersyukur dan bertuah!” katanya dengan nada riang.

(Peristiwa ini berlaku beberapa tahun yang silam…tatkala kampus kejuruteraan masih di Tronoh...kisah ini akan bersambung....)

Thursday, August 14, 2008

"Apa itu, Cikgu?"



















“Apa itu, Cikgu?” spontan sahaja pertanyaan keluar dari sepasang bibir mungil, menangkap telinga ini...

“Yang itu?” kata seorang lelaki berwajah manis dalam usia tiga puluhan, menuding jarinya ke arah binaan tinggi bertembok tebal.

Gelagat kanak-kanak mengelilingi guru dan sikap pendidiknya itu menyebabkan langkah saya terhenti. Saya turut tertarik mendengar penerangan yang diberi lelaki itu. Ketika itu, saya dan keluarga sedang berjalan di tepi sungai Thames, bermula dari The Tower Bridge, menuju ke The Tower of London.

Suasana hilai tawa...anak-anak itu berlari kecil. Larian mereka diperlahankan menjadi langkah teratur secara tiba-tiba apabila lelaki yang sama menegur, “Jalan berpimpin tangan dengan pasangan masing-masing, jangan berlari! Apa anak-anak semuanya sudah lupa pesanan cikgu?”

Wajah-wajah suci itu terhangguk-hangguk dan tersipu-sipu.

“Kita akan masuk ke dalam sekarang. Orang semakin ramai. Oleh itu, dengar kata-kata cikgu ini, tahu?” kata guru lelaki itu, menggeleng-gelengkan kepalanya seraya bercekak pinggang.

Saya tersenyum memanjang dan memerhati keadaan sekeliling.

Di sudut berdekatan pintu keluar pula, sekumpulan kanak-kanak lain sedang duduk menikmati bekalan makanan mereka. Sementara itu, sekumpulan yang lain sedang membongkok di atas rumput, melakar dan mewarna di atas kertas memutih di hadapan mereka.

Begitulah cara anak-anak ini didedahkan dengan matapelajaran sekolah sejak dari kecil lagi. Kemungkinan cara itu akan mencetuskan keinginan dan minat mereka supaya mahu mencari maklumat secara lebih lanjut...bukan dengan cara paksa dan sogokan dalam suasana bilik darjah.

Saya sangat tertarik dengan pendekatan pembelajaran melalui pengalaman yang disusun bagi anak-anak sekolah di negara sebelah barat ini. Dalam perbincangan dengan beberapa ibu ayah dari Malaysia, yang mempunyai anak-anak bersekolah di sini, rata-ratanya mengatakan anak-anak begitu seronok dan teruja mahu ke sekolah.

Saya pernah ke Chester, sebuah kota medieval tidak jauh dari Manchester awal tahun sudah. Saya terserempak dengan sekumpulan kanak-kanak berpakaian serba sedikit seperti kaum Rom, di bawa ke kawasan peninggalan kaum Rom yang baru ditemui kesannya di situ…hanya bermula sekitar tahun 2006. Salah seorang guru (lelaki) sanggup berpakaian penghuni istana Rom, siap dengan mantel tidak berlengan, tergantung dari bahu dan terkancing di leher yang berwarna merah menyala manakala kakinya terdedah pada angin sejuk menggila. Dia turut berlakon sebagai Maharaja Rom tanpa segan silu...Sudah tentunya anak-anak itu (terutamanya yang lelaki) tertawa mengilai-ngilai... Ketika itu adalah bulan Januari, tersangat sejuk sekali. Saya pula berbaju tiga lapis, berjaket tebal dan bersarung tangan.

Saya tabik spring dengan sikap guru yang penuh dedikasi itu! Rupa-rupanya, di negara sebelah barat ini, masih ada kaum lelaki yang berminat mahu mengajar kanak-kanak kecil di peringkat tadika. Mungkinkah ada lagi di antara kaum lelaki yang sanggup menjadi pendidik bagi kanak-kanak (terutamanya bagi kanak-kanak lelaki) di Malaysia?

Friday, August 8, 2008

Hari yang istimewa!

























08.08.08 – suatu tarikh yang signifikan, beserta nombor istimewa…

Juga adalah hari yang penuh bermakna…Si kecil kami yang bernama Nuha Insyirah bt. Mohd. Khalil Izwan genap berusia 3 tahun pada hari ini!

Dikau telah melengkapkan erti kebahagiaan, memenuhi hari kami dengan senyuman dan keriangan, menyatukan lagi hati Tok Wan dan Neena…kadangkala kesyahduan yang tidak dapat diungkapkan dengan perkataan...Alhamdulillah..

Moga Allah senantiasa memelihara serta membimbing dikau sepanjang hidup yang bakal ditempuhi…Moga juga dikau menjadi Muslimah sejati pabila dewasa nanti…Amin…

Monday, August 4, 2008

Bengkel Penulisan Khusus Bagi Warga Raudhatus Sakinah (RS)….





















Kepala masih berat…siang malam masih kabur…belum lagi pulih dari kesan pertukaran waktu, dari negara sebelah barat dan kembali ke timur sebelah sini. Namun janji mesti dikotakan...

Pada 26 Julai, diri ini amat berbesar hati mengendalikan bengkel bagi warga RS (Pulau Pinang).

“Assalamualaikum!” wajah-wajah ceria dan bersemangat sudah sedia menunggu di salah satu bilik seminar pusat pengajian Universiti Sains Malaysia Kampus Kejuruteraan, Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan. Saya telah menjanjikan sebuah bengkel yang bakal mengujakan mereka semasa salah satu kunjungan berkala saya ke pusat RS itu...

Semakin hari meninggi, pena di hujung jari mula menari, helaian memutih mula merintih di bawah mata pena, yang dipenuhi coretan. Sehingga kotak minda masing-masing mula mencair, kelihatan manik-manik kecil dan jernih mula terbit dari kelopak mata peserta, terutama ketika wajah-wajah itu membacakan nukillan masing-masing. Suasana sayu dan mengusik jiwa... sebak di dada cuba saya telan sedaya upaya. Sebagai fasilitator, saya perlu menahan diri dari menunjukkan sebarang reaksi emosi, namun masih ada sedikit yang degil dan bergayut di hujung pelipis. Sebaik selesai membaca karya masing-masing, air mata mula berderai dari kelopak mata pembaca (juga para peserta lain)...ada yang kemudiannya membungkam wajah ke dada meja, dalam pelukan kedua-kedua belah lengan menutupi kepala buat beberapa waktu...

Penulisan adalah suatu bentuk terapi yang baik bagi meluahkan segala bentuk kekesalan yang bersarang di hati, segala keinsafan kepada Ilahi, juga kepada ayah ibu yang telah banyak berkorban...terutamanya kekesalan di atas segala tindak tanduk yang lalu, segala trauma yang telah dilalui...juga menyatakan segala harapan dan garis hidup yang bakal ditempuhi selanjutnya dan menyematkan segala azam baru dalam satu permulaan hidup yang bakal menjelang…

Sebagaimana kanak-kanak selepas Tsunami (saya pernah terbaca sebuah artikel mengenal perkara ini)…mereka digalakkan meluahkan perasaan mereka dalam bentuk lukisan…begitulah juga bengkel penulisan, semoga dapat berbekas di hati anak-anak ini...

Selesai bengkel, saya menyatakan pengharapan saya supaya dapat diterbitkan satu hasil penulisan himpunan santunan jiwa dari warga RS itu dan juga satu himpunan lagi dari penggawa dan pengurus RS nanti...Insya Allah. Tujuannya supaya himpunan kisah-kisah ini akan dapat dijadikan bahan bacaan buat tatapan remaja di luar sana yang mungkin masih terlalai…mahupun sebagai bahan yang boleh dijadikan iktibar dan pengajaran bagi remaja lainnya. Hidup di dunia ini umpama menempuhi jalan yang penuh duri dan belukar. Mereka yang dapat menempuh jalan ini dengan penuh kesabaran dan ilmu yang penuh di dada serta memohon petunjuk kepada Allah adalah mereka yang akan berjaya melepasinya…Insya Allah.

Semoga Allah menerima sumbangan yang kerdil ini...Amin.

PS. Koleksi gambar-gambar adalah ihsan Puan Inayah Isa, Pengurus RS (Cawangan Pulau Pinang)...diiringi dengan ucapan terima kasih..

Thursday, July 24, 2008

Berakhir sudah satu fasa…kian bermula pula yang baru…
















Sekali sekala berpergian memang menyeronokkan!

Bukan berseorangan, bahkan bersama mereka yang tercinta…menikmati suasana ketika bersama, menjalinkan hubungan rapat dan merakamkan saat-saat bahagia. Detik-detik yang suatu hari nanti bakal menjadi kenangan..diabadikan dalam ingatan dan bingkai foto…diimbas kembali dari album hati dan tatapan mata…

Itulah yang telah sempat saya lakukan….menghilangkan diri bersama keluarga ke benua asing (teman hidup, anak sulong serta keluarganya beserta saya sendiri)..selama kira-kira dua minggu di negara orang…

Walaupun begitu, saya masih dapat menangkap jalur kerisauan yang terbias pada wajah anak sulong kami…Dia yang telah membawa bersamanya komputer peribadi dalam beg yang tersilang di tengah belakangnya di sepanjang perjalanan. Pasti disebabkan runsing memikirkan ada lagi kerja yang perlu disiapkan bagi ketua jabatannya yang berpusat di sebalik jendela kaca, nun di Menara Berkembar…mercu tanda Kuala Lumpur.

Saya hanya mampu menggelengkan kepala. Sewaktu kami semua sudah masuk ke kamar tidur, anak sulong kami itu masih menghadap layar komputer, bermain dengan kunci papanmata….menghantar cebisan halaman kerja serta laporan kewangan merentas dunia digital. Alhamdulillah…syukur adanya talian internet!

Seperti tahun lalu, Manchester dihurungi suasana hujan renyai dan kelabu. Namun si kecil Nuha Insyirah tidak sedikitpun terkesan dengan udara sejuk kelam. Malah dia kelihatan sangat selesa. Tidak seperti kami yang senantiasa berbaju tebal dan bersarung tangan ketika keluar rumah.

Hari yang dinantikan telah tiba….Jumaat, 11 Julai…sesi 2.30 petang.

Masing-masing bergerak cepat bagi bersiap. Ayah Cu bagi Nuha Insyirah perlu berlari pantas sebaik selesai solat Jumaat di St. Mary’s Hospital, Oxford Road, kira-kira satu kilometer dari Whitworth Hall bagi majlis pengijazahan. Kami pula bersiap dengan pakaian meriah, luar dari yang lazimnya, bergerak dari 156 Kings Road M16 0EL menerusi sebuah teksi. Tepat pukul 2.00 petang, maka pintu masuk dewan akan dikunci dari dalam...maka kami harus lekas melangkah...

Perhimpunan dalam suasana warna warni, dihadiri ibu ayah dalam pakaian tradisi negara masing-masing, saudara mara serta rakan taulan dari merata dunia…dalam dewan gilang gemilang. Sedikit pun tidak kami menjangka yang sesi anak kami pada petang itu akan disempurnakan oleh Puan Ko-Canselor universiti itu sendiri. Sesi yang dia sendiri pilih bagi menghadirinya, mengikut kata tuan pengerusi majlis. Ya! Ko-Canselor wanita pertama bagi University of Manchester adalah tidak lain dan tidak bukan Yang Dihormati Puan Anna Ford, anchorwoman yang petah berbicara. Semasa usia mudanya, dia bersama siaran berita jam 6 petang di saluran BBC suatu ketika dahulu. Bagi mereka yang seangkatan dengan saya dan suami sekitar lewat 70’an dan awal 80’an, pasti akan dapat mengingati wajah, suara dan personaliti yang dihormati itu,

Beliau telah dilantik sebagai Canselor dan berkongsi tugas rasmi itu dengan Sir Terry Leahy sepanjang tujuh tahun yang lalu. Beliau juga adalah graduan bidang ekonomi dari University of Manchester (semasa itu dikenali sebagai Victoria University of Manchester), menjadi presiden pertama dari kalangan wanita bagi Students’ Union. Beliau juga bertanggungjawab menubuhkan Persatuan Antarabangsa dalam tahun 60’an, persatuan yang menjaga hal ehwal kebajikan dan keperluan sosial pelajar antarabangsa di ketiga-tiga universiti sekitar Manchester. Tahun sudah, beliau berpeluang menyampaikan ijazah kepada anakanda perempuannya sendiri. Sesi ini adalah sesi terakhir beliau disebabkan akan bersara. Suasana sayu dapat dirasai semasa perkara ini dinyatakan ketika sesi pada petang itu yang khusus bagi graduan bidang kejuruteraan avionik dan aeroangkasa serta mekanikal. Agaknya itulah perasaan orang apabila seseorang yang dipertanggungjawabkan itu telah melaksanakan tugasnya dengan berkesan dan sempurna.

Suasana hening menusuk kalbu begitu terasa ketika mendengar ucapan daripadanya. Sudah tentunya...kerana beliau sendiri berpengalaman luas sebagai wartawan dan juruhebah. Kata-kata yang keluar dari bibirnya lahir dari dalam hati. (Sungguh ketara bezanya dengan ucapan yang kadangkala hambar dan tawar yang telah siap disediakan dan hanya perlu dibaca oleh orang tertentu di negara kita sendiri!). Ringkas, simpel, manis namun penuh bermakna dan punya daya inspirasi....

Dia terus menyuntik jiwa dengan berkata antara lainnya, “Adalah malang dan agak janggal sekali…barisan jurutera kadangkala dilayan dengan sambil lewa dan dilupakan begitu sahaja oleh masyakarat…Bagaimana sukar keadaan sekalipun, anda semua tidak harus lupa yang sebagai jurutera, ada perkara yang perlu anda semua ingati…pesawat yang anda bina harus mampu menerjah ke angkasa, jambatan yang direkabentuk perlu utuh dan tidak mudah roboh, jalan raya yang direkabina perlu tahan dan tidak bersepai…ingatlah akan pesanan ini….anda haruslah berpegang pada etika amalan dan disiplin yang teguh…suatu perkara yang saya yakin dan percaya akan dipegang dengan amanah dan penuh tanggungjawab oleh setiap graduan dalam dewan ini, bakal terpikul pada bahu masing-masing nanti….”

Sebaik selesai ucapan, ketika merebahkan dirinya semula ke kerusi, Puan Cancelor telah bangun semula menyambut tepukan gemuruh tanda penghargaan hadirin serta jambangan bakul bunga di atas khidmat cemerlangnya sebagai Canselor universiti sejak tahun 2001.

Saya tidak dapat menahan diri sendiri daripada tersenyum apabila tuan pengerusi majlis menyebut nama anak kami sebagai “Anas bin MohamED SoFAYAN” dan bukannya Anas bin MohaMAD SoFIAN. Sebaik keluar beriringan dari dalam dewan, kami berdua lantas berpandangan, dengan masing-masing memberikan senyuman penuh makna...Ketika sesi bergambar kami sekeluargapun selesai, anak kami beserta rakan sekuliahnya mula melontarkan topi segiempat mereka itu berderetan ke ruang angkasa, dalam suasana riang ria dan gelak ketawa, sesuatu berdetik di hati kami….perasaan yang sukar digambarkan…Suatu ketika dulu dialah si bayi kecil kami…kini sudah tiada lagi..ditempatnya adalah seorang lelaki besar panjang yang telah menjangkaui sesuatu….mengatasi segala rintangan, kerumitan dan cabaran…suatu fasa telahpun berlalu….sebaliknya satu era baru kian menjelang…. Alhamdulillah ….segala pujian bagi Allah…

Tuesday, July 8, 2008

Sedangkan lidah lagi tergigit...



“Sedangkan lidah lagi tergigit..apa pula suami isteri...”

Bukankah kita selalu mendengar bait-bait lagu itu? Lagu yang sungguh bermakna terutamanya bagi mereka yang sudah berumahtangga...


Setiap pasangan sudah pastinya mengidamkan suasana rumahtangga yang penuh sakinah (ketenteraman), mawaddah (kasih sayang) dan rahmah serta senantiasa diberkati Allah.

Menyedari hakikat ini, Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Negeri Perak, menjemput saudara saudari, tuan-tuan dan puan-puan ke program Mahligai Kasih, suatu program yang dapat mempertautkan hati pasangan yang baru mendirikan rumahtangga mahupun yang sudah lama melayarkan bahtera kehidupan berumahtangga....

Adakah anda ingin tahu bagaimana memperbaharui dan memantapkan kasih sayang serta mengingatkan kembali saat-saat manis yang telah dilalui bersama dengan pasangan anda? Maka program ini adalah untuk anda! Rebutlah peluang bersama fasilitator berpengalaman dan mampu mengendalikan program secara berkesan, menarik dan santai.

JANGAN LEPASKAN PELUANG INI! (Sila klik pada brosur di atas bagi mengetahui maklumat lebih lanjut mengenai tarikh, masa, tempat serta butir-butir lain...)


Sunday, July 6, 2008

Melentur rebung.....

Kaki disusun dan melangkah dari petak letak kereta. Sayup-sayup kedengaran khutbah Jumaat dari corong masjid kampus.

“Banyaknya tugas yang belum selesai,” kata hati saya lalu memperingatkan diri dengan sepotong hadis, “rebutlah 5 perkara sebelum datangnya 5 perkara….salah satunya....masa lapang sebelum sibuk...”

Beberapa minggu kebelakangan ini, saya tidak menang tangan. Laporan demi laporan perlu diserahkan. ‘Outcome Based Evaluation’ (OBE) yang perlu didokumenkan. Urusan pelajar baru masuk bagi sesi pengajian terkini. Memikirkan senarai tajuk-tajuk projek tahun akhir memeningkan kepala…. Kursus ‘Continuing Profesional Development’ (CPD) baru berlangsung selama beberapa hari dan bermacam lagi.

Walaupun telah selesai melalui siri Penilaian Tahap Kecekapan ataupun PTK (TK6 telah saya ikuti dalam tahun 2004), kini kakitangan akademik pada aras saya perlu juga mengumpul 10 unit setiap seorang setiap tahun. Tiada mata CPD maka tiadalah pergerakan gaji tahunan. Dan CPD yang baru-baru-baru diikuti di kampus induk hanya mempunyai nilai sekiranya hadir sepanjang beberapa hari diadakan. Bermakna, tidak hadir kesemuanya, maka markah terkumpul adalah sifar. Saya setuju dengan saranan perlu hadir CPD ini. Selain menambah ilmu baru, dapat juga menjalin hubungan dengan kakitangan lain merentas kampus dan juga pertautkan semula hubungan dengan rakan lama.....(Bertemu semula dengan senior semasa zaman saya di Kolej Tunku Kurshiah, Seremban...saya di tingkatan empat manakala dia di tingkatan enam atas..rasa seronok sekali!)

Ada lagi tugasan yang perlu saya selesaikan sebelum mesyuarat pusat pengajian minggu hadapan (yang pembentangannya terpaksa saya wakilkan kepada rakan sepejabat disebabkan saya akan berpergian... ke mana? Akan saya nyatakan nanti).

Sedang fikiran penuh dengan pelbagai tugasan yang bermain dalam kepala, pandangan mata hinggap pula pada beberapa orang anak remaja. Ada yang sedang berbaring-baringan di gazebo yang terletak di ruang teduh tengah-tengah blok bangunan pusat pengajian. Ada di kalangan mereka yang main tolak-tolak sesama sendiri, menarik-narik lengan baju melayu yang disarungkan di badan dan kopiah di kepala. Kedengaran hilai gelak ketawa di antara mereka, berborak dan bergurau senda.

Lantas, saya menegur, “Anak-anak ini sudah berpakaian segak begini, sudah tentu mahu solat Jumaat bukan?”

“Ya!” kata salah seorang daripada anak muda yang sedang berbaring di lantai jubin berkilat, sejuk dan damai, di kelilingi pohon merimbun.

“Tetapi, belum lagi habis khutbah, nanti panggilan mahu mula sembahyang, kami pergilah ke masjid!” kata kawannya.

“Hmm...Mengapa anak-anak ini tidak duduk sahaja di dalam masjid, dengar khutbah dengan teliti?” kata saya lagi.

Mereka terdiam.

“Baik! Sekiranya mahu menjadi orang Islam yang bagus dan supaya sembahyang Jumaat anak-anak ini lebih bererti, dengar kata-kata saya ini, baik-baik. Pergi ke mesjid sekarang juga, ya?”

Lalu raut-raut muka setahun jagung itupun perlahan-lahan mengheret kaki masing-masing mengikut lorong di celah bangunan menghala ke masjid.

Ini bukanlah kali pertama saya melontarkan teguran begini. Sudah beberapa kali, setiap kali kepada kumpulan yang berbeza.

“Kesihan ibu ayah anak-anak ini! Sangka mereka anak-anak sudah ke masjid, rupanya bermain dan membuang masa!” keluh hati saya.

Itu belum lagi suasana yang pernah saya lihat di masjid yang lain.

Ada anak-anak muda yang masih berborak-borak di luar pagar masjid. Malah di masjid tersohor berdekatan KLCC, ada yang membentang sejadah di bawah pokok dan memilih bersolat Jumaat di situ sahaja. Masakan mereka tidak tahu, jika saf terputus, bagaimana dengan solat mereka itu?

Saya menghela nafas panjang....

PS. Saya sekeluarga (termasuk si kecil mulut becok, yang bernama Insyirah) akan ke United Kingdom bermula 9 Julai dan kembali semula ke tanah air pada 21 Julai. Kami akan meraikan kejayaan anakanda Anas Mohamad Sofian yang bakal berijazah (M. Eng Mechanical Engineering, University of Manchester) pada 11 Julai, Insya Allah. Sungguh saya bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana telah mempermudahkan segala urusan dan mengabulkan doa, mengurniakan kejayaan cemerlang bagi anak bongsu saya itu . Saya memohon kepada Allah supaya mempermudahkan juga segala urusan anak-anak tuan-tuan dan puan-puan sekalian dalam mengejar cita-cita mereka. Moga juga dilimpahi segala rahmat dan ganjaran buat bekalan di dunia sana…Amin Ya Rabbul Alamin…