Saturday, December 13, 2008

Atas landasan...












Kereta api...Ada sesuatu tentangnya…sangat bermakna di hati ini. Mengingatkan diri akan zaman ketika membesar. Hari-hari cuti sekolah sewaktu kecil semasa kami sekeluarga berkereta api ke destinasi percutian.

Masa-masa itu, ayah tidak mampu walaupun membeli sebuah motosikal. Jadi kemudahan awam adalah satu-satunya pilihan yang ada. Setiap kali apabila ayah menyatakan kami akan ke Kuala Lumpur, mata ini sukar benar untuk lelap pada malam sebelumnya. Kemudian, pagi-pagi hari, sudah bersiap dengan hati girang. Mana tidaknya? Fikiran membayangkan keseronokan menaiki feri merentas lautan yang menyambung Pulau Pinang dan tanah besar (walaupun terpaksa berebut menaiki bas ke terminal feri) kemudian menjijakkan kaki ke lantai kereta api! Masih saya ingat, si mamak penjual karipap, dengan bakul rotannya yang besar, yang dikelek dari satu gerabak ke gerabak yang lain sambil berteriak, ““Karipap! Pap! Pap!”. Karipapnya yang saiz lebih besar daripada biasa. Yam! Yam!

Ibu juga pasti membawa bakul rotan besarnya itu, yang sungguh amat berjasa. Sarat dengan makanan dan minuman. Pada masa itu, ibu dan ayah sentiasa mengingatkan kami akan betapa perlunya berbelanja dengan hemah. Jadi, makanan minuman sebolehnya dibuat sendiri dan dibawa sebagai bekal. Saya masih ingat, dalam bakul ibu, pasti ada dua bekas flas, satu mengandungi kopi panas manakala yang satu lagi, air suam. Juga beberapa cawan serta pinggan plastik, sudu, telur rebus dan tidak lupa, satu botol kicap (bagi dimakan bersama telur rebus), mangkuk tingkat berisi nasi dan lauk kering supaya tidak tumpah jika kereta api bergoyang serta bermacam-macam lagi. Ibu yang memasak sendiri lauk pauk itu pada awal-awal pagi.

Kami akan berkereta api sewaktu cuti sekolah setahun sekali dan tinggal bersama sepupu-sepupu. Ketika itu, rumah ayah saudara terletak di kawasan rumah setinggan di Kampung Kerinci, mandi air telaga, basuh pinggan, dan pakaian dengan air hujan yang ditadah setiap hari dan berbagai perkara lagi. Tetapi kami adik beradik tidak kisah dan menghiraukan segala kesempitan itu. Kini, apabila difikirkan kembali, perkara ini membuatkan hati saya agak hairan. Mungkinkah anak-anak sezaman ini mahu melalui segala perkara sebegitu? Semasa saya ke sekolah asrama penuh di Seremban, berulang-alik semasa cuti sekolah dari sana ke utara dan balik semula, juga dengan menggunakan kereta api. Peristiwa pahit manis, telah saya kongsikan dalam buku saya “Seungu Lavendar” (Klik sini dan sini bagi membaca ulasan bebas mengenai buku). Hidup ketika itu amat mudah…hari-hari yang dilalui tidak banyak kerenah, simpel. Sungguh! Hari-hari penuh nikmat…

Oleh itu, pada suatu hari, ketika mahu ke tempat kerja di kampus kejuruteraan, saya dapati diri ini berada di lintasan kereta api berpagar. Lampu merah padam dan menyala tanpa henti. Juga bunyi siren….Dalam hati terlonjak! Kereta api! Akan melintas! Jadi, saya tidak dapat menahan jari daripada memetik dan merakamkan gambar-gambar ini….Wajah-wajah pada cermin kaca gerabak, tersenyum girang dan melambaikan tangan…Pemandu, penunggang motosikal dan basikal yang menunggu dengan sabar, di tepian jalan berpenutup pagar dan tersenyum balas….Memandang kereta api yang meluncur pergi…Sungguh mengasyikkan!

Sayangnya, lintasan berpagar ini sedang menunggu hari-hari penghujungnya. Tidak lama lagi, jejantas akan dibina bagi menggantikannya. Projek sedang rancak berjalan. Gambar-gambar ini akan saya abadikan dalam koleksi album saya…dan juga dalam petak ingatan…

Kereta api mengingatkan hati ini pada satu perkara lagi…Perjalanan hidup kita. Keretapi perlu bergerak. Untuk itu, kereta api perlu berada atas landasan. Jika tidak, ia akan terbabas. Begitu juga dengan hidup kita. Dalam proses menjalani kehidupan, kita perlu juga berada di atas landasan yang benar. Supaya kita tidak tergelincir. Untuk itu, sebagai orang Islam, kita perlu hidup berpandukan syariah. Tidak ada pilihan selain daripada itu.

Semoga Allah senantiasa memberi kita panduan dan pedoman dalam menjalani kehidupan kita seterusnya…menuju destinasi yang semakin dekat penghujungnya…Amin.

PS. Isteri Dr. Ez, mentor saya, sudah kembali ke rahmatullah pada petang Eidul Adha..Semoga Allah menerima segala amalannya, mengampunkan segala dosanya dan menempatkannya beserta mereka yang beramal salih….Takziah juga kepada mereka yang kehilangan saudara mara yang terkorban dalam trajedi di Bukit Antarabangsa baru-baru ini…Al Fatihah

Friday, December 5, 2008

Budi sebesar sebutir pasir (2)...




“Terlewat lagi hari ini!” kata saya memarahi diri sendiri, jari-jari membetulkan tudung di cermin.

“Mengapalah rumah lima bilik tetapi bilik airnya hanya satu?” saya hampir menjerit.

Sememangnya salah satu perkara yang menyusahkan hati saya adalah kemudahan bilik air. Dan ini adalah fakta yang tidak dapat saya terima. Mungkin mereka yang pernah tinggal di di negara sebelah sini akan bersetuju dengan saya. Ketika itu, saya menyewa. Penghuni rumahnya ramai. Dapat pula rakan serumah yang apabila masuk bilik air, berjam lamanya.

Pagi itu, saya sudah terlari-lari. Mahu ke perhentian bas. Jalan sibuk, diredah sahaja. Setiba di perhentian, bas nombor 111 masih menunggu.

“Alhamdulillah!” kata saya. Kemudian, baru saya dapat faham mengapa.

Seorang lelaki Inggeris yang sudah beruban rambutnya memegang besi di tepi pintu. Sebelah kakinya pada anak tangga manakala sebelah lagi masih di atas tanah.

“Lekas!” jeritnya pada saya, tangannya terkuak-kuak. Penumpang lain sudah mengambil tempat masing-masing.Saya langsung memecut sekuat-kuat hati.

“Terima kasih!” kata saya, tercungap-cungap pada lelaki tua itu dan juga kepada pemandu bas, sebaik kaki menjijak lantai bas.

“Sama-sama! Awak pernah tolong saya, ini giliran saya pula!” kata lelaki tua, penahan bas berlalu dan terus duduk di belakang.

Saya terpinga-pinga. Lalu cuba mengingati di manakah pernah saya melihat wajah tuanya itu. Tidak juga dapat saya telah.

Sesampai ke persimpangan Withington Hospital, lelaki tua itupun bangun dan berdiri di belakang saya yang sudah lama bersedia bagi menuruni bas.

“Terima kasih!” katanya pada pemandu bas dan kemudian, dia berkata pada saya, “See you later!”

Tiba-tiba baru saya teringat. Beberapa bulan sudah…

Semasa waktu kerja di Nightingale Centre. Saya di bilik fotokopi, sedang sibuk membuat salinan dokumen. Tiba-tiba terdengar paluan bertalu-talu di pintu kaca berpenggera keselamatan di seberang koridor.

Paluan itu seiringan suara seseorang terjerit-terjerit dan terkial-kial di pintu kaca, “Tolong Sesiapa! Tolong buka! Saya terlupa kad kakitangan saya!”

Lalu saya bergegas ke pintu, memulas tombol yang hanya boleh dibuka dari dalam. Seorang lelaki tua beruniform biru tua, masuk melalui pintu.

“Maaf mengganggu kerja awak. Terima kasih banyak-banyak! Terlalu sejuk di luar sana,” dia berkata, menggosok-gosokkan kedua telapak tangannya yang sudah memutih menahan kesejukan.

“Tidak mengapa. Sama-sama,” saya berkata, terus menyambung kerja.
Lelaki tua, tukang cuci bangunan. Tanpa unifom birunya, saya tidak dapat meneka orangnya….

“Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik - melainkan balasan yang baik juga?Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?” ~ Ar- Rahman (55) :60-61

Kepada pembaca yang budiman..

Eid Mubarak! Semoga Allah memberi petunjuk dan hidayah kepada kita semua supaya menghayati semangat pengorbanan yang sebenar-benarnya dalam menjalani hidup seterusnya ...Amin

Wednesday, November 26, 2008

Berat mata memandang...

Sahabat-sahabat dan para pengunjung yang sudi membaca....

Saya panjangkan blog Dr. Ez yang menceritakan perkembangan sehari demi sehari mengenai isteri kesayangannya...(Klik di sini...)

Sudah tentunya, Dr. Ez akan menghargai segala doa anda...

Tuesday, November 25, 2008

Budi sebesar sebutir pasir

Wajah bisu, berbentuk persegi dan bernombor di pergelangan tangan merenung pada diri ini.

“Sudah lewat!” kata hati saya. Setokin ditarik rapat dan kemudian, lekas-lekas jari memintal tali pengikat kasut. Jaket tebal disarung lalu diri inipun melangkah keluar dari pintu rumah sewa yang bernombor 29 Banff Road.

Terasa seakan pipi tertampar apabila terkena angin sejuk waktu pagi. Diri ini cuba sedaya upaya menahan gigi yang tiba-tiba bergetar dek kesejukan. Jalan Wilmslow yang sibuk berjaya dilintas, ke arah Worldwide, kedai runcit halal yang tersergam di seberang jalan.

Kaki sudah terlari-lari, menuju ke perhentian.

“Harap-harap tidak terlepas bas!” kata saya, memarahi diri sendiri. Pun begitu, mata ini tiba-tiba terpandang akan kelibat bas bernombor 111 yang baru berlalu pergi. Hati tiba-tiba terasa hampa.

“Selamat pagi!” kata saya kepada seorang wanita yang sedang duduk di hujung bangku. Hati cuba menenggelamkan rasa kecewa, seraya itu, perlahan-lahan menurunkan badan ke ruang kosong pada bangku sebelah lagi.

“Hai!” kata wanita itu menampakkan giginya putih berbaris dari celah bibir menebal.

Di seberang jalan sana, jentera berat sedang sibuk memotong dan mengangkut batang-batang besar pokok tua di kawasan taman Wilmslow Park. Mata saya tertumpu ke situ seketika.

“Mengapa perlunya dipotong-potong begitu? Sayang sekali!” tiba-tiba sahaja terpacul soalan dari mulut saya

“Musim sejuk di sini kadangkala membahayakan. Angin kuat menyebabkan pokok tumbang. Orang boleh cedera. Juga rosaknya harta awam!” kata wanita itu.

“Begitukah?” kata saya.

“Boleh saya bertanya sesuatu?” kata wanita itu, pandangan matanya menusuk ke wajah ini.

“Sudah tentu!” kata saya.

“Mengapa perlunya awak memakai itu?” katanya.

“Apanya?” kata saya pula, terkeliru.

“Itu!” katanya lagi, menuding jari ke arah atas kepalanya sendiri dan memusing-musingkannya.

“Oh! Ini? Ini kami panggilnya hijab! Wanita Muslim yang mengamalkan ajaran Islam memang sepatutnya memakai pakaian serupa ini.”

Itu adalah permulaan perbualan kami. Setelah itu, rancak sahaja berbual, senyum dan tertawa. Dari negara asal, kesejukan dan panas matahari yang ditagih sehinggalah kepada kepelbagaian rasa dan aneka bentuk pisang yang sama-sama kami rindui. Kerana wanita itu dari negara Jamaica, tidak jauh bezanya daripada negara kita Malaysia. Sama seperti tempat-tempat lain di UK, spesis pisang yang terjual di Manchester adalah satu jenis sahaja...kadang-kadang timbul juga rasa jemu..

Ketika itu jugalah, tiba-tiba mata ini terpandang akan bas bernombor 111. Sedang beratur dan menunggu gilirannya bagi bergerak di simpang lampu isyarat.

“Dua sekali?” kata saya. Secara spontan, mata sudah naik ke atas, tidak percaya akan apa yang dilihat apabila terpandang di belakang bas, terdapat sebuah lagi.

“Begitulah! Apabila kita tidak mahu, basnya hingga melebihi satu. Ketika kita amat perlukannya, tidak ada langsung!” kata wanita itu, mengeluh.

“Seronok saya berbual dengan awak tadi!” kata saya, menaikkan badan seraya menghulurkan tangan sebagai isyarat supaya bas berhenti.

“Terima kasih juga daripada saya!” katanya.

“Terima kasih? Mengapa pula?” kata saya, kehairanan sehingga tidak sedar kepala terteleng ke sebelah.

“Kerana menemani dan menghiburkan saya dengan cerita awak yang menarik! Juga resipi pisang goreng awak!” katanya. Wajahnya tersenyum lebar, tangannya dilambai-lambaikan ke arah saya.

“Awak pun begitu juga pada saya!” balas saya, separuh menjerit. Kaki sudah menjejaki anak tangga bas.

Di kala itu, tiba-tiba sahaja hati berasa girang. Hawa sejuk kaku pada waktu pagi sudah tidak terasa lagi….

“Kami akan memasang timbangan yang tepat pada hari kiamat, maka seseorang tidak dirugikan sedikit pun. Dan jika (amalan itu) hanya seberat biji sawi pun, pasti Kami datangkan (pahala)nya. Dan cukuplah Kami sebagai Pembuat perhitungan.” (Al-Anbiya’: 47).



Wednesday, November 19, 2008

Sheikh Yusuf Estes di tanah air…


Rebut peluang yang mungkin tidak akan berulang lagi…
Mari berbondong-bondong kita mendengar penyampaian Duta Islam dari bumi Amerika – Sheikh Yusuf Estes, bekas pendakwah Protestan yang aktif, yang kini telah memeluk Islam.

Klik di sini bagi melihat jadual sesi ilmu beserta tempat di sekitar Kuala Lumpur…
Klik di sini bagi siri ceramah "Mengapa Para Saintis dan Para Doktor Berpaling Kepada Islam bagi Mendapat Jawapan?" (Why are Scientists and Doctors Turning to Islam for Answers?) dan "Berdakwahlah Mulai Sekarang!" (Do Dakwah Now) ini di sekitar Johor Bahru.

Friday, November 14, 2008

Doa...

Sungguh sibuk kebelakangan ini. Semester baru sahaja berakhir dan peperiksaan sedang berlangsung. Bertimbun manuskrip, ujian, quiz serta tugasan yang perlu disemak dan diimbas bagi tujuan OBE. Juga beberapa tesis (Sarjana dan Ph.D.) yang perlu dinilai. Masih belum sempat disentuh.
Fon yang terkubur di bawah kertas tiba-tiba bergegar. Mesej masuk:

“Salam. Hanya mahu beritahu. Isteri Dr. Ez sedang sakit kuat,” disampaikan oleh Dr. Mz, seorang pakar radiologi yang kini berkhidmat di Hospital Sg. Petani.

Ingatan saya terus terbang kembali pada saat 3 tahun yang lampau, ketika itu saya sedang bergelut di Jabatan Radiologi, HUSM, Kubang Kerian. Dr. Ez, penyelia lapangan semasa pengajian Phd. saya, Ketua Jabatan Radiologi di sana. Tanpa bantuan dan sokongannya, dalam mengubahsuai cara dan pengurusan pesakit, sudah tentu sukar bagi saya mendapat kes dan data pesakit. Hanya melalui sikapnya yang amat mengambil berat itulah maka segala yang seperti mustahil itu akhirnya menjadi suatu realiti. Dr. Mz, juga adalah pelajar Sarjana di bawah seliaannya.

Semasa itulah, Dr. Ez memberitahu kami (iaitu saya, pegawai penyelidik saya dan juga pelajar Sarjananya) akan berita yang menyedihkan. Isterinya baru sahaja didiagnos mengidap leukemia paras 4. Sudah tentu, itu sesuatu yang memeranjatkan. Tambahan pula, isterinya baru melahirkan anak bongsu mereka beberapa bulan sebelum itu. Dr. Ez amat tertekan. Dia menyatakan yang isterinya tidak memahami mengapa dia tidak bermaya setiap kali pulang dari kerja (beliau juga pensyarah dan doktor perubatan di Kampus Kesihatan). Pada awalnya, Dr. Ez menganggap yang keletihan itu berpunca daripada kerja yang banyak dan letih mengasuh, menyusu bayi dan anak-anaknya yang lain dan juga masih kecil. Tidak sedikitpun mereka menyangka yang puncanya adalah lain daripada itu.

Hati ini begitu sebak, mengingatkan Dr. Ez; menggunung budinya kepada saya, sehingga akhirnya saya beroleh kejayaan dalam pengajian saya.

Sudilah bersama-sama saya, mendoakan segala yang terbaik kepada Dr. Ez, isterinya serta keluarga mereka. Ya Allah! Berikanlah kekuatan kepada Dr. Ez, isterinya serta keluarga dalam menghadapi kegetiran ini. Sembuhkanlah segala penyakit yang dideritai isterinya kerana sesungguhnya, Engkau Maha Penyembuh dan Maha Mengasihani...Amin, Ya Rabbul Alamin…

Wednesday, November 5, 2008

Sekiranya engkau tidak malu (2)...

(..sambungan)

Lalu saya menghulurkan tiket yang dikeluarkan dari dalam dompet. Huluran disambut oleh lelaki berunifom biru yang sedang siap menunggu bagi memeriksa tiket penumpang dalam gerabak itu.

Tiba-tiba sahaja wanita anggun berpengilat kuku yang duduk di sebelah saya bangun berdiri.

Dengan mendepangkan jari-jari berkilatnya, dia seraya berkata,”Maaf! Tiket saya di sini! Dalam poket belakang seluar!” lantas dia membongkok dan menyuakan pinggulnya yang seperti sarung nangka itu ke arah lelaki penyemak tiket tadi.

Lelaki teka silang kata mengangkat mukanya. Mulutnya terlopong seketika. Wanita yang duduk di sebelahnyapun turut mengangkat kedua-dua keningnya.

Lelaki berunifom biru lantas tertawa terkekeh-kekeh, memecahkan keheningan suasana dalam gerabak.

Diapun bersuara, “Waduh! Siapa sangka? Kerja saya sungguh semakin menarik! Saya tidak akan merungut lagi selepas hari ini!”

Penumpang lain dalam gerabak mula tertawa, menggegarkan suasana. Ada yang sampai berdekah-dekah.

Saya terus menawarkan diri dengan berkata, ”Mari! Biar saya sahaja tolong ambilkan tiket awak itu?”


Tanpa berkata apa-apa lagi, jari-jari kanan saya terus mengeluarkan tiket berbentuk kad kecil berbelang oren itu dari poket belakang seluar sendat yang dipakai wanita inggeris tadi.

“Ini tiket awak kembali!” kata petugas beruniform, menyuakan semula tiket setelah menebuk lubang pada kepingan kad kecil itu.


Saya menyambut tiket yang tersua lalu diselitkan semula ke tempat asalnya iaitu di poket belakang seluar sendat milik tuanpunya yang jari tangannya masih meregang ke udara.

“Terima kasih!” kata tuanpunya tiket, seakan tiada apa-apa yang pelik berlaku. Sebaliknya, dia menghembus-hembuskan nafasnya ke arah jari-jari tangannya tadi.

“Sama-sama!” saya membalas kata-kata, cuba menahan daripada menggelengkan-gelengkan kepala. Hati saya berbisik, “Ya Tuhan! Adakah mereka ini memang langsung tidak tahu malu?”

“Awak seorang pendidik?” kata wanita seorang lagi itu, yang pada awal tadinya sibuk membaca, kepada yang berpengilat kuku.

Saya masih hanya memasang telinga.

“Oh! Ya!” kata wanita berpengilat kuku itu.

“Bertugas di mana?” wanita pembaca buku bertanya lagi.

“Manchester! Saya baru balik kampung di Notts. Mahu pulang semula ke sekolah. Awak bagaimana? Kerja apa?” kata wanita itu, masih terhembus-hembus nafasnya ke arah hujung jarinya.

“Oh! Saya juga pendidik! Di Greater Manchester!” kata wanita itu, membetulkan penanda buku seraya menutup buku yang dibacanya.

“Awak dari mana?” kata wanita yang lagi satu, memerhatikan warna pada kukunya yang sudah seperti cukup kering itu.

“Saya meluangkan masa bersama pasangan hidup saya di Nottingham hujung minggu ini. Sudah sekian lama kami bersama. Lazimnya, teman wanita saya itu yang berkunjung ke tempat saya pada hujung minggu di Manchester. Tetapi, buat kali ini, saya rasa saya pula yang perlu berjalan dan meluangkan waktu bersama kami di Notts. Sekali sekala, ubah angin!” katanya tersenyum lebar.

Mendengar itu, saya tersentap seketika dan mengurut dada. Lelaki teka silang kata juga kedengaran mendehem seketika, matanya menyelinap ke arah saya, kemudian menggulung ke arah siling gerabak. Dia seperti berpura-pura meregangkan tengkuknya ke kiri dan ke kanan.

Sekali lagi, saya berbisik pada diri sendiri, “Astaghfirullahal azim! She? Pasangan hidup wanita?”

“Entah mengapa, perjalanan ini terasa seperti tersangat panjang sekali. Seakan sedang merangkak sahaja pula. Lebih baik, pekakkan saja telinga ini sepanjang baki perjalanan ini,” dengus saya sendirian, mata melirik pada jam di pergelangan tangan.

Lantas hati ini teringatkan sepotong hadith Nabi s.a.w. yang berbunyi:

“Jika engkau tidak malu, buatlah sesuka hatimu.” ~Riwayat Bukhari~