Wednesday, May 13, 2009

Pabila Politikus Menggoyangkan Lidahnya yang Bercabang

Entri ini telah dimuat naik lebih daripada setahun yang lalu. Namun saya mahu ulangi isinya di sini pada kali ini. Semoga dapat memberi beberapa peringatan dan pengajaran bagi diri saya sendiri dan juga pembaca semua...Perkara ini adalah peristiwa benar cuma nama dan tempat telah diubah. Tolong amati dan fikirkan...Selamat membaca!

---------------------------------------------

“Sudah lama berkerja dengan syarikat sekarang?” bertanya suami saya.


“Ya! Sejak lewat tujuh puluhan,“ kata lelaki berpakaian seragam siap dengan logo syarikat perkhidmatan swasta terjahit di dadanya.Kabel dan talian elektrik ditarik-tarik dan disambung pada lubang di dinding.

“Berbagai ragam dan manusia yang telah saya temui,” dia yang bernama J menyambung kata-kata, “malahan wakil rakyat beberapa penggal dahulu selalu meminta pertolongan saya.”

“Begitukah?” suami saya terhangguk-hangguk.

Kagum saya melihat betapa cekapnya jari-jari J melaksanakan tugasnya membuat kerja pendawaian di kediaman persinggahan comel yang baru beberapa bulan kami miliki di sekitar Kuala Lumpur itu.

“Bercakap mengenai wakil rakyat ini. Saya mahu berkongsi sedikit cerita,” kata J lagi.

Saya bersandar ke dinding manakala suami saya mengemaskan silanya berdekatan si pencerita.

“Bekas wakil rakyat kawasan ini dahulunya adalah kawan saya sekampung. Kami sama-sama bekerja satu tempat di syarikat swasta. Pangkatnya lebih corot daripada saya disebabkan kelulusannya yang jauh lebih rendah. Namun tiba-tiba dalam beberapa tahun, dia sudah dinaikkan ke jawatan penolong pengurus disebabkan penglibatannya dalam sebuah parti politik yang dominan dan berpengaruh musim pilihanraya yang dahulu-dahulu. Saya menganggap itu sudah menjadi rezeki dia.”

“Suatu hari, kawan yang saya panggil Mat itu datang menemui saya. Katanya mahu bertanding jadi wakil rakyat. Dan sekiranya dia menang, mahu sahaja dia dikenali sebagai wakil rakyat yang kekal tinggal di kawasan rumah setinggannya itu. Kereta buruknya juga tidak mahu ditukar dan dia berjanji mahu berbakti kepada orang di sekeliling. Tiba pilihanraya, diapun menang kerusi di kawasan kami itu. Saya turut tumpang gembira dengan kejayaannya itu.”

Suami saya dan saya diam membisu. Masing-masing tekun mendengar cerita dari mulut J.

“Tidak lama selepas itu, saya menerima panggilan daripada Mat meminta pertolongan saya membaiki pendawaian dan kemudahan di sekitar rumah banglo yang baru didudukinya sebaik memenangi kerusi dalam pilihanraya tahun itu. Saya tergamam teringatkan janji manisnya. Namun disebabkan kawan punya hal maka saya tolongkanlah juga. Saya juga kaget melihat sebuah Mercedes baru di ruang ‘istana’nya itu. Cuma saya terfikir, kemana perginya hasrat murni yang diperkatakannya di depan saya sebelum itu?”

“Suatu hari, saya pergi membayar bil di sebuah pusat membeli belah. Sebaik sahaja saya keluar dari berurusan, saya telah dapati yang kereta saya telah ditarik oleh Majlis Perbandaran. Oleh itu, saya pergi ke kaunter Majlis membuat rayuan sebab kompaun yang dikenakan amat mahal. Cumanya, saya diberitahu yang rayuan minta dikurangkan itu hanya akan dapat dipertimbangkan setelah mendapat bantuan dan tandatangan daripada sama ada Yang di Pertua Majlis ataupun Yang Berhormat wakil rakyat. Lantas saya teringatkan kawan saya YB Mat itu dan sayapun pergi ke pejabatnya. Saya diberitahu oleh pembantu peribadinya yang YB baru sahaja keluar bermesyuarat di suatu tempat berdekatan tidak sampaipun lima minit yang lalu. Saya kata, tidak mengapa jika begitu. Dalam hati saya, saya berniat menghubungi sahaja kawan saya Mat itu melalui panggilan telefon, memohon bantuannya.”

“Apakah yang terjadi?” tanya suami saya.

“Itulah yang menyebabkan saya kecewa dan juga sakit hati.”

“Mengapa pula?” suami saya bertanya lagi.

“Biasanya di hadapan orang awam, saya membahasakannya sebagai YB Mat tetapi apabila berhubungan secara peribadi, saya hanya panggilnya Mat sahaja. Adakah patut Mat mengatakan yang dia tidak boleh membantu sebab buat masa itu dia sedang berada di luar negara!’

“Apa benarkah begitu?” suami saya bertanya secara spontan.

“Inilah yang saya ingin kongsikan! Allah itu Maha Berkuasa dan mahu menunjuk sesuatu. Pada malam itu juga, semasa saya pulang dari surau dan melewati sebuah deretan rumah kedai, saya terserempak dengan YB Mat yang sedang berjalan menuju ke arah setentang dengan saya. Terus saya bertanya, “Awak baru kembali dari luar negara?”

“Saya dapat membaca dari riak wajahnya yang dia serba salah dan tidak senang terserempak dengan saya begitu, langsung dia menjawab, “Ya! Baru sebentar tadi, saya tiba. Pesawat saya baru sahaja mendarat!” katanya dengan nada suara teragak-agak.”

“Saya mengikut langkahnya jauh dari belakang, mahu meninjau ke mana dia mahu pergi malam-malam begitu. Lalu saya melangkah naik anak tangga ke salah sebuah rumah kedai di situ mengikut jejaknya. Tiba di kaunter, saya bertanya dengan penyambut tetamu, “Itu YB tadi itu, buat apa di sini?”

J menyambung jalan cerita, “Perempuan di kaunter itu menjawab, “Mana ada YB?”"

”“Tadi itu, yang memakai baju batik dan membawa beg?”

“Itu YBkah? Tidak pula saya tahu! Dia baru mula belajar bahasa inggeris di sini!”“

"”Begitukah?” kata saya pula.”

“Jauh di dalam, saya tidak berpuas hati dan sakit hati saya sedang memuncak. Saya tidak akan kesal jika dia berterus terang mengatakan sahaja yang dia tidak dapat membantu saya. Tetapi saya terkilan dan marah sebab dia bercakap bohong. Saya nekad pergi mencari kereta YB Mat itu sehingga dapat lalu saya pancitkan dua tayar keretanya. Saya fikir, jika satu tayar sahaja, maka sudah tentu dia boleh saja gantikan dengan tayar spare. "Biar dua tayar, supaya puas hati saya ini!" Kata saya dalam hati. Sayapun pulang ke rumah.””

Dalam lewat malam sedikit, saya menerima panggilan telefon. Memang sah daripada Mat. “Kereta saya pancit kedua-dua tayarnya. Awak boleh datang sini, bantu saya?” katanya.”

“Saya membaling paku buah keras dengan berkata, “Oh maaf! Sebaik sahaja saya berjumpa awak tadi, saya menaiki penerbangan ke luar negara! Saya berada di Singapura sekarang ini!” kata saya dengan selamba!”

Saya dan suami saya tersenyum simpul mendengar cerita J.

“Itulah! Saya sudah lama tidak suka dengan cara sesetengah orang yang mudah lupa diri, bersikap angkuh apabila menjadi wakil rakyat. Terutamanya mereka yang naik bukan sebab kekuatan peribadi mahupun ilmu pengetahuan yang mereka miliki tetapi dengan cara mengampu dan membodek. Saya kecewa sangat-sangat. Saya cukup kenal kawan saya itu serta keluarganya, anak serta bekas isterinya. Ya! Bekas! Tidak cukup dengan berkata dusta, tidak berpegang pada janjinya pada awal-awal dahulu. Berpindah rumah, tukar kereta...yang paling buruk, tukar isteri baru! Jika dengan saya sahabat lamanya boleh sahaja dia berbohong dan perkotak-katikkan, apatah lagi orang lain!” kata J melepaskan geramnya.

Kami berdua lantas tergamam dan saling berpandangan!

PS. Situasi di kampung halaman saya membuatkan saya melugai (bahasa orang Perak bagi ‘mual’).

Tuesday, May 5, 2009

Ibu Madrasah Pertamaku: Projek buku ketiga Wanita JIM:

Ini adalah muka depan buku bagi projek ketiga hasil usaha Wanita JIM (Jamaah Islah Malaysia) Pusat. Projek buku pertama dalam tahun 2003 adalah “Bagaimana Akhirnya Saya Bertudung” diikuti dengan “Mengapa Saya Bekerja” pada tahun sudah iaitu 2008.

Artikel yang dimuatkan dalam buku ini adalah hasil penulisan 24 orang penulis ahli JIM (lelaki dan wanita) mengenai ibu masing-masing. Ibu yang tidak semestinya sempurna namun dalam ketidaksempurnaan mereka itu telah dapat menyuntik perangsang dan semangat mendidik anak masing-masing sehingga kami menjadi kami pada hari ini. Bahan bacaan ini akan dapat menjadi panduan bagi bakal ibu, peringatan bagi ibu yang sedia ada, juga pengubat hati, penawar duka, penyejuk jiwa bagi pembaca umum.

Saya turut menyumbang satu artikel dalam buku ini mengenai Almarhum ibu saya sendiri. Ibu erkahwin pada usia semuda 14 tahun. Bagaimana dia yang buta huruf (kami adik beradikpun tidak mengetahui perkara ini sehingga kami sendiri tersedar tatkala tahu membaca ketika di alam persekolahan, ayah menyuruh kami menemankannya ke sekolah dewasa) disebabkan keadaan tidak mengizinkannya bersekolah. Dihimpit kesukaran hidup lantaran membesar sebagai anak yatim piatu dan dibela orang kampung secara bergilir satu keluarga dan keluarga yang lain ke sana ke mari. Dia yang bersusah payah membesarkan kami adik beradik. Namun dengan semangat waja dan kegigihannya yang tidak tahu apa itu erti putus asa dan suka mencuba sesuatu yang baru serta menyahut segala cabaran, telah berjaya mendidik kami. Dia yang pandai menjahit pakaian kami dan juga masyarakat setempat, mengingati pelbagai masakan dalam mindanya dan menyediakan hidangan lazat-lazat, mengusahakan perniagaan kecil-kecilannya bagi menambah pendapatan keluarga serta seribu satu perkara lagi. Sedikit sebanyak, peribadinya ini telah terkesan pada diri saya sendiri. Sikap ibu itu telah tumbuh dan menular dalam diri, menyebabkan saya sendiri suka meneroka perkara-perkara baru.

Setiap ibu pasti ada keistimewaan mereka masing-masing. Ibu dan ayah anda mesti dihargai sementara mereka masih di depan mata. Ketika mereka telah tiada, panjatkan doa bagi mereka.

Semoga amalan baik mereka diterimaNya dan ditempatkan mereka bersama orang yang mengerjakan amal solih...Amin, Ya Rabbul Alamin.

PS. Hari ini adalah hari istimewa bagi kami. Teman setia saya, Ir. Haji Mohd. Sofian Ahmad, yang sentiasa menjadi pendorong, pembantu dalam apa juga penglibatan dan usaha saya, berusia genap 52 tahun….Si kecil Nuha Insyirah sudah menghadiahkan kepadanya pada hujung minggu baru-baru ini, sebuah pelukan hangat dan dua buah kucupan di pipi kanan dan kiri serta sebuah kad comel bertulis, “Selamat Hari Jadi, Tok Wan!”.

Monday, April 27, 2009

Bersama Sahabat Penulis…di Pesta Buku Antarabangsa PWTC












“Saya Hamdy!” tegur seseorang sebaik saya tiba di gerai.

“Jadi, awaklah Hamdy! Kita saling beremel dan memotivasikan diri masing-masing melalui mesej dan pesanan ringkas. Baru sekarang kenal rupa!” kata saya, kepada Pak Utih, penulis buku "Suami Memimpin Isteri Mengurus", trainer program Mahligati Kasih, sahabat lama saya dan suami saya sendiri. Pak Utih duduk di sudut meja sebelah sana.

“Ya! Dia mungkin bunyi seperti kasar dalam isi emelnya tetapi sebenarnya, orangnya sangat baik hati!” kata Pak Utih, tersenyum lebar. Hamdy tertawa besar.

Kami di gerai JIMedia atau lebih tepat lagi, Readnetworks. Sebuah syarikat penerbitan milik Saudara Wan Mohd. Zukri atau lebih dikenali sebagai Abu Syamil. Beliau bertanggungjawab menerbitkan bahan bacaan dan media bermutu untuk JIMedia.

“Ke mana perginya Roha?” saya bertanya.

Roha adalah sahabat kami yang telah dipertanggungjawabkan bagi menyusun artikel dimuatkan dalam projek buku ketiga di bawah Wanita JIM Pusat iaitu buku “Ibu Madrasah Pertamaku”, yang mana saya turut menyumbang satu bab. Dalam projek pertama “Bagaimana Akhirnya Saya Bertudung”, 2 artikel telah saya sumbangkan manakala dalam projek kedua, “Mengapa Saya Bekerja”, saya telah menyumbang 1 bab. Kedua-dua projek awal ini telah disusun oleh Puan Ir. Hajjah Endok Sempo M. Tahir.

“Rasanya, dia tidak dapat bersama kita pada hari ini,” kata Hamdy atau nama sebenarnya Haron Mohd.Yusof, penulis Rancang Hidup Rancang Wang dan beberapa buah buku lain.

Sekonyong-konyong, kedengaran ucapan salam dari sahabat penulis kami seorang lagi. Dr. Harlina Haliza Siraj, Ketua Wanita JIM Pusat yang kerap muncul di kaca TV dan media massa.

Kami sempat bergambar bersama dengan editor kami, Saudara Wan Muhammad Wan Ibrahim, anak muda, ayah kepada tiga orang cahaya mata. Beliau bekerja sepenuh masa dengan JIMedia Pusat.

“Saya tidak berapa mahu dikenali,” kata Hamdy melarikan diri di sebalik tiang.

Saya menggelengkan kepala.

Begitulah suasana kami sahabat-sahabat penulis pada Sabtu 25 April sempena Pesta Buku Antarabangsa di PWTC itu. Duduk-duduk bersama dan mempromosikan setiap daripada buku kami beberapa jam di gerai buku.Buku saya "Jadi, Anda Mahu Menulis", buku Dr. Har "Citra Wanita Kontemporari", buku Pak Utih "Suami Memimpin Isteri Mengurus", buku Hamdy "Rancang Hidup Rancang Wang Remaja" baru sahaja terbit malam sebelumnya Bak kata orang - segar, baru keluar dari ketuhar. Kami menandatangan, mengenali pembeli dan bersama pembaca dengan lebih dekat selama beberapa jam. Sungguh menyeronokkan!
PS. Sesiapa yang berminat untuk menerbitkan buku melalui JIMedia, jemput hubungi Saudara Wan Mohd. Zukri 012-320 3434 atau Saudara Wan Am 012-6615745.

Monday, April 20, 2009

Hasil penulisan terbaru....

Sedikit sedutan daripada buku ini...


Bagaimana Timbulnya Ilham Menulis Buku Ini?

Tanggal 28 Februari 2009, tatkala saya mengikuti sebuah bengkel penulisan berkesan bagi media massa anjuran Jawatankuasa Penerangan JIM Pusat di Kuala Lumpur, beberapa orang ‘trainers’ daripada kalangan kami telah duduk berkumpul setelah bengkel selesai. Hasil perbincangan, dikemukakan hasrat supaya bahan-bahan bengkel dijadikan dalam bentuk modul.


Sewaktu pulang dari bengkel tersebut, saya terus teringat akan satu hakikat. Semasa saya mengendalikan sebuah bengkel penulisan di Kota Bharu, Puan Alawiyah Abdullah, pengerusi majlis yang juga selaku pengarah program bengkel anjuran Wanita JIM Kelantan telah mengajukan sebuah soalan kepada hadirin.

“Tahukah kita bahawa surah kedua (setelah Surah Iqra’ - Bacalah) yang diturunkan Allah kepada kita adalah Surah Pena?” Lalu beliau membacakan terjemahannya:

Nun, demi kalam dan apa yang mereka tulis, berkat nikmat Tuhanmu kamu (Muhammad) sekali-kali bukan orang gila.” (Al-Qalam : 1)

“Surah ini adalah surah ke-68 dalam al-Quran dan mempunyai 52 ayat kesemuanya. Lihat betapa besar dan pentingnya bab penulisan ini dalam kehidupan seorang Muslim,” kata beliau mengingatkan kami para hadirin akan hakikat ini. Saya sendiri tersentak dan seakan tidak ingat akan fakta ini, sedangkan saya pernah terbaca mengenainya suatu ketika dahulu.

Tiba-tiba sahaja saya mendapat ilham bagi membukukan sahaja segala bahan-bahan yang telah saya nyatakan berulang kali semasa bengkel kepada para peserta. Juga kesemua isi yang telah dapat saya kutip sepanjang pengalaman saya menulis buku-buku saya.

..........................................
..........................................................


Hasrat saya adalah supaya buku ini akan sentiasa dirujuk dan dijadikan sumber hirupan bekalan dalam meneruskan cita-cita dan perjalanan hidup sebagai seorang penulis.

Buku ini adalah buku mengenai penulisan. Usah dijadikan sekadar bahan bacaan. Seboleh-bolehnya diguna pakai. Guna pakai biar sampai lunyai. Kemudian, tulis!
Dr. Umi Kalthum Ngah

PS.Tebal buku ini 90 muka surat. Harga RM10. Boleh didapati sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, bermula Rabu 22 April, di Booth JIMedia KLIBF'09, L2 & L3 (berkembar dengan booth ReadNetwork) depan pintu masuk utama KLIBF'09 (http://klbookfair. com/index. php/)

Tuesday, April 14, 2009

Melestarikan alam semula jadi (2)....










“Awak pernah dengar nama penulis Beatrix Potter?” kata wanita Inggeris itu lagi dengan penuh semangat.

“Ya! Saya amat sukakan buku-bukunya. Yang ditulis untuk kanak-kanak. Lukisan dalam buku, hasil tangannya sendiri itu juga menakjubkan!” kata saya.

“Ya! Dialah wanita yang saya maksudkan itu. Perjalanan hidupnya yang penuh dengan cabaran telah akhirnya membawanya kepada suatu titik permulaan.”

“Titik permulaan?” kata saya kehairanan.

“Ya! Sesuatu berlaku dalam hidupnya sehingga dia mengambil keputusan menyendiri di kawasan Lake District yang masyhur hingga kini itu!”

“Apa yang dilakukannya?” kata saya, memusingkan badan saya supaya dapat melihat wajah wanita Inggeris itu.

“Dia menurut kata hatinya, berpindah dan membeli sebuah kediaman yang dikenali sebagai Hill Top di Lake District itu. Kemudian, disebabkan kawasan itu semakin diancam pihak yang mahu melaksanakan industri berat dengan rakus sekali, dia melibatkan dirinya secara aktif dalam mesyuarat masyarakat setempat. Baru dia tahu yang kehidupan para petani miskin yang mengusahakan ladang dan pertanian di kawasan itu semakin terhimpit hari demi hari. Lalu Potter mengambil keputusan membeli kawasan sekitar tasik itu dan menggajikan para petani supaya mereka dapat terus mengerjakan usaha perladangan.”

“Sungguh mulia hatinya,” kata saya.

“Ya! Dia membeli sekitar lebih daripada 4,000 ekar tanah dengan wang royalti jualan buku-bukunya. Apabila dia meninggal dunia, dia telah mengamanahkan segala kutipan royaltinya supaya diuruskan National Trust, badan sukarela memulihara kawasan sekitar U.K., khusus bagi melestarikan kawasan Lake District itu. Sehingga kini,” kata wanita Inggeris di sebelah saya.

“Tidak hairanlah Lake District masih terpelihara keadaan semula jadinya dan menjadi tempat tarikan pelancong sehingga ke hari ini.”

“Tepat sekali! Pergilah awak menonton filem Miss Potter. Filem yang mengisahkan riwayat hidupnya!”

Saya termenung seketika. Tidak pernah saya bayangkan, melalui wang royalti penulisan buku, seorang wanita telah berbudi pada alam sekitar, satu kawasan bumi telah terpelihara dari dicemar. Buat tatapan dan dinikmati generasi turun temurun.

DVD Miss Porter telah sempat saya perolehi tatkala saya bercuti sabatikal tahun itu. Kata-kata Miss Porter ini amat terkesan di hati. Ingin sekali saya kongsikan di sini:

Seakan terasa suatu kelazatan, tika mata pena baru mengalirkan tintanya, dalam binaan ayat-ayat bagi bermulanya sebuah kisah. Kita tidak tahu ke arah mana kita akan dibawa pergi. Namun bagi diri ini, ia membawa saya ke sebuah daerah, iaitu ke sini. Di sini, hati ini telah tertambat.

~Beatrix Potter~ (1866-1943)
(dipetik dari filem ‘Miss Potter
‘)
(Imej pertama telah diambil dari sini.)

Monday, April 6, 2009

Perang hijau biru…




“Mari kita menjamu selera di luar? Malas masak!” kata saya kepada suami pada petang Ahad tadi.

“Di mana?” kata suami, di balik surat khabar di tangannya.

“Di gerai ikan bakar. Yang di sebelah jalan utama sebelum tol Cangkat Jering itu!”

“Baik! Cepat bersiap!”

Kamipun berkereta. Menyusuri jalan lama dari Parit Buntar ke Simpang Empat, Taiping. Suasana damai dan sunyi semakin lama semakin hangat. Sehingga sampai pada suatu tahap, udara seakan terkena kejutan elektrik!

Berwarna-warni. Meriah sekali. Bendera merata-rata. Hijau putih membulat, biru muda. Biru tua dan sedikit merah dan lambang keris. Meliuk lintuk dibuai angin. Manusia berpusu-pusu. Kenderaan berasak-asak.

Begitu ramai anggota polis. Kiri kanan, belakang dan hadapan. Sepertinya mereka sudah berkampung berbulan-bulan di pekan itu. Trak biru tua, merah menyala. Motosikal berkuasa tinggi berderetan di tepi jalan dan di jalanan. Seakan mereka semuanya tertumpu dari daerah dan pelusuk masing-masing dari sekitar semenanjung. Saya tersenyum sendirian apabila terlihat kenderaan tertulis “Balai Polis Bergerak”. Sepanjang saya membesar, sebagai anak konstabel polis sekitar tahun 60’an sehingga 80’an, belumpun pernah saya melihat kenderaan sebegitu.

“Tentu seronok dapat tinggal dalam balai polis bergerak serupa itu!’ kata saya dalam hati.

Perasaan saya seperti digeletek apabila terlihat sebahagian daripada poster-poster kempen.

“Pembangkang memperalatkan kanak-kanak!” terpampang pada poster pihak biru tua, dengan gambar kanak-kanak terselit di celah poster. Kanak-kanak memegang sepanduk “Mansuhkan I.S.A.”

Di pihak hijau putih pula, tertera perkataan, “ U.*.*.O…Dahulu, kini dan selamanya serupa sahaja! RA$UAH!!”

“Itu gerainya!” kata saya, menuding ibu jari seraya memandang kepada suami yang sabar memandu.

Kereta kami letakkan di gigi jalan. Bersebelahan kereta polis yang bertanda ‘Pasukan Penyiasat Jenayah Kuala Krai’. Kuala Krai Kelantan?

“Apa sebab polis Kuala Krai berada di sini?” saya mengerutkan dahi.

“Entah!” jawab suami yang sudah berada dekat dengan peti ikan segar yang tertimbun bawah ketulan ais.

“Jenahak ada?”

“Tidak ada, abang! Hanya siakap,” kata anak muda mengambil pesanan.

“Bakar?”

“Hari ini sibuk abang, tidak sempat bakar. Tiga rasa boleh, abang?”

Suami mengangkat keningnya kepada saya.

“Tiga rasapun tiga rasalah. Apa nak buat. Tidak ada rezeki kita kali ini,” kata saya melangkah ke meja makan.

Di meja sebelah, beberapa orang anak muda sedang menunggu hidangan mereka.

“Susah sikit tahun ini!” kata salah seorang daripada mereka.

“Mengapa pula?” kata seorang lagi, lambang hijau putih membulat dijahit rapi pada belakang jaket yang dipakainya.

“Banyak betul duit yang ditaburkan. Belum lagi dikira basikal percuma, beras, kain batik dan entah-entah apa lagi!” kata pemuda pertama.

“Jangan risau! Orang zaman sekarang bukan seperti dahulu. Sudah cerdik! Orang beri, mereka ambil. Undi belum tahu lagi!” kata seorang anak muda yang lain di sebelahnya.

“Tidak mengapa! Ktia perlu bekerja lebih keras lagi. Apapun, kita makan dahulu. Tambahkan tenaga. Kemudian, kita bergerak!” kata yang berlambang di jaket, tatkala hidangan mereka sampai.

Kami berdua tersenyum mendengar perbualan anak-anak muda, pemimpin masa hadapan, harapan agama dan bangsa.

Bercakap mengenai warna, sejak sedari kecil lagi, warna kegemaran saya adalah hijau. Redup di pandang mata, menenangkan jiwa.

Hijau. Dulu, kini dan selamanya….Anda bagaimana?

Wednesday, April 1, 2009

Melestarikan alam semula jadi (1)…

“Sungguh cantik bukan?” kata wanita Inggeris yang duduk di sebelah saya.

Saya tersentak dari lamunan lantas berkata, “Ya! Sungguh menawan. Peak District ini tidak pernah berubah,” mata saya melirik ke arah wanita berusia kira-kira lewat tiga puluhan itu.

“Awak pernah datang ke sini?” kata wanita itu dengan penuh minat.

“Ya! Saya belajar di sini kira-kira 30 tahun yang lampau. Baru ini, dapat ke sini semula.”

“Awak sungguh bertuah!” kata wanita itu.

Ketika itu, kami berdua dalam perjalanan dari Manchester ke Sheffield. Trek kereta api di antara kotaraya itu perlu dibaiki. Oleh itu, penumpang yang mahu membuat perjalanan dari Manchester ke arah selatan perlu menaiki koc dari situ. Kemudian membuat pertukaran dengan menaiki kereta api tatkala sampai di Sheffield. Dalam perjalanan dengan koc itu, kami melintasi kawasan peranginan dan pergunungan yang dikenali sebagai Peak District. Dan saya tenggelam dalam keindahan alam, fauna dan flora.

“Awak pelancong?” bertanya wanita itu lagi kepada saya.

“Tidak! Saya bercuti sambil bekerja,” kata saya. Melihatkan dahinya yang tiba-tiba sahaja berkerut, saya terus tertawa dan berkata, “Saya bercuti dari tugas di negara asal, tetapi perlu melakukan kerja penyelidikan di negara awak ini. Awak?”

“Begitu rupanya! Saya mahu pulang ke rumah. Sebetulnya, saya menghadiri konvensyen penganut agama Kristian namun saya mendapat panggilan mengatakan ibu saya tiba-tiba sakit. Jadi, saya terus mahu pulang,” kata wanita itu.

“Ke mana itu?”

“Ke Scarborough.”

“Oh! Itu seperti nama tajuk sebuah lagu yang pernah saya dengar semasa saya kecil-kecil dahulu,” kata saya berjenaka.

“Ya! Scarborough Fair!” kata wanita Inggeris itu sambil tertawa, memusing-musingkan kepalanya, menyebabkan rambutnya seperti dipukul ombak ke kiri dan ke kanan.

Parsley, sage, rosemary and thyme. Simon dan Garfunkel, bukan?” kata saya tersenyum lebar.

“Awak patut ke sana!” katanya pada saya.

“Jika saya ada kesempatan, saya akan cuba.”

“Ada satu lagi tempat yang awak harus pergi,” kata wanita itu bersungguh-sungguh.

“Apa itu?”

“Lake District. Tempatnya sangat menarik. Terpelihara dan masih asli. Sepertimana seratus tahun yang lampau.”

“Ya! Saya juga pernah ke sana . Tetapi belum sempat lagi kali ini.”

“Awak mahu tahu siapa yang memainkan peranan besar dalam proses pemuliharaan kawasan itu?” kata wanita itu, memusingkan badannya pada tempat duduk, seolah-olah mahu bercerita secara berdepan dengan saya.

“Tidak pasti pula. Tetapi sudah tentulah saya mahu tahu!” kata saya menunjukkan minat.

“Seorang penulis wanita. Penulis buku kanak-kanak. Begini ceritanya….”
(Bersambung...)