Tuesday, March 24, 2009

Mahu rahsia bahulu?








Persembahan bakal bermula. Paparan tertera di layar putih menerusi projector LCD.

“Bahulu? Apa kena mengena ini dengan kejuruteraan?” kata seorang pelajar lelaki, berjalan di belakang saya yang sedang duduk menanti.

Saya memusingkan badan. Memberikannya satu pandangan tajam. Dia terus memecut lari keluar menerusi pintu makmal.

“Baik! Mari kita mulakan!” kata saya.

Jari-jari Ng sedang memetik papan kunci manakala Nor membetulkan bajunya. Mereka berdiri beberapa kaki dari dinding.

Persembahan bermula dengan Nor membuka kata, “Bahulu adalah kuih tradisional kaum Melayu di Malaysia. Ia juga sudah menjadi makanan kegemaran bangsa lain seperti masyarakat Cina dan India. Terutamanya semasa musim perayaan. Kuih ini dipercayai berasal dari suatu tempat bernama Bangkahulu, Sumatera Selatan, Indonesia dan dibawa masuk ke Malaya oleh orang-orang Jawa. Pada asalnya, kuih ini berbentuk bulat dan leper, sama seperti pizza kerana ia dibakar atas tudung periuk. Satu lagi kemungkinan nama kuih itu begitu adalah kerana ia dicipta oleh orang di hulu sungai. Apabila berziarah, seringkalinya kuih ini akan dibawa mereka sebagai buah tangan. Lama kelamaan,orang menyebutnya sebagai ‘buah tangan dari hulu’ sehingga ia dikenali sebagai ‘bahulu’. Begitulah asal usul nama kuih itu.”

Giliran Ng pula berkata, “Kuih ini diusahakan menerusi dua cara, iaitu cara tradisional dan menggunakan pendekatan moden. Tetapi disebabkan cara moden lebih pantas dan mudah melalui penggunaan mesin pengisar dan ketuhar, maka sukar bagi kami mencari sumber perusahaan cara asli. Pendekatan moden juga membolehkan bahulu terhasil dalam pelbagai perisa. Malahan terdapat bahulu berperisa strawberi dan cappuccino!”

“Kami sempat merakamkan video bagaimana bahulu ini dihasilkan. Kami berkunjung ke sebuah perusahaan kecil di sebuah kampung sebelah utara. Ini dia!” kata Nor.

Pandangan mata kami tertumpu pada layar putih.

Setelah selesai, sayapun bertanya, “Awak mahu tahu cara kuih ini disediakan secara tradisional? Arwah ibu saya menjual kuih ini dan juga kuih-kuih tradisional yang lain hampir setiap hari sebagai sumber pendapatan sampingan.”

Ng dan Nor mengangguk-angguk.

“Kami adik beradik selalu membantu ibu menyediakan adunan bahulu sewaktu kami kecil dahulu. Kami bergilir memukul telur dan gula dalam bekas tempayan agam menggunakan pengenjut yang besar sehingga tangan kami masing-masing menjadi lenguh. Sebab semakin lama, adunan semakin berat. Namun sebaik fasa membakar bemula, kami semua menjadi seronok! Ketuhar ibu istimewa. Ia berbentuk seperti baldi tetapi diperbuat daripada tanah liat. Ibu memasukkan ketulan arang dan sabut di bahagian bawah ketuhar dan dinyalakan api. Kemudian, diambilnya periuk dan diletakkan pasir halus di bawah periuk itu. Setelah api menjadi bara, adunan dibancuh sedikit demi sedikit dengan tepung yang telah digoreng dalam kuali besar, selama sejam tanpa minyak beberapa hari sebelum itu. Ya! Sebab itu, bahulu ibu sentiasa wangi dan tahan lama! Adunan dijatuhkan ke dalam acuan berlubang pelbagai bentuk, yang telah dipanaskan dan disapu sedikit minyak supaya tidak melekat. Kemudian, acuan itu dimasukkan ke dalam periuk. Ditutup bahagian atasnya dengan potongan dari tin biskut besar yang diasah tepinya supaya tidak tajam dan melukakan tangan. Bara api diletakkan di atas penutup tin itu. Bau wangi yang membangkit, menandakan kuih bahulu sudah siap dimasak. Selalunya bahulu pusingan-pusingan awal itu akan tidak kelihatan sebab banyak yang sudah masuk mulut kami ‘para pekerja’! ”

Kening Nor terangkat manakala Ng menyeringai.

“Baik! Apa yang awak telah pelajari setelah membuat projek ini?” saya bertanya.

“Berbagai perkara!” kata Ng.

“Katakan! Saya mahu tahu,” kata saya lagi.

“Pertamanya, kami belajar bagaimana mahu membuka mulut apabila terpaksa turun ke kampung-kampung mencari maklumat,” kata Nor.

“Saya belajar nama kuih ini. Sebelum ini, saya hanya tahu memakannya tanpa mengetahui latar belakangnya,” kata Ng pula.

“Bagus! Awak berdua berkata dari hati,” kata saya.

“Kami juga membuat sedikit tinjauan. Kebanyakan mereka yang kami tanya lebih suka bahulu moden. Sebab ia terdapat dalam pelbagai perisa,” kata Ng.

“Siapa yang awak tanya?” kata saya, mengerutkan dahi.

“Hanya dari kalangan kami pelajar. Tahun satu sehingga tahun akhir,” kata Nor.

“Awak sepatutnya bertanya juga kalangan kakitangan. Orang seperti saya. Baru adil. Kemungkinan awak akan membuat kesimpulan yang amat berbeza. Sebab, tidak ada yang dapat mengalahkan rasa kuih tradisional yang dibuat secara asli dan dibakar menggunakan arang, tahu? Alangkah bagus seandainya awak berdua dapat merasainya!” kata saya lagi.

Mereka berdua tersengih-sengih. Kemudian satu kejutan buat diri saya. Sebekas bahulu daripada mereka berdua tanda penghargaan untuk saya sebagai penyelia projek kursus SHE 101.

Semalam, selesai makan malam, sayapun mengeluarkan bekas bahulu itu. Ternyata, ada peminat setia. Pagi tadi, apabila saya pergi menjenguk, hanya tinggal enam dalam bekas! Siapa lagi, sekiranya bukan suami saya yang tercinta itu!
PS. SHE 101 adalah subjek Hubungan Etnik, sumbangan sebanyak 2 unit. Projek perlu disiapkan dalam masa 3 minggu.

4 comments:

IKHWANI said...

bagusnya paper ni! seronok pulak, sambil belajar boleh tambah kenalan dan of course info.

kami dulu tak ada pun paper macam ni.

bahulu tradisional tetap menang!

Iskandar Syah Ismail aka DR Bubbles said...

Salam Puan Umi,

Saya pun dapat ilmu baru hari ini.Baru tau bagaimana bahulu itu asalnya dari Bangkahulu.

Baru-baru ini saya ke Bukittinggi Indonesia.Banyak jumpa makanan (itu tujuan utama ke sana!) yang hampir sama di Malaysia. Gelamai = dodol, Nagosari = Nagasari, Paniaram = Peneram.Malah terjumpa lemang sebesar tapak tangan di Batu Sangkar yang dimakan dengan bubur pulut hitam.

Pengalaman mencari makanan di Tanah Minang itu mengajar saya bahawa walaupun dibatasi Selat Melaka sekalipun,sebenarnya kita 'dekat'.

Umi Kalthum Ngah said...

Assalamualaikum OO,

Menarik bukan? Mungkin semasa OO belajar dahulu, subjek ini belum ladi diperkenalkan...

Tidak mengapa...masih lagi boleh mencari ilmu di mana-mana. Betul tidak?

Ya! Saya masih suka bahulu tradisional...Asli dan mengancam!

Wasalam...

Umi Kalthum Ngah said...

Assalamualaikum Dr.Bubbles,

Ya! Saya sendiripun tidak tahu. Sehinggalah diberitahu oleh pelajar yang membuat projek ini di bawah seliaan saya.

Memang lebih banyak kita belajar, banyak lagi perkara yang belum kita tahu. Betul bukan?

Wah! Saudara berjalan sakan!

Jangan lupa tuliskan segala pengalaman dan jadikan bahan perkongsian, ya?

Wasalam...