Permata hati kami berdua…terlari-lari ke sana ke mari. Di celah-celah koridor dan kedai-kedai yang berderetan di Kompleks Membeli Belah pagi Ahad baru-baru ini.Kesihan Tok Wannya terlari-lari, mengejarnya sehingga tercungap-cungap. Maklumlah kepantasan si cilik berusia 2 setengah tahun memang berbeza dengan kepantasan kita yang sudah mencecah separuh abad. Sementalahan, perlu berhati-hati sekarang ini. Anak kecil sudah tidak selamat sendirian walaupun di rumah sendiri, inikan pula di kompleks tengah bandaraya…
Pada suatu ruang kedai, tiba-tiba sahaja si buah hati kami itu terhenti langkahnya dan berkata, “Hey! Jangan bergaduh!” Dahinya berkerut, sebelah tangannya di cekakkan ke pinggang manakala sebelah lagi menuding jari.
Saya berkata dalam hati, “Masya Allah! Tidak pula menyangka, kecil-kecil lagi sudah berani melakukan cegahan mungkar (nahi mungkar). Spontan namun lagaknya bersahaja.”
Saya dan suami tercinta saling berpandangan dan tersenyum kecil.
Bukankah melaksanakan amar makruf nahi mungkar (menyuruh yang baik, melarang yang buruk) itu adalah tugas setiap insan tidak kira pangkat mahupun usia? Bahkan ia adalah sebahagian daripada jihad yang perlu dilakukan tidak kira masa.
Tambahan dengan situasi semasa, perlu kita sama fikir-fikirkan. Apakah yang boleh kita lakukan bagi memantapkan jihad harian kita?
Jihad amat luas ruang lingkupnya. Bukan hanya terhad kepada pergi berperang. Kita dituntut berjihad melawan hawa nafsu dan tidak tunduk kepada suruhan syaitan yang datang dalam pelbagai bentuk dan rupa. Kita diminta mencuba untuk mencurahkan seluruh kemampuan dan kekuatan yang dimiliki supaya dapat mendekatkan diri kepada Allah. Mengamalkan setiap apa yang diperintahkan dan dicintai-Nya serta meninggalkan apa yang dibenci Allah. Menegakkan hujah kebenaran dan membantah kebatilan.
Rasulullah (s.a.w) telah berkata, "Jihad yang paling afdhal adalah mengatakan yang haq di hadapan pemimpin yang zalim." [HR Ahmad].












